Penubuhan Kemudahan Pembiayaan Baharu oleh Bank Negara Malaysia

21 Jan 2022 Siaran Akhbar

Seperti yang diumumkan semasa ucapan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperkenalkan dua kemudahan baharu di bawah Dana BNM untuk PKS. Permohonan untuk kemudahan-kemudahan ini akan dibuka mulai 3 Februari 2022 sehingga peruntukan digunakan sepenuhnya.

Kemudahan Permodalan Semula Perniagaan (Business Recapitalisation Facility, BRF) berjumlah RM1 bilion

BRF bertujuan menyokong PKS untuk pulih dan berkembang, di samping menguruskan tahap keberhutangan[1] mereka melalui penyelesaian pembiayaan yang inovatif. Di bawah BRF, PKS boleh mendapatkan:

a) Pembiayaan ekuiti melalui terbitan saham keutamaan, saham biasa, atau sebarang instrumen mirip ekuiti yang sesuai; atau

b) Gabungan antara pembiayaan hutang daripada institusi kewangan peserta (IKP) dan pembiayaan ekuiti melalui pembiaya ekuiti pihak ketiga (kewangan campuran).

BRF ini tersedia untuk PKS daripada semua sektor ekonomi, sehingga maksimum RM5 juta bagi membiayai modal kerja dan/atau perbelanjaan modal. Tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun.

Bagi b), kadar efektif di bawah BRF adalah sehingga 3.5% setahun untuk pembiayaan tanpa jaminan, atau sehingga 5.0% setahun termasuk sebarang fi jaminan.

PKS yang berminat boleh memohon terus daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan peserta yang dikawal selia oleh BNM.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, “Penyelesaian pembiayaan yang lebih inovatif seperti kewangan campuran dan pembiayaan ekuiti, menggabungkan sumber, kapasiti dan pengetahuan merentas sektor awam dan swasta termasuk bank-bank, institusi kewangan pembangunan dan pelabur ekuiti bagi membantu perniagaan bangkit semula dengan lebih baik dalam landskap selepas pandemik.”

Kemudahan Peralihan Rendah Karbon (Low Carbon Transition Facility, LCTF) berjumlah RM1 bilion

LCTF yang berjumlah RM1 bilion yang disediakan oleh BNM menyokong dan menggalakkan PKS untuk menerapkan amalan kelestarian bagi meningkatkan daya tahan perniagaan. Di bawah kemudahan ini, institusi kewangan akan menyediakan dana padanan sebanyak RM1 bilion daripada dana mereka sendiri. Kemudahan ini adalah selaras dengan matlamat Kerajaan untuk mencapai sasaran ekonomi pelepasan karbon sifar bersih (net-zero emission) pada tahun 2050.

Amalan kelestarian ini termasuk tetapi tidak terhad kepada aktiviti untuk:

  • Mendapatkan pensijilan kelestarian;
  • Meningkatkan penggunaan bahan yang diakui lestari dalam aktiviti pengeluaran;
  • Menambahbaik kecekapan tenaga bangunan dan peralatan; dan
  • Memasang peralatan jana kuasa tenaga boleh baharu di premis.

LCTF ini tersedia untuk PKS daripada semua sektor, sehingga maksimum RM10 juta bagi setiap PKS untuk tujuan pembiayaan modal kerja dan/atau perbelanjaan modal. Tempoh pembiayaan adalah sehingga 10 tahun. Kadar pembiayaan adalah sehingga 5.0% setahun, termasuk sebarang fi jaminan.

PKS yang berminat boleh memohon terus daripada bank-bank perdagangan, bank-bank Islam dan institusi kewangan pembangunan peserta yang dikawal selia oleh BNM.

“Terdapat keperluan mendesak bagi PKS untuk menerapkan amalan kelestarian dalam operasi perniagaan masing-masing pada masa hadapan. LCTF menggalakkan usaha ini dan menyokong industri kewangan untuk meningkatkan inovasi terhadap produk-produk yang ditawarkan bagi memudahkan perniagaan menerapkan amalan kelestarian dan menyesuaikan semula operasi dan proses perniagaan mereka,” ujar Gabenor Nor Shamsiah.

Penambahbaikan Ciri Kemudahan Bantuan Bencana 2022 (Disaster Relief Facility 2022, DRF 2022)

Baru-baru ini, BNM telah meningkatkan peruntukan DRF 2022 sebanyak RM300 juta, menjadikan peruntukan keseluruhan berjumlah RM500 juta. PKS dan perusahaan mikro yang layak boleh mendapatkan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi setiap PKS dan sehingga RM150,000 bagi setiap perusahaan mikro. Tempoh pembiayaan turut dilanjutkan sehingga 7 tahun. PKS boleh menghubungi BNM melalui bnm.my/LINK untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan DRF.

PKS juga boleh mengakses pelbagai kemudahan yang terdapat di bawah Dana BNM untuk PKS. Butiran mengenai dana ini boleh didapati melalui bnm.gov.my/sme-financing.

Sila rujuk:


[1] Tahap keberhutangan ini merujuk penambahbaikan struktur modal PKS terutamanya PKS yang ingin membuat perbelanjaan modal bagi menghasilkan hutang kepada ekuiti (debt to equity) yang lebih terurus untuk PKS tersebut selepas menggunakan BRF.


Bank Negara Malaysia
21 Januari 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?