Penubuhan Mekanisme Penyelesaian Pinjaman Kecil
Bank Negara Malaysia telah menubuhkan satu Mekanisme Penyelesaian Pinjaman Kecil bagi membantu penyusunan semula pinjaman tidak berbayar (NPL) perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih beroperasi.
Di bawah mekanisme baru ini, sebuah Jawatankuasa Penyelesaian Pinjaman Kecil telah ditubuhkan untuk membuat penilaian bebas terhadap daya maju perniagaan, serta mencadangkan kaedah penyusunan semula pinjaman dan keperluan pembiayaan baru perniagaan yang terjejas. Ahli-ahli Jawatankuasa ini terdiri daripada:
• Tuan Haji Yusof Husin (Pengerusi Jawatankuasa)
- Pengerusi, TPPT Sdn. Bhd.
• Dato' Mohd Hanif Sher Mohamed
- Pengerusi, ERF Sdn. Bhd.
• Datuk Wan Azhar Wan Ahmad
- Pengarah Urusan, Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad
• Dato' Mustafa Mansur
- Presiden, Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia
• Encik Mustafa Hamat
- Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia
• Encik Mohd Nasir Ahmad
- Ketua Pegawai Eksekutif, Permodalan Usahawan Nasional Berhad
• Dato' Zukri Samat
- Pengarah Urusan, Pengurusan Danaharta Nasional Berhad
• Encik Teo Tong Kooi
- Pengarah Urusan, Tasek Corporation Berhad
• Encik Chung Chee Leong
- Pengarah, Jabatan Penyeliaan Perbankan 2, Bank Negara Malaysia
• Encik Mahdi Mohd Ariffin
- Pengarah, Jabatan Pentadbiran Pertukaran Asing, Bank Negara Malaysia
Unit Khas IKS di Bank Negara Malaysia akan berfungsi sebagai Urusetia kepada Jawatankuasa ini.
Mekanisme baru ini adalah dibuka kepada PKS yang masih beroperasi yang mempunyai jumlah agregat NPL tidak melebihi RM3 juta dengan bank perdagangan, syarikat kewangan, bank-bank Islam, Bank Pembangunan dan Infrastruktur, dan Bank Industri dan Teknologi. Memandangkan proses penyelesaian pinjaman PKS ini mungkin melibatkan pembiayaan baru, Bank Negara Malaysia telah menubuhkan Tabung Pemulihan Perniagaan Kecil dengan peruntukan sebanyak RM800 juta. Sehubungan dengan ini, perniagaan yang layak boleh memperolehi pembiayaan baru sehingga RM1.5 juta, pada kadar pembiayaan sebanyak 5.0% setahun bagi tempoh maksimum 5 tahun.
Untuk memudahkan permohonan serta pemprosesan pinjaman, borang permohonan standard akan disediakan. PKS yang layak boleh memperolehi dan mengemukakan borang permohonan melalui Unit Khas IKS di Bank Negara Malaysia, ERF Sdn. Bhd. atau mana-mana institusi kewangan pelaksana. Unit Khas IKS dan ERF Sdn. Bhd. boleh dihubungi di alamat berikut:
Unit Khas IKS
Tingkat M, Blok C
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur
Tel: 03 -2693 2330/2691 6539/2691 6971
ERF Sdn. Bhd.
Tingkat 7 & 9
No. 4, Jalan Sultan Sulaiman
50000 Kuala Lumpur
Tel: 03 - 2078 1378
Dengan penubuhan mekanisme penyelesaian pinjaman kecil ini, mekanisme penyusunan pinjaman dan pembiayaan di bawah Tabung Pemulihan dan Pembangunan Usahawan, dan Tabung Pemulihan Industri Kecil dan Sederhana adalah dimansuhkan.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.