Penubuhan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF)

Embargo: Untuk siaran segera
10 Dis 2005 Siaran Akhbar

Kerajaan Malaysia hari ini mengumumkan penubuhan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF). INCEIF akan memulakan operasinya pada bulan Mac 2006.

INCEIF ialah sebuah pusat kecemerlangan antarabangsa bagi pendidikan kewangan Islam untuk membangunkan bakat termasuk ahli profesional dan pakar kewangan Islam yang amat diperlukan bagi mengekalkan daya saing pasaran dan menghadapi cabaran masa hadapan industri kewangan Islam. Bank Negara Malaysia telah mewujudkan dana endowmen bernilai RM500 juta bagi menyokong inisiatif ini.

INCEIF akan menawarkan program pensijilan profesional kewangan Islam dengan mengambil pendekatan pedagogi yang unik dan teknik pengajaran terkini bagi menyalurkan ilmu dan kemahiran. INCEIF juga akan menjalin kerjasama strategik dengan institusi akademik domestik dan asing bagi menawarkan program lepasan ijazah, iaitu Ijazah Sarjana dan Kedoktoran dalam Kewangan Islam dengan pengkhususan dalam bidang tertentu.

Untuk maklumat lanjut mengenai INCEIF dan program yang ditawarkan, sila lawat laman web http://www.inceif.org atau hubungi 603-2698 2044 (sambungan 8843/8874/8718) atau e-mel kepada inceif @bnm.gov.my.


Bank Negara Malaysia
10 Disember 2005

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?