Penubuhan Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa (International Centre For Leadership In Finance)

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1000 pada Rabu, 26 Mac 2003
26 Mac 2003 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penubuhan "International Centre for Leadership in Finance" (Pusat Kepimpinan Kewangan Antarabangsa) untuk menyediakan pendekatan berfokus dan tersusun kepada pembangunan sumber manusia bagi pengurusan kanan dalam sektor kewangan. Penubuhan pusat ini adalah untuk mempercepatkan pembangunan sumber intelek dan keupayaan pengurusan kanan institusi kewangan dan korporat dengan menyediakan program khas dalam perkhidmatan kewangan dan pengurusan strategik. Dalam suasana kewangan yang sentiasa berubah, pengurus kanan yang berkemahiran tinggi dan berupaya untuk bergerak cepat adalah penting bagi menggerakkan strategi institusi kewangan dan memaksimumkan peluang-peluang yang muncul dipersekitaran yang berubah-ubah. Pusat ini akan menjalin perikatan strategi dengan institusi pengajian perniagaan antarabangsa terkenal dan institusi terkemuka bagi menyediakan program eksekutif khusus untuk memenuhi keperluan industri kewangan dan sektor korporat. Perikatan strategi seperti ini akan menyediakan peluang untuk meraih manfaat daripada perkongsian maklumat eksekutif bertaraf tinggi dan program "networking" di Malaysia pada kos yang berpatutan. Pusat ini juga akan membangunkan program teknikal khas dalam bidang kewangan Islam. Bank Negara Malaysia akan memperuntukkan RM500 juta sebagai dana endowmen untuk menubuhkan pusat tersebut. Pendapatan yang dijana daripada pelaburan dana tersebut akan digunakan bagi membiayai perbelanjaan operasi pusat tersebut. Sementara itu, kos menjalankan program akan dibiayai oleh program yang dijalankan. Puan Rafiah Salim, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia akan dilantik sebagai Pengarah Eksekutif pusat tersebut. Puan Rafiah Salim mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang akademik dan sumber manusia. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dari tahun 1997 - 2002.


Bank Negara Malaysia
26 Mac 2003

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?