Penubuhan Tabung Perusahaan Mikro Berjumlah RM200 juta
Bank Negara Malaysia mengumumkan pelancaran Tabung Perusahaan Mikro berjumlah RM200 juta bagi meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perusahaan mikro yang berdaya maju dalam keadaan persekitaran perniagaan semasa yang semakin mencabar. Memandangkan sebilangan besar PKS di Malaysia merupakan perusahaan mikro, akses kepada pembiayaan yang mencukupi bagi segmen perniagaan ini amat perlu bagi membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
Bank Negara Malaysia akan menyalurkan dana kepada perusahaan mikro melalui skim Pembiayaan Mikro yang sedia ada. Kini, terdapat sembilan institusi kewangan yang menyertai skim ini. Skim Pembiayaan Mikro telah berjaya membantu lebih daripada 40,000 perusahaan mikro sejak ia dilancarkan pada tahun 2006. Di bawah skim Pembiayaan Mikro, perusahaan mikro yang berdaya maju boleh mendapatkan pembiayaan mikro sehingga RM50,000 untuk modal kerja atau untuk perbelanjaan modal. Pembiayaan mikro di bawah skim ini tidak memerlukan sebarang cagaran, hanya dokumen yang minimum, dan diluluskan dan dikeluarkan dengan cepat. Pembiayaan Mikro ini boleh didapati di lebih 2,600 cawangan dan wakil/ejen institusi kewangan yang menyertainya, yang mempamerkan Logo Pembiayaan Mikro Kebangsaan. Insitusi kewangan yang menyertai skim ini akan menentukan kadar faedah atau kadar keuntungan yang akan dikenakan dan permohonan adalah tertakluk kepada proses kelulusan pinjaman institusi kewangan pembangunan yang biasa.
Untuk keterangan lanjut, perusahaan mikro boleh menghubungi mana-mana cawangan dan wakil/ejen institusi kewangan yang menyertai skim ini yang mempamerkan Logo Pembiayaan Mikro Kebangsaan, atau berhubung dengan BNMTELELINK di talian 1-300-88-5465
Bank Negara Malaysia
4 November 2008
Nota Tambahan untuk Media:
Institusi Kewangan yang Menyertai Skim Pembiayaan Mikro
Bank Perdagangan dan Bank Islam
1. Alliance Bank Malaysia Berhad
2. AmBank (M) Berhad
3. CIMB Bank Berhad
4. EONCAP Islamic Bank Berhad
5. Public Bank Berhad
6. United Overseas Bank (Malaysia) Berhad
Institusi Kewangan Pembangunan
7. Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad
8. Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank)
9. Bank Simpanan Nasional
Definisi Perusahaan Mikro
Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan mendefinisikan perusahaan mikro seperti yang berikut:
| Sektor Perkilangan dan Sektor Perkhidmatan Berkaitan Perkilangan | Sektor Pertanian Asas dan Sektor Perkhidmatan |
Perniagaan yang mempunyai:
|
Perniagaan yang mempunyai:
|
Definisi di atas boleh juga didapati di pautan berikut dalam Portal SMEinfo: http://www.smeinfo.com.my
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.