Penurunan Kadar Campurtangan

Embargo: Untuk siaran segera
21 Mei 2003 Siaran Akhbar

Kadar Campurtangan 3-bulan Bank Negara Malaysia diturunkan sebanyak 50 mata asas kepada 4.5% berkuatkuasa serta-merta. Kadar berian pinjaman asas (BLR) maksimum bagi bank perdagangan dan syarikat kewangan juga akan menurun masing-masing kepada 6% dan 6.94%, daripada 6.42% dan 7.46%. Operasi mudah tunai Bank Negara Malaysia akan memastikan bahawa kadar antara bank akan dikekalkan pada paras semasa. Ini akan meminimumkan pelarasan ke atas kadar deposit.

Ekonomi Malaysia masih kukuh dalam keadaan ketidaktentuan yang memuncak dalam geopolitik dan ekonomi antarabangsa. Sementara ketegangan di Timur Tengah serta kebimbangan mengenai SARS mungkin reda, pertumbuhan yang sederhana dalam negara maju yang utama dan volatiliti dalam pasaran kewangan yang berterusan telah meningkatkan ketidaktentuan mengenai tahap pemulihan dalam ekonomi dunia pada separuh kedua tahun ini.

Asas makroekonomi Malaysia yang kukuh memberi fleksibiliti dasar. Rizab antarabangsa yang meningkat bersamaan dengan tahap hutang yang rendah, inflasi yang rendah dan sektor perbankan yang kukuh memberi fleksibiliti dasar bagi Malaysia untuk memastikan bahawa sumber pertumbuhan dalam negeri dapat menangani keadaan luaran yang bertambah buruk. Penurunan dalam Kadar Campurtangan Bank Negara Malaysia merupakan langkah awalan mencerminkan fleksibiliti dasar. Kadar berian pinjaman yang lebih rendah, berserta langkah-langkah pakej ekonomi yang lain untuk meningkatkan pendapatan boleh guna, dijangka dapat mengukuhkan keyakinan pengguna dan perbelanjaan untuk menyokong aktiviti-aktiviti ekonomi dalam negeri.

Bank Negara Malaysia berkeyakinan bahawa kesan kumulatif perubahan struktur dan dasar makroekonomi yang proaktif akan menyokong pertumbuhan jangka panjang yang mapan. Langkah-langkah yang dilaksanakan akan menangani kebimbangan terhadap risiko pertumbuhan. Ia akan memperkukuhkan langkah-langkah jangka panjang yang lain untuk memastikan pertumbuhan pada jangka masa sederhana sejajar dengan potensi output.


Bank Negara Malaysia
21 Mei 2003

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?