Penyalahgunaan Surat Perakuan yang Dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia kepada Institusi Terjadual
Bank Negara Malaysia telah menerima pertanyaan daripada orang ramai berhubung dengan syarikat yang mendakwa sebagai institusi terjadual (scheduled institution) dengan Bank Negara Malaysia yang membolehkan syarikat mendapatkan pelaburan daripada orang ramai.
Bank Negara Malaysia ingin menyatakan bahawa di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989, sesebuah syarikat yang menjalankan sama ada aktiviti pemajakan, pemfaktoran, kewangan pembangunan atau kredit bangunan hanya diperlukan untuk mendapatkan perakuan bertulis daripada Bank Negara Malaysia. Surat perakuan tersebut yang dikeluarkan oleh Bank bukan lesen perniagaan atau kelulusan daripada Bank Negara Malaysia berhubung dengan perniagaan terjadual seperti dinyatakan dalam surat perakuan berkenaan, ataupun perniagaan lain yang dijalankan oleh institusi terjadual berkenaan.
Senarai institusi terjadual yang telah mendapat perakuan daripada Bank disimpan untuk tujuan perangkaan semata-mata. Sekiranya sesebuah institusi terjadual tidak, atau berhenti daripada menjalankan perniagaan terjadualnya, Bank Negara Malaysia akan menarik balik Surat Perakuan tersebut.
Bank Negara Malaysia ingin menasihati orang ramai agar berwaspada apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menggunakan surat perakuan sedemikian yang dikatakan dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan pelaburan dalam skim-skim kewangan yang melibatkan emas dan logam-logam berharga yang lain.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada Peringatan kepada Semua Penggguna Kewangan yang terdapat di laman sesawang Bank Negara Malaysia (www.bnm.gov.my).
Orang ramai juga boleh menghubungi:
BNMTELELINK (Pusat Perhubungan Khidmat Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Faksimile: (03)2174 1515
E-mel: [email protected]
Untuk menghantar pertanyaan atau aduan melalui SMS,
sila taip 15888* BNM TANYA [pertanyaan/aduan anda]
* Setiap mesej yang dihantar akan dikenakan caj RM0.15, dan setiap mesej yang diterima dikenakan caj RM0.20 oleh penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
BNMLINK (Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Bank Negara Malaysia Kuala Lumpur (Blok D, Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur)
Atau, kunjungi cawangan BNMLINK di Bank Negara Malaysia: Johor Bahru, Pulau Pinang, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching
(Waktu urusan: Isnin - Jumaat, 9:00 pagi - 5:00 petang)
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.