Penyampaian Anugerah Diraja Keenam bagi Kewangan Islam akan berlangsung pada 4 Oktober 2022

11 Ogo 2022 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ingin mengumumkan bahawa majlis Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 akan berlangsung pada 4 Oktober 2022 di Kuala Lumpur.

Anugerah Diraja ini merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan yang diberikan kepada individu berwawasan dalam bidang kewangan Islam yang telah memberikan sumbangan yang besar dari segi pencapaian dan inovasi terhadap perkembangan kewangan Islam, ekonomi global dan kemajuan sosial masyarakat di seluruh dunia. Pencarian global telah dibuka pada bulan Disember 2021 dan sejumlah 49 cadangan diterima untuk 37 calon  daripada 14 negara. Calon-calon Anugerah Diraja ini antaranya terdiri daripada pengamal kewangan Islam yang terkenal, cendekiawan Syariah dan ahli akademik. 

Pemenang tahun ini bakal dinobatkan sebagai penerima keenam Anugerah Diraja. Anugerah berprestij dwitahunan1 ini diperkenalkan pada tahun 2010 bagi menyokong Malaysia sebagai peneraju pusat kewangan islam antarabangsa yang komprehensif dan sofistikated.  

Pemenang Anugerah Diraja dipilih oleh tujuh juri bebas antarabangsa yang dipengerusikan oleh mantan Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam. Para juri terdiri daripada cendekiawan Syariah, ahli akademik dan peneraju industri kewangan Islam terkemuka. Proses penilaian adalah berdasarkan satu set kriteria pemilihan yang ditetapkan, merangkumi sumbangan yang memacu dan menyokong pertumbuhan kewangan Islam, merintis inovasi, memperluas sempadan ilmu pengetahuan dan mempamerkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang di samping mempunyai pengaruh yang besar.

Selain Anugerah Diraja tersebut, dua kategori anugerah baharu turut diperkenalkan pada tahun ini iaitu Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak yang akan disampaikan dalam sebuah majlis berasingan.

Anugerah Pemimpin Baharu mengiktiraf bakat muda antarabangsa yang telah memberikan sumbangan cemerlang dalam memajukan idea-idea inovatif dalam bidang kewangan Islam. Untuk anugerah ini, Jawatankuasa Penganjur telah menerima sebanyak 18 cadangan bagi 14 calon dari 8 negara. Pemenang anugerah ini ditentukan oleh panel antarabangsa Jawatankuasa Pemilihan, yang terdiri daripada ahli akademik dan penggiat industri yang dihormati.

Sementara itu, Anugerah Cabaran Berimpak mengiktiraf penyelesaian digital dan inovatif berdasarkan prinsip kewangan Islam atau penggerak kewangan Islam, yang bertujuan untuk meningkatkan daya tahan ekonomi dan sosial masyarakat yang terjejas dari segi kewangan di seluruh dunia. Anugerah ini merupakan kerjasama dengan The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia dan Malaysia Digital Economy Corporation.

Penerima anugerah ini dinilai berdasarkan empat kriteria, iaitu inovasi, impak, daya maju komersial dan kebolehskalaan.

Pihak penganjur telah menerima 50 permohonan dari 14 negara untuk Anugerah Cabaran Berimpak. Mereka yang memenuhi kriteria telah disenarai pendek untuk menyertai Program Penggalak. Pada akhir program tersebut, peserta membentangkan penyelesaian inovatif mereka kepada panel hakim yang terdiri daripada wakil pengurusan kanan dari BNM dan SC, Bank Pembangunan Islam (IsDB), World Bank Group dan industri modal teroka.

Anugerah Pemimpin Baharu dan Anugerah Cabaran Berimpak akan disampaikan semasa Forum Kewangan Islam Global 2022 (GIFF 2022) pada 5 Oktober 2022 di Kuala Lumpur.

____________

1 Berikutan pandemik COVID-19, Anugerah Diraja telah ditangguhkan pada tahun 2020.

     

  

Ahli Media boleh menghubungi Pegawai Media yang berikut:
Roziah Mohd. Hanifa ([email protected]), Delyana Nordin ([email protected])

 


NOTA KEPADA EDITOR

Penerima Terdahulu Anugerah Diraja Kewangan Islam

Penerima Anugerah Diraja sebelum ini ialah Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia (2018); Profesor Datuk Dr Rifaat Ahmed Abdel Karim, mantan Ketua Pegawai Eksekutif International Islamic Liquidity Management Corporation (2016); Dato’ Dr Abdul Halim Ismail, anggota pengasas bank Islam pertama di Malaysia (2014); Encik Iqbal Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital (2012); dan Shaikh Saleh Abdullah Kamel, pengasas Kumpulan Dallah al Baraka (2010). Anugerah Diraja pada tahun 2010 turut mengiktiraf Allahyarham Dr Ahmad El-Naggar yang sering dirujuk sebagai ‘Bapa Perbankan Islam Moden’. Anugerah ini diberikan secara posthumus sebagai penghormatan kepada beliau.

Mengenai Pasaran Kewangan Islam Malaysia

Sejak kewujudannya hampir 40 tahun yang lalu, kewangan Islam di Malaysia telah berkembang menjadi pasaran kewangan Islam yang maju dan komprehensif serta berupaya memenuhi pelbagai keperluan ekonomi dan masyarakat. Pasaran ini dicirikan oleh rangka kerja pengawalseliaan, penyeliaan, Syariah dan perundangan yang mantap; pasaran kewangan Islam yang teguh dan progresif; pelbagai penggiat industri; kepelbagaian aset komoditi dan platform pertukaran; gerbang pembayaran berbilang saluran yang cekap untuk memudahkan pengantaraan kewangan; serta kumpulan tenaga mahir dengan keupayaan dan kesalinghubungan global untuk urusan perniagaan di serata dunia.

Pasaran kewangan Islam Malaysia terbuka kepada peserta industri global dan peserta pasaran untuk bekerjasama dan saling mendapat manfaat daripada persekitaran perniagaan inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga yang sangat kondusif. Pasaran ini merupakan ekosistem kewangan Islam dan persekitaran perniagaan komprehensif yang meliputi infrastruktur, inovasi, kepakaran dan aliran urus niaga. Pasaran ini diuruskan oleh Komuniti Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC) yang terdiri daripada institusi kewangan, firma profesional, pengawal selia dan agensi kerajaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai pasaran kewangan Islam Malaysia, sila layari www.mifc.com dan ikuti kami melalui Twitter (@MalaysiaIF) / LinkedIn (@Malaysia World's Islamic Finance Marketplace).

Mengenai Bank Negara Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) ialah bank pusat Malaysia. Matlamat utama BNM adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan. Bagi mencapai matlamat ini, BNM memainkan peranan penting dalam membangunkan sistem kewangan konvensional dan kewangan Islam kerana sistem kewangan yang dibangunkan dengan baik akan menyumbang kepada daya tahan negara. Selama bertahun-tahun, BNM juga telah menerajui usaha mempromosikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.

Layari www.bnm.gov.my untuk maklumat lanjut.

Mengenai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) merupakan sebuah badan berkanun yang terletak di bawah Kementerian Kewangan dan ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan satu-satunya agensi kawal selia untuk pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung untuk menyelia dan memantau aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa dan rumah penjelasan, dan mengawal selia semua individu yang dilesenkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat lanjut mengenai SC boleh didapati melalui laman sesawang www.sc.com.my. Ikuti SC di Twitter menerusi @SecComMy untuk mendapatkan perkembangan terkini.

Mengenai The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub di Malaysia

The World Bank Group Inclusive Growth and Sustainable Finance Hub (Hub) di Malaysia merupakan kerjasama antara Malaysia dengan Bank Dunia. Hub bekerjasama rapat dengan rakan setara di dalam dan luar negara dengan menjalankan kerja-kerja analisis, khidmat nasihat dan penyelidikan untuk menyokong pertumbuhan inklusif, menggalakkan kewangan lestari dan kewangan inklusif serta memantapkan tadbir urus yang baik.

Layari www.wbg.org/my atau www.facebook.com/worldbankmalaysia untuk maklumat lanjut.


Bank Negara Malaysia
11 Ogos 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?