Penyerahan Fungsi Sekretariat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan kepada SMIDEC

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 0500 pada Khamis, 24 Julai 2008
24 Jul 2008 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan penyerahan rasmi fungsi Sekretariat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) kepada Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) berkuat kuasa hari ini. Dengan penambahan fungsi ini, SMIDEC akan ditransformasikan menjadi Agensi Penyelaras Pusat PKS dan dikenali sebagai SME Corporation Malaysia (SME Corp.).

Bank Negara Malaysia telah memainkan peranan sebagai Sekretariat MPPK sejak ia ditubuhkan pada 1 Jun 2004. Sejak penubuhan MPPK, pelbagai langkah telah dilaksanakan untuk memperkukuh infrastruktur dan asas-asas bagi menggalakkan pembangunan PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan. Beberapa inisiatif utama dan pencapaian MPPK termasuk:

  • Penyatuan program pembangunan oleh Kerajaan dalam rangka tindakan tahunan. Ini telah meningkatkan kerjasama antara Kementerian dan Agensi dalam menghasilkan program yang lebih efektif untuk PKS;
  • Program PKS kini lebih berasaskan prestasi untuk mencapai objektif dan sasaran yang ditetapkan;
  • Akses kepada pembiayaan yang lebih meluas bagi PKS dan perusahaan mikro dalam kesemua sektor;
  • Khidmat nasihat kewangan yang lebih meluas termasuk khidmat penyusunan semula kewangan;
  • Penyebaran maklumat yang lebih meluas kepada PKS melalui Portal SMEinfo dan Laporan Tahunan PKS, serta melalui pelbagai saluran maklumat yang lain;
  • Penyelarasan yang lebih baik bagi program latihan yang disediakan kepada PKS; dan
  • Penetapan definisi PKS yang standard dan pewujudan pangkalan data PKS bagi pengumpulan maklumat penting tentang kemajuan dan prestasi PKS.

PKS kini telah pun mencapai tahap produktiviti yang lebih tinggi dalam kesemua sektor utama ekonomi, khususnya produktiviti dalam sektor perkilangan yang meningkat 5.3%. Akses dan kualiti bagi pembiayaan dan khidmat nasihat kepada PKS juga telah meningkat hasil daripada pengaturan keinstitusian yang lebih kukuh.

SME Corp. akan meneruskan peranan Sekretariat dalam menyelaraskan keseluruhan perumusan dasar PKS dan penilaian prestasi program pembangunan PKS dalam kesemua sektor. SME Corp. juga akan menjadi pusat maklumat, rujukan dan khidmat nasihat bagi PKS. SME Corp. akan mula beroperasi pada 2 Januari 2009.

Penubuhan sebuah Agensi PKS yang khusus merupakan penambahbaikan struktur yang sangat penting dalam agenda pembangunan PKS yang bermatlamat membangunkan PKS yang berdaya saing dan berdaya tahan .


Bank Negara Malaysia
24 Julai 2008

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?