Peralihan daripada KLIBOR kepada MYOR dan MYOR-i
Bank Negara Malaysia (BNM) ingin mengumumkan peralihan daripada Kadar Tawaran Antara Bank Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Interbank Offered Rate, KLIBOR) kepada Kadar Semalaman Malaysia (Malaysia Overnight Rate, MYOR) dan Kadar Islam Semalaman Malaysia (Malaysia Islamic Overnight Rate, MYOR-i). Pada akhir tempoh peralihan ini, KLIBOR akan ditamatkan berkuat kuasa 1 Januari 2029.
MYOR dan MYOR-i, yang masing-masing diperkenalkan pada tahun 2021 dan 2022, ialah kadar penanda aras berasaskan transaksi yang didorong oleh urus niaga dalam pasaran yang aktif dan cair. Peralihan ini dilaksanakan susulan Kertas Perbincangan Mengenai Cadangan Peralihan Penuh kepada MYOR dan MYOR-i dan Penamatan KLIBOR yang diterbitkan pada bulan September 2024, yang telah menerima sokongan meluas daripada peserta pasaran.
Peralihan ini merupakan sebahagian daripada agenda pembaharuan penanda aras kewangan Malaysia seperti yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022–2026 oleh BNM. Peralihan ini juga selaras dengan inisiatif pembaharuan penanda aras kewangan pada peringkat global. Peralihan kepada MYOR dan MYOR-i berperanan sebagai inisiatif berpandangan ke hadapan yang proaktif untuk memastikan penanda aras kewangan domestik kekal utuh.
BNM[1] telah menerbitkan pelan hala tuju peralihan bagi mempercepat penggunaan MYOR dan MYOR-i serta memastikan peralihan yang teratur. Sasaran pencapaian utama termasuk:
- Bermula 1 Oktober 2026, peserta pasaran dijangka telah bersedia dari segi operasi untuk menawarkan produk yang merujuk MYOR dan MYOR-i sebagai sebahagian daripada penawaran yang standard.
- Bermula 1 Julai 2027, KLIBOR tidak lagi digunakan dalam urus niaga baharu semua produk.
- BNM bercadang untuk mewajibkan penggunaan MYOR-i bagi semua produk kewangan Islam baharu bermula 1 Julai 2027.
- Bermula 30 Jun 2028, semua kontrak KLIBOR sedia ada akan ditukar kepada MYOR dan MYOR-i, setakat yang boleh, dan sebarang kontrak yang berbaki hendaklah mengandungi pelan sandaran yang kukuh.
BNM, bersama-sama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC), akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan industri untuk memastikan seluruh industri bersiap sedia menghadapi peralihan ini. Bagi tujuan ini, BNM telah menubuhkan Jawatankuasa Kecil Penyelarasan Peralihan KLIBOR dan empat kumpulan kerja di bawah FMC untuk membantu pelaksanaan dan menyokong peralihan yang teratur.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pasukan Tinjauan Penanda Aras Kewangan menerusi [email protected] atau rujuk:
- Tinjauan Kestabilan Kewangan ST1 2025 – Rencana: Peralihan daripada KLIBOR kepada MYOR dan MYOR-i
- Laman sesawang peralihan MYOR dan MYOR-i
Bank Negara Malaysia
16 Oktober 2025
Rujukan:
[1] Menerusi perbincangan bersama-sama Jawatankuasa Pasaran Kewangan (Financial Markets Committee, FMC) sebagai Jawatankuasa Pemandu untuk peralihan KLIBOR.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.