Peraturan mengenai Skim Ombudsman Kewangan

Embargo: Untuk siaran segera
29 Okt 2015 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia ingin mengumumkan bahawa Peraturan Perkhidmatan Kewangan (Skim Ombudsman Kewangan) 2015 dan Peraturan Perkhidmatan Kewangan Islam (Skim Ombudsman Kewangan) 2015 (Peraturan) telah berkuat kuasa pada 14 September 2015. Peraturan ini, yang disiarkan dalam Warta pada 11 September 2015, menyediakan peruntukan bagi kelulusan, pengawasan dan obligasi Skim Ombudsman Kewangan (Financial Ombudsman Scheme, FOS) di Malaysia. 

Peraturan ini merintis jalan bagi penubuhan FOS sebagai sebahagian daripada usaha Bank Negara Malaysia untuk menambah baik pengaturan penyelesaian pertikaian kewangan bagi pengguna dan meningkatkan perlindungan pengguna.

Cadangan rangka kerja FOS yang merangkumi skop, keanggotaan, pendanaan, tadbir urus dan proses penyelesaian telah disiarkan pada 29 Ogos 2014 untuk mendapatkan maklum balas orang ramai dan 55 maklum balas yang diterima memperkukuh sokongan meluas terhadap cadangan tersebut. Komen dan cadangan khusus telah dimasukkan dalam Peraturan akhir serta pengendalian FOS.  Ini termasuk:

  • Menyediakan peruntukan untuk mengkaji semula secara berkala had monetari yang terpakai untuk pertikaian yang layak supaya mencerminkan perubahan dalam nilai perkhidmatan atau produk kewangan;
  • Menggariskan tanggungjawab yang jelas ke atas pengarah FOS untuk bertindak bagi kepentingan FOS pada setiap masa dan bebas daripada mana-mana kumpulan atau badan tertentu yang mungkin dianggotai oleh seseorang pengarah itu;
  • Memberikan penekanan pada dua peringkat proses penyelesaian pertikaian iaitu pengantaraan dan penghakiman, yang memberikan peluang yang mencukupi kepada pihak-pihak yang bertikai untuk menyemak maklumat, isu dan perselisihan yang berkenaan, dalam usaha mencari penyelesaian yang sebaiknya. Sekiranya persetujuan tidak dapat dicapai, keputusan oleh ombudsman hendaklah disokong oleh hujah bagi keputusan tersebut yang seterusnya mengikat penyedia perkhidmatan kewangan sekiranya diterima oleh pengadu. Lembaga Pengarah FOS dikehendaki menyediakan prosedur untuk menerima rujukan yang diberikan oleh penyedia perkhidmatan kewangan semata-mata untuk tujuan semakan dalaman bagi meningkatkan keberkesanan FOS secara berterusan. Maklumat sedemikian juga  tersedia untuk kajian semula Bank dan pihak bebas terhadap operasi FOS. Walau bagaimanapun, ini tidak akan menjejaskan keputusan muktamad oleh ombudsman yang amat penting bagi memastikan keberkesanan FOS sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian alternatif; dan
  • Menerima pakai struktur fi untuk pendanaan FOS bagi menggalakkan penyedia perkhidmatan kewangan untuk menambah baik pengurusan aduan di samping menyediakan akses kepada FOS pada kos yang berpatutan untuk  orang ramai. Apabila dilaksanakan, pengguna boleh menggunakan perkhidmatan FOS secara percuma.

FOS dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2016. Pengguna boleh membawa pertikaian yang layak yang melibatkan mana-mana penyedia perkhidmatan kewangan berikut, kepada FOS untuk penyelesaian:

  • bank dan bank-bank Islam berlesen;
  • syarikat penanggung insurans dan pengendali takaful berlesen;
  • institusi kewangan pembangunan yang ditetapkan;
  • pengeluar instrumen pembayaran yang ditetapkan dan pengeluar instrumen pembayaran Islam yang ditetapkan  dan yang diluluskan;
  • broker insurans dan broker takaful yang diluluskan; dan
  • penasihat kewangan dan penasihat kewangan Islam yang diluluskan.

Maklumat lanjut mengenai FOS boleh didapati daripada Peraturan dan dokumen perundingan yang terdapat di laman sesawang Bank Negara Malaysia:

Sebagai tambahan, FOS akan menerbitkan terma rujukannya apabila mula beroperasi kelak.


Bank Negara Malaysia
29 Oktober 2015

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?