Perbincangan dan Interaksi Antara Bank Negara Malaysia dengan Komuniti PKS dan Institusi Kewangan di Terengganu

Embargo: Untuk siaran segera
05 Apr 2019 Siaran Akhbar

Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengadakan sesi dialog dengan PKS tempatan, agensi kerajaan negeri dan institusi kewangan sempena Karnival Kewangan yang dilancarkan pada 4 April di Kuala Terengganu. Sidang dialog itu dipengerusikan oleh Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid dan turut dihadiri oleh 11 persatuan PKS dan dewan perniagaan tempatan.
 
BNM menyatakan komitmen dalam memastikan ekosistem pembiayaan memenuhi keperluan PKS terutamanya dari segi pembiayaan, khidmat nasihat dan saluran bantuan penyelesaian. Beliau juga menjelaskan akses kepada pembiayaan untuk sektor PKS boleh didapati daripada 40 institusi kewangan termasuk 16 institusi kewangan Islam.
 
Melalui sesi dialog ini, komuniti perniagaan telah memberikan pandangan mereka tentang perkembangan yang mempengaruhi wilayah pantai timur dan membincangkan cabaran yang mereka hadapi dalam menjalankan perniagaan. Rata-rata PKS di Terengganu tidak merasakan akses kepada pembiayaan sebagai cabaran utama, tetapi menekankan isu kapasiti dan latihan, serta keperluan untuk meningkatkan pengetahuan tentang produk kewangan.
 
PKS juga disarankan mendapatkan bantuan dari peringkat awal lagi jika berhadapan dengan masalah pembiayaan. BNM menyediakan platform khidmat nasihat seperti ‘Kaunter PKS’ yang khusus ditubuhkan di kesemua enam Pusat BNMLINK serata negara (Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kuching).
 
PKS digesa untuk mendaftarkan perniagaan mereka bagi membolehkan mereka mendapat manfaat daripada pelbagai skim pembiayaan yang disediakan termasuk juga pembiayaan melalui ‘Tabung BNM untuk PKS’ dan kemudahan pembiayaan Islam oleh institusi kewangan Islam. PKS dinasihati untuk memperoleh kemahiran pengurusan kewangan, mengekalkan penyimpanan rekod yang baik dan mendapatkan perlindungan takaful atau insurans untuk melindungi perniagaan daripada sebarang kejutan atau bencana alam.
 
Perbincangan dan interaksi ini telah mendapat maklum balas yang positif daripada para usahawan dan agensi kerajaan di Terengganu. Agensi kerajaan negeri menyatakan harapan untuk terus bekerjasama dengan industri kewangan untuk meningkatkan akses PKS kepada khidmat nasihat dan pembiayaan.


Bank Negara Malaysia
05 April 2019

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?