Peringatan Mengenai Tawaran Duit Syiling Awal (Initial Coin Offerings, ICO)

Embargo: Untuk siaran segera
19 Jan 2018 Siaran Akhbar

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai skim tawaran duit syiling awal (initial coin offerings, ICO) yang melibatkan aktiviti yang tertakluk di bawah undang-undang yang ditadbir oleh SC dan BNM. Aktiviti-aktiviti tersebut yang dijalankan tanpa kebenaran yang sah merupakan suatu kesalahan.

Pengeluar ICO perlu sedar bahawa pelancaran ICO, iaitu tawaran token digital untuk ditukar kepada mata wang digital atau apa-apa bentuk pembayaran dan aktiviti sampingan, boleh menyebabkan keperluan pengawalseliaan dilaksanakan di bawah undang-undang sekuriti. Selain itu, individu tidak dibenarkan untuk menjalankan apa-apa aktiviti yang dikawal selia seperti pemerolehan dana, pengurusan dana dan urus niaga produk pasaran modal tanpa mendapatkan kelulusan atau kebenaran yang sah daripada SC.

Pengendali ICO juga dilarang menjalankan aktiviti yang dikawal selia seperti mengambil deposit dan perniagaan perbankan, aktiviti pentadbiran pertukaran asing dan pengiriman wang, tanpa mendapatkan kebenaran yang diperlukan di bawah undang-undang perkhidmatan kewangan yang ditadbir oleh BNM.

Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyertai ICO dan dinasihatkan untuk merujuk senarai institusi yang dilesenkan atau dibenarkan untuk menjalankan aktiviti yang dikawal selia undang-undang yang ditadbir oleh SC dan BNM.

Kedua-dua pihak berkuasa tersebut akan terus memantau perkembangan ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana individu yang menjalankan aktiviti haram atau aktiviti tanpa kebenaran.

 

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
19 Januari 2018


Bank Negara Malaysia
19 Januari 2018

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?