Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Kedua Tahun 2022
Ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi sebanyak 8.9% pada suku kedua (S1 2022: 5.0%)
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh sebanyak 8.9% pada suku kedua tahun 2022 (S1 2022: 5.0%). Walaupun KDNK meningkat sebahagiannya disebabkan oleh asas yang rendah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh pada bulan Jun 2021, pertumbuhan pada bulan April dan Mei 2022 menunjukkan prestasi yang kukuh. Permintaan dalam negeri terus kukuh, disokong oleh pemulihan keadaan pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan. Pertumbuhan yang lebih tinggi juga mencerminkan kegiatan ekonomi yang kembali normal apabila negara beralih ke fasa endemik dan sempadan antarabangsa dibuka semula. Eksport terus disokong oleh permintaan yang kukuh untuk produk E&E. Dari segi sektor, pertumbuhan terus didorong oleh sektor perkhidmatan dan sektor perkilangan. Pada asas suku tahun ke suku tahun terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 3.5% (S1 2022: 3.8%).
Pada suku kedua, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing meningkat sebanyak 2.8% dan 2.5% (S1 2022: masing-masing 2.2% dan 1.7%). Inflasi teras yang lebih tinggi mencerminkan keadaan permintaan yang bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi dengan kenaikan harga yang didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan barangan makanan lain.
Perkembangan kadar pertukaran
Ringgit menyusut nilai sebanyak 4.6% berbanding dolar AS pada suku kedua tahun 2022 (sejak awal tahun hingga 10 Ogos 2022: -6.3%). Secara umumnya, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau
(S2 2022: -4.7%; sejak awal tahun sehingga kini: -5.8%). Hal ini sebahagian besarnya mencerminkan pengukuhan dolar AS yang berterusan berikutan dasar monetari AS menjadi ketat secara agresif, penghindaran risiko pelabur yang meningkat disebabkan oleh prospek pertumbuhan global yang lebih lemah dan konflik ketenteraan di Ukraine. Walau bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan ekonomi Malaysia telah mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit disebabkan oleh perkembangan luaran pada suku itu. Pada masa hadapan, walaupun pasaran kewangan domestik akan terus bergantung pada beberapa tempoh volatiliti yang ketara, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat terus dibendung secara keseluruhannya. Hal ini disokong oleh kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang mantap.
Keadaan pembiayaan
Pembiayaan bersih kepada sektor swasta meningkat sebanyak 4.9% (S1 2022: 4.5%) dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (5.4%; S1 2022: 4.4%). Pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana (3.4%; S1 2022: 4.6%) apabila pertumbuhan penebusan bon terus mengatasi pertumbuhan terbitannya. Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 5.5% (S1 2022: 4.3%), berikutan pengembangan yang kukuh bagi pengeluaran pinjaman untuk modal kerja dan pelaburan. Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul terus meningkat (5.7%; S1 2022: 4.8%), dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dicatatkan merentas semua tujuan pinjaman. Pengeluaran pinjaman kekal mantap berikutan permintaan pinjaman yang kukuh, khususnya bagi pembelian kereta dan rumah. Secara keseluruhan, bayaran balik pinjaman bagi segmen perniagaan dan segmen isi rumah adalah menggalakkan apabila berakhirnya program bantuan bayaran balik pinjaman dan pembukaan semula ekonomi.
Ekonomi Malaysia akan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh
Susulan pertumbuhan pada separuh pertama tahun 2022 sebanyak 6.9%, ekonomi Malaysia diunjurkan terus berkembang bagi bulan-bulan yang akan datang pada tahun ini. Mengulas tentang prospek tahun 2022, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah menjelaskan, “Meskipun permintaan luaran mungkin terkesan oleh pertumbuhan global yang lebih perlahan, ekonomi Malaysia akan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh. Pertumbuhan juga akan mendapat manfaat daripada keadaan pasaran pekerja yang semakin pulih dan ketibaan pelancong yang lebih banyak serta pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun.” Walau bagaimanapun, pertumbuhan Malaysia terus terdedah kepada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang lebih meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin buruk.
Inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi pada beberapa bulan akan datang sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas daripada diskaun ke atas harga elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2021. Inflasi teras diunjurkan berpurata lebih tinggi pada tahun 2022 apabila permintaan terus bertambah baik dalam persekitaran kos yang tinggi. Tekanan menaik terhadap inflasi dijangka kekal dibendung sebahagiannya oleh langkah-langkah kawalan harga yang sedia ada, subsidi bahan api dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus bergantung pada risiko inflasi menjadi semakin tinggi yang berpunca daripada kekukuhan permintaan dalam negeri, perkembangan harga global dan langkah-langkah dasar dalam negeri.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.