Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Kedua Tahun 2026
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6% pada suku kedua tahun 2026
Pertumbuhan ekonomi mengukuh kepada 6% pada suku kedua tahun 2026 (S1 2026: 5.4%), didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan serta eksport yang kukuh. Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan. Pertumbuhan pelaburan pula disokong oleh perbelanjaan yang berterusan bagi struktur serta jentera dan kelengkapan. Dalam sektor luaran, pertumbuhan pesat eksport didorong terutamanya oleh permintaan yang terus kukuh terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) dan pengembangan perkhidmatan yang berterusan, di samping pemulihan eksport gas asli cecair (liquefied natural gas, LNG) dan produk perkilangan bukan E&E. Import kasar terus berkembang berikutan pertumbuhan yang kukuh dalam import barangan perantaraan dan barangan pengguna.
Dari segi penawaran, pertumbuhan disokong oleh pengembangan sektor perkhidmatan dan perkilangan. Pertumbuhan sektor perkhidmatan yang lebih tinggi didorong oleh subsektor berkaitan perniagaan, terutamanya subsektor teknologi maklumat dan komunikasi (information and communication technology, ICT) berikutan peningkatan pengoperasian pusat data. Pertumbuhan sektor perkilangan yang kukuh pula dipacu oleh kelompok industri berorientasikan eksport, khususnya segmen E&E susulan permintaan yang tinggi terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (artificial intelligence, AI). Sektor perlombongan dan pengkuarian kembali mencatatkan pertumbuhan positif, mencerminkan pengeluaran gas asli yang lebih tinggi. Berdasarkan asas suku tahunan yang terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 2.5% (S1 2026: -0.03%).
Inflasi keseluruhan meningkat dalam keadaan inflasi teras menjadi sederhana pada suku kedua
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.9% (S1 2026: 1.6%), manakala inflasi teras menurun kepada 1.9% (S1 2026: 2.1%). Peningkatan inflasi keseluruhan sebahagian besarnya mencerminkan tekanan kos luaran yang lebih tinggi susulan konflik di Timur Tengah. Harga bahan api, khususnya RON97 dan diesel, meningkat sepanjang suku tersebut sekali gus menyebabkan inflasi bahan api yang lebih tinggi (5%; S1 2026: -1.5%). Walaupun tekanan kos pengeluar meningkat, tekanan tersebut kekal tertumpu pada peringkat huluan. Kesan limpahan masih terhad bagi peringkat pengeluaran seterusnya dan harga pengguna secara lebih meluas sepanjang suku tersebut. Sementara itu, inflasi teras mereda disebabkan terutamanya oleh penurunan inflasi barang kemas dan jam tangan (23.7%; S1 2026: 39.1%) serta sewa (1.4%; S1 2026: 1.6%). Tahap rebakan inflasi (inflation pervasiveness) yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, meningkat kepada 45.5% pada suku kedua (S1 2026: 38.3%), menghampiri purata yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu 45.6%. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan ketara pada bulan April sebelum kembali sederhana pada bulan Mei dan Jun.
Ringgit kekal stabil secara amnya berbanding mata wang rakan dagangan utama pada suku kedua tahun 2026
Kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) kekal stabil secara amnya (S2 2026: -0.8%; S1 2026: +1.4%), meskipun keadaan kewangan global yang terus berubah, khususnya berikutan perubahan jangkaan pasaran terhadap hala tuju dasar monetari AS.
Ringgit terus disokong oleh asas ekonomi dalam negeri yang kukuh serta momentum pertumbuhan Malaysia yang positif. Bagi tempoh awal tahun ini hingga 12 Ogos 2026, ringgit terus mencatatkan prestasi yang stabil secara amnya berbanding dolar AS (-0.9%) serta mata wang rakan dagangan utama Malaysia yang lain (NEER: -1%).
Pada masa hadapan, meskipun faktor luaran akan terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran, prospek ekonomi Malaysia yang positif, di samping pembaharuan struktur yang berterusan dijangka terus menyokong ringgit. Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau rapi perkembangan global dan kekal komited dalam memastikan pasaran pertukaran asing domestik kekal berfungsi dengan teratur.
Pertumbuhan kredit didorong oleh peningkatan bon korporat dan pinjaman perniagaan terkumpul
Pembiayaan kekal tersedia bagi menyokong kegiatan ekonomi dan keperluan perniagaan. Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 6.4% pada suku kedua tahun 2026 (S1 2026: 5.6%). Bon korporat terkumpul meningkat kepada 8.1% (S1 2026: 5.9%) mencerminkan terbitan bon yang lebih tinggi, terutamanya dalam sektor utiliti dan bagi tujuan modal kerja. Selain itu, pinjaman perniagaan terkumpul berkembang sebanyak 7.2% (S1 2026: 5.7%), didorong oleh pinjaman bagi tujuan modal kerja dan berkaitan pelaburan. Mengikut segmen, pertumbuhan tersebut didorong oleh pinjaman dalam kalangan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Sementara itu, pinjaman dalam kalangan PKS berkembang sebanyak 4.2% (S1 2026: 5.2%) berikutan permintaan pinjaman yang mampan bagi tujuan modal kerja. Bagi isi rumah, pinjaman berkembang sebanyak 5.3% (S1 2026: 5.4%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman pembelian rumah yang stabil.
Institusi kewangan terus menyokong PKS yang menghadapi kesukaran kewangan sementara. Bantuan bayaran balik, penstrukturan semula pembiayaan dan khidmat nasihat yang disesuaikan dengan keadaan peminjam terus tersedia bagi PKS yang terjejas. PKS berkenaan juga boleh mendapatkan bantuan melalui Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil (SPPK) yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Bantuan bersasar turut disediakan kepada PKS berdaya maju yang terjejas akibat gangguan susulan konflik di Timur Tengah menerusi Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF). Setakat 7 Ogos 2026, pembiayaan berjumlah RM2.8 bilion telah diluluskan yang memanfaatkan lebih daripada 4,900 akaun PKS. Di samping itu, PKS boleh memanfaatkan Skim Jaminan BNM-CGC berjumlah RM10 bilion bagi memperkukuh daya tahan dan meningkatkan daya saing untuk masa hadapan.
Ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan luaran, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh
Gabenor Bank Negara Malaysia, Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh. Pertumbuhan pada tahun 2026 diunjurkan kekal dalam julat unjuran 4% hingga 5% dengan perkembangan terkini mengisyaratkan bahawa pertumbuhan keseluruhan berpotensi mencecah sekitar 5%. Walaupun prospek pertumbuhan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran tersebut, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta kesediaan dasar.”
Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh pertumbuhan pendapatan serta pelaksanaan langkah-langkah dasar yang berterusan. Sementara itu, aktiviti pelaburan akan dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, kadar realisasi pelaburan yang diluluskan yang kekal tinggi serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional. Dari segi sektor luaran, pertumbuhan eksport akan terus disokong oleh permintaan yang kekal kukuh terhadap produk E&E sejajar dengan peningkatan pelaburan dalam aktiviti berkaitan AI dan pengembangan teknologi global. Sokongan tambahan dijangka diperoleh daripada pemulihan prestasi eksport bukan E&E, di samping perbelanjaan pelancong yang mampan dan pengembangan eksport perkhidmatan ICT.
Inflasi dijangka kekal sederhana pada tahun 2026 dalam keadaan kos luaran yang terus berubah
Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5% hingga 2.5% pada tahun 2026. Data inflasi terkini dan penunjuk berfrekuensi tinggi terus menunjukkan kenaikan harga pengguna yang sederhana. Walaupun tekanan kos luaran susulan konflik di Timur Tengah dijangka memberikan sedikit tekanan menaik kepada harga, kesan keseluruhannya terhadap inflasi pada tahun 2026 dijangka kekal terkawal. Langkah dasar dalam negeri seperti subsidi bahan api bersasar serta keadaan permintaan yang stabil dijangka dapat mengehadkan pemindahan kos global yang lebih tinggi kepada harga dalam negeri.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.

