Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Keempat 2025
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.3% pada suku keempat tahun 2025
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.3% pada suku keempat tahun 2025 (S3 2025: 5.4%), didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri. Pertumbuhan perbelanjaan isi rumah lebih tinggi, didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta sokongan dasar berkaitan pendapatan. Pertumbuhan pelaburan yang kukuh disokong oleh perbelanjaan jentera dan kelengkapan yang lebih teguh, khususnya untuk pusat data, serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam. Dalam sektor luaran, eksport terus mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, didorong terutamanya oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih teguh. Pelancongan ke dalam negeri serta perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (information and communication technology, ICT) turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport perkhidmatan serta lebihan dalam imbangan akaun semasa. Sementara itu, import kekal utuh, didorong oleh import barangan perantaraan yang kembali pulih bagi menyokong kegiatan ekonomi serta import barangan modal berkaitan produktiviti yang mencerminkan pelaksanaan projek pelaburan yang sedang dijalankan.
Dari segi penawaran, pertumbuhan disumbangkan terutamanya oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan. Pertumbuhan yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya dipacu oleh subsektor berkaitan pengguna, perkhidmatan kerajaan serta subsektor ICT susulan pengoperasian pusat data. Dalam sektor perkilangan, prestasi sektor ini dipacu oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor E&E berikutan permintaan yang lebih tinggi susulan pengembangan teknologi global, serta pengeluaran barangan berkaitan pengguna yang meningkat. Sementara itu, sektor pertanian mencatatkan prestasi yang lebih baik, mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pengeluaran minyak sawit berikutan kejadian banjir yang kurang teruk berbanding tahun sebelumnya. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.8% (S3 2025: 2.7%).
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana pada suku keempat tahun 2025
Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3% (S3 2025: 1.3%), manakala inflasi teras meningkat kepada 2.3% (S3 2025: 2%). Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kenaikan harga yang lebih pantas bagi beberapa item teras tertentu (contohnya barang kemas dan jam tangan) serta kesan asas daripada inflasi perkhidmatan komunikasi mudah alih. Kesan ini sebahagian besarnya diimbangi oleh harga yang lebih rendah bagi barangan ditadbir terpilih, khususnya elektrik (-10.3%; S3 2025: -4.6%) dan petrol (-2%; S3 2025: -0.6%). Hal ini selaras dengan diskaun yang lebih besar berkaitan kos penjanaan elektrik pada suku tersebut serta pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar mulai bulan Oktober 2025. Rebakan (pervasiveness) inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, menurun kepada 39.6% pada suku tersebut (S3 2025: 43.8%), kekal di bawah purata bagi suku keempat tahun-tahun sebelum ini iaitu 41.7%. Selaras dengan jangkaan terdahulu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatatkan purata 1.4% dan 2% pada tahun 2025[1] (2024: kedua-dua inflasi keseluruhan dan inflasi teras berpurata pada 1.8%).
Ringgit menambah nilai berbanding mata wang rakan dagangan pada suku keempat tahun 2025
Pada suku keempat tahun 2025, kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) ringgit menambah nilai sebanyak 3.8% berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia. Ringgit menambah nilai sebanyak 3.9% berbanding dolar AS. Pergerakan ini didorong oleh faktor luaran dan juga dalam negeri. Daripada aspek luaran, perbezaan kadar faedah yang mengecil susulan pengurangan kadar dasar oleh Federal Reserve AS pada bulan Oktober dan Disember telah menyokong prestasi ringgit pada suku tersebut. Selain itu, penambahan nilai ringgit didorong oleh berkurangnya ketidakpastian berkaitan tarif apabila AS memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan beberapa rakan dagangannya di rantau ini, termasuk Malaysia. Di dalam negeri, prospek ekonomi Malaysia yang positif dengan disokong oleh beberapa usaha pembaharuan, terus mengukuhkan keyakinan pelabur serta menambah baik sentimen keseluruhan dalam pasaran kewangan domestik.
Bagi tahun 2025, ringgit menambah nilai sebanyak 10.2% berbanding dolar AS, manakala penambahan nilai NEER ringgit adalah sebanyak 6.3%. Pada masa hadapan, pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran. Meskipun begitu, asas dalam negeri yang berdaya tahan dijangka memberikan sokongan berterusan kepada ringgit. Selanjutnya, usaha terselaras oleh Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus menggalakkan aliran dua hala yang kukuh dalam pasaran kewangan domestik. Usaha yang sedang dijalankan ini termasuk program Qualified Resident Investor (QRI) yang menawarkan fleksibiliti kepada syarikat korporat pemastautin untuk melabur semula di luar negeri, serta libat urus proaktif dengan para pelabur, pengeksport dan pengimport. BNM juga akan terus memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur.
Pertumbuhan kredit menjadi sederhana berikutan pengembangan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih perlahan
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan menjadi sederhana kepada 5.4% pada suku keempat tahun 2025 (S3 2025: 6%), susulan pengembangan yang lebih perlahan dalam pinjaman terkumpul (5%; S3 2025: 5.6%) dan bon korporat (6.9%; S3 2025: 7.3%). Pertumbuhan bagi pinjaman perniagaan juga menurun kepada 3.9% (S3 2025: 5.5%), mencerminkan terutamanya pertumbuhan pinjaman bagi tujuan modal kerja yang lebih perlahan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) (4.3%; S3 2025: 6%). Pertumbuhan pinjaman perniagaan untuk tujuan berkaitan pelaburan[2] turut menjadi sederhana namun kekal melebihi purata jangka panjangnya.[3] Pada asas suku tahunan, pengeluaran pinjaman berkembang merentas PKS dan bukan PKS (RM393.5 bilion; S3 2025: RM376.9 bilion). Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil pada 5.6% (S3 2025: 5.7%), dengan pertumbuhan pinjaman yang berterusan bagi kebanyakan tujuan.
Permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dan eksport yang berterusan akan menyokong pertumbuhan pada tahun 2026
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata,
“Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada tahun 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta eksport yang menggalakkan, sekali gus melebihi julat unjuran antara 4% hingga 4.8%. Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri dan eksport yang berdaya tahan.”
Di dalam negeri, perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan melalui pertumbuhan guna tenaga dan upah, serta langkah-langkah dasar Kerajaan. Aktiviti pelaburan akan dipacu oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, berserta dengan pelaburan diluluskan yang terus direalisasikan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13). Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport akan disokong oleh permintaan global yang stabil, terutamanya bagi barangan E&E. Pertumbuhan juga akan disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Inflasi pada tahun 2026 dijangka kekal sederhana
Pada masa hadapan, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada tahun 2026 berikutan keadaan kos global yang terus reda. Prospek harga komoditi yang sederhana akan membantu membendung tekanan kos terhadap inflasi. Inflasi teras dijangka kekal stabil secara amnya dan hampir kepada purata jangka panjangnya pada tahun 2026, mencerminkan pengembangan kegiatan ekonomi yang berterusan serta ketiadaan tekanan yang berlebihan terhadap permintaan. Pelaksanaan pembaharuan dasar dalam negeri pada tahun 2025, seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (Sales and Service Tax, SST) dan rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar, dijangka memberikan kesan sederhana terhadap inflasi pada tahun 2026.
[1] Seperti yang diterbitkan dalam Buletin Suku Tahunan terdahulu, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing diunjurkan berpurata antara 1% - 2% dan 1.5% - 2.3% pada tahun 2025.
[2] Terdiri daripada pinjaman untuk pembelian harta bukan kediaman, harta kediaman untuk kegunaan perniagaan, aset tetap serta untuk aktiviti pembinaan.
[3] Merujuk purata pertumbuhan pinjaman secara suku tahunan dari tahun 2022 ke 2024.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.