Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Keempat Tahun 2021
Ekonomi Malaysia kembali pulih dengan peningkatan sebanyak 3.6% pada suku keempat (S3 2021: -4.5%)
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6% pada suku keempat (S3 2021: -4.5%) apabila kegiatan ekonomi disambung semula berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. Kegiatan ekonomi yang kembali pulih dibantu oleh pemulihan pasaran pekerja serta sokongan dasar yang berterusan. Selain itu, permintaan luar negeri yang kukuh berikutan kitaran teknologi global yang berterusan meningkatkan lagi pertumbuhan. Dari segi penawaran, semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan dalam pertumbuhan yang diterajui oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan. Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan didorong terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan isi rumah dan aktiviti perdagangan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6% (S3 2021: -3.6%). Berikutan pertumbuhan yang kembali kukuh pada suku keempat, ekonomi meningkat sebanyak 3.1% untuk tahun 2021 secara keseluruhan dan kadar pengangguran menurun kepada 4.6%.
Seperti yang dijangka, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.2% pada suku keempat (S3 2021: 2.2%). Inflasi yang lebih tinggi pada suku keempat disebabkan terutamanya oleh harga elektrik yang kembali ke paras asal, susulan tamatnya pemberian diskaun bil elektrik selama tiga bulan yang dilaksanakan pada bulan Julai 2021. Inflasi teras meningkat sedikit kepada 0.8% pada suku keempat (S3 2021: 0.7%) apabila semakin banyak sektor dan kegiatan ekonomi dibuka semula. Pada tahun 2021, purata inflasi keseluruhan adalah 2.5% (2020: -1.2%) manakala inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 0.7% (2020: 1.1%).
Perkembangan kadar pertukaran
Ringgit menambah nilai sebanyak 0.3% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat tahun 2021. Penambahan nilai ini disokong oleh sentimen yang bertambah baik disebabkan oleh pelonggaran langkah-langkah sekatan berkaitan COVID-19 dan pemberian vaksin penggalak COVID-19 yang dipercepat. Walau bagaimanapun, sejak 3 Januari 2022, ringgit menyusut nilai sebanyak 0.3% berbanding dengan dolar AS. Penyusutan nilai ini selaras dengan trend mata wang serantau lain berikutan jangkaan yang meningkat untuk keadaan mudah tunai global menjadi lebih ketat, termasuk dasar monetari yang diperketatkan pada kadar yang lebih cepat oleh US Federal Reserve. Pada masa hadapan, disebabkan ketidaktentuan terhadap pelarasan mudah tunai global dan perkembangan berhubung dengan pandemik, pasaran kewangan domestik dijangka mengalami volatiliti yang berkala.
Keadaan Pembiayaan
Pertumbuhan pembiayaan bersih sektor swasta meningkat kepada 4.7% (S3 2021: 3.9%), didorong terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (4.4%; S3 2021: 2.9%) apabila kegiatan ekonomi meningkat. Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.2% (S3 2021: 3.2%) dengan pertumbuhan yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Permohonan dan pengeluaran pinjaman menunjukkan peningkatan yang ketara, khususnya untuk pembelian rumah dan kereta penumpang, berikutan pelonggaran sekatan pergerakan. Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 4.8% (S3 2021: 2.4%) dan terus didorong oleh pinjaman modal kerja yang lebih tinggi.
Ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pemulihan sejajar dengan pertumbuhan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi
Pada tahun 2022, ekonomi dalam negeri dijangka terus berada pada landasan pemulihan disokong oleh permintaan global yang terus berkembang dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi berikutan keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan. Penerusan projek pelaburan besar dalam sektor swasta dan sektor awam juga akan terus menyokong pertumbuhan. Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah menjelaskan, “Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang berkembang. Program pemberian vaksin penggalak COVID-19 dan pemberian vaksin COVID-19 kepada kanak-kanak berumur lima tahun ke atas yang dipercepat, seiring dengan kapasiti sistem penjagaan kesihatan yang mencukupi, akan membantu meningkatkan kegiatan ekonomi dalam negeri, lantas mengukuhkan momentum pemulihan”. Walau bagaimanapun, imbangan risiko terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh perkembangan berhubung dengan COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri.
Pada tahun 2022, purata inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana apabila kesan asas daripada inflasi bahan api luput. Inflasi teras dijangka meningkat sedikit apabila kegiatan ekonomi kembali normal berikutan persekitaran kos input yang tinggi. Namun begitu, inflasi teras dijangka sederhana dengan risiko inflasi menjadi semakin tinggi dibendung oleh keadaan lebihan kapasiti dalam ekonomi dan pasaran pekerja. Walau bagaimanapun, prospek ini terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global berikutan risiko daripada gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan.
Bank Negara Malaysia dijangka menerbitkan Laporan Tahunan 2021, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2021 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua Tahun 2021 pada 30 Mac 2022.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.