Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Ketiga 2025
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.2% pada suku ketiga tahun 2025
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% pada suku ketiga tahun 2025 (S2 2025: 4.4%), didorong oleh permintaan dalam negeri dan pertumbuhan eksport yang lebih tinggi. Perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan dan program bantuan wang tunai. Aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan modal yang berterusan oleh sektor swasta dan sektor awam. Dalam sektor luaran, eksport bersih mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi berikutan pertumbuhan eksport yang mengatasi pertumbuhan import.
Daripada segi penawaran, pertumbuhan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan. Pertumbuhan dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya disumbangkan oleh subsektor berkaitan pengguna, manakala prestasi sektor perkilangan didorong oleh pengeluaran barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan barangan berkaitan pengguna yang lebih kukuh. Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian meningkat semula, mencerminkan pengeluaran minyak mentah dan gas asli yang kembali pulih selepas kerja penyelenggaraan berjadual. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 2.4% (S2 2025: 2.2%).
Inflasi keseluruhan kekal stabil pada suku ketiga manakala inflasi teras meningkat sedikit
Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 1.3%, manakala inflasi teras meningkat kepada 2% (S2 2025: 1.3% dan 1.8%). Meskipun inflasi teras yang lebih tinggi meningkatkan tekanan terhadap inflasi keseluruhan pada suku ketiga, hal ini diimbangi oleh penurunan harga ditadbir terpilih. Khususnya, harga elektrik (-4.6%; S2 2025: 0%) dan diesel (-5%; S2 2025: 8%) adalah lebih rendah pada suku tersebut, selaras dengan penstrukturan semula tarif elektrik baru-baru ini dan keadaan kos global yang sederhana. Rebakan inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item IHP yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, meningkat sedikit kepada 43.8% pada suku itu (S2 2025: 41.8%), namun masih di bawah purata yang dicatatkan sebelum ini iaitu 44.5%.
Ringgit menambah nilai berbanding mata wang kebanyakan rakan dagangan pada suku ketiga tahun 2025
Pada suku ketiga tahun 2025, kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) ringgit menambah nilai sebanyak 0.8% (sejak awal tahun hingga 12 November 2025: 5.3%) berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia. Ringgit juga pada amnya stabil berbanding dolar AS dengan sedikit penambahan nilai sebanyak 0.05% (sejak awal tahun hingga 12 November 2025: 8.2%). Pergerakan ini didorong oleh faktor luaran dan juga dalam negeri. Di luar negeri, langkah Federal Reserve AS melonggarkan dasar monetari pada bulan September berserta dengan jangkaan bahawa kadar akan dikurangkan lagi berikutan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai prospek ekonomi AS, telah menyokong nilai ringgit pada suku tersebut. Selain itu, pengumuman tentang perjanjian perdagangan antara AS dengan sebahagian rakan dagangannya, termasuk Malaysia, telah membantu meredakan ketidakpastian berkaitan tarif dan menambah baik sentimen. Keadaan ini memberikan sokongan selanjutnya kepada prestasi ringgit pada suku ketiga tahun 2025.
Di dalam negeri, prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia yang positif dan disokong oleh komitmen Kerajaan terhadap pembaharuan struktur dalam negeri serta kemampanan fiskal, akan terus memberikan sokongan kepada ringgit. BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi dengan teratur.
Pertumbuhan kredit meningkat berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam bon korporat terkumpul dan pinjaman perniagaan
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.9% pada suku ketiga tahun 2025 (S2 2025: 5.2%). Bon korporat terkumpul berkembang sebanyak 7.3% (S2 2025: 4.3%) manakala pertumbuhan dalam pinjaman terkumpul mampan pada 5.6% (S2 2025: 5.5%). Pinjaman perniagaan berkembang sebanyak 5.4% (S2 2025: 4.5%) susulan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman berkaitan pelaburan terutamanya dalam kalangan bukan PKS. Pertumbuhan pinjaman PKS juga meningkat sedikit, disokong oleh pertumbuhan dalam pinjaman modal kerja berikutan tahap permohonan yang berterusan untuk tujuan ini. Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah menurun sedikit kepada 5.7% (S2 2025: 6%) susulan pertumbuhan yang lebih perlahan untuk pinjaman peribadi. Walau bagaimanapun, permintaan terhadap pinjaman isi rumah secara amnya stabil merentas kebanyakan tujuan pinjaman dengan kelulusan pinjaman yang berterusan.
Permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan menyokong pertumbuhan pada masa hadapan
Meskipun persekitaran luaran adalah mencabar, prospek ekonomi Malaysia terus berada pada landasan untuk mencapai pertumbuhan antara 4% hingga 4.8% pada tahun 2025, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan. Perbelanjaan isi rumah akan didorong oleh pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan. Aktiviti pelaburan kekal mampan dengan kemajuan projek infrastruktur, pelaksanaan selanjutnya pelaburan swasta yang diluluskan dan pelaksanaan pelan induk nasional. Daripada segi luaran, pertumbuhan eksport dijangka terkesan oleh tarif dan permintaan luaran yang lebih sederhana. Walau bagaimanapun, pertumbuhan akan disokong oleh permintaan yang berterusan terhadap barangan E&E, pelancongan dalam negeri dan pemulihan dalam eksport berkaitan perlombongan.
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.7% pada sembilan bulan pertama tahun 2025, iaitu dalam julat unjuran rasmi 4% hingga 4.8%, mencerminkan daya tahan negara yang berterusan dalam menghadapi cabaran global. Pada masa hadapan, keadaan ekonomi global akan kekal mencabar dan kita perlu tetap memperkukuh penampan ekonomi negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan rintangan.”
Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada tahun 2025 dan 2026
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal sederhana untuk baki tahun 2025, disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil dan keadaan kos global yang terus reda. Faktor-faktor ini bersama-sama dengan langkah-langkah Kerajaan untuk mengimbangi kesan pembaharuan dasar dalam negeri terhadap isi rumah, akan membantu mengekalkan persekitaran inflasi yang rendah dan stabil. Menuju tahun 2026, inflasi dijangka kekal sederhana berikutan permintaan dalam negeri yang mampan, keadaan pasaran pekerja yang stabil dan keadaan bekalan yang menggalakkan.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.