Perkembangan Ekonomi dan Kewangan di Malaysia pada Suku Pertama Tahun 2021

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Selasa, 11 Mei 2021
11 Mei 2021 Siaran Akhbar

Prestasi ekonomi lebih baik dengan penurunan KDNK yang lebih kecil sebanyak 0.5% pada suku pertama (S4 2020: -3.4%)

Ekonomi Malaysia mencatatkan penurunan yang lebih kecil sebanyak 0.5% pada suku pertama (S4 2020: -3.4%). Prestasi pertumbuhan disokong terutamanya oleh kekukuhan permintaan luar negeri yang mendorong keteguhan eksport terutamanya untuk produk elektrik dan elektronik (E&E). Pertumbuhan juga disokong oleh langkah-langkah dasar yang berterusan. Walau bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Kedua (PKP 2.0) serta penutupan sempadan antarabangsa dan sekatan perjalanan antara negeri yang berterusan telah menjejaskan kegiatan ekonomi. Namun begitu, apabila sekatan dilonggarkan pada bulan Februari dan Mac, kegiatan ekonomi mula meningkat secara beransur-ansur. Gabenor Datuk Nor Shamsiah berkata, “Prestasi keseluruhan yang lebih baik ini mencerminkan permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan eksport negara yang kukuh.”

Semua sektor ekonomi mencatatkan peningkatan, terutamanya sektor perkilangan. Dari segi perbelanjaan, pertumbuhan didorong oleh perbelanjaan sektor swasta yang lebih baik dan eksport yang kukuh. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7% (S4 2020: -1.5%).

Inflasi keseluruhan menjadi positif kepada 0.5% pada suku pertama (S4 2020: -1.5%). Peningkatan ini disebabkan oleh inflasi bahan api yang positif meskipun rendah berikutan kesan asas, serta luputnya kesan daripada rebat tarif eletrik secara bertingkat yang dilaksanakan antara bulan April hingga Disember 2020. Inflasi teras menjadi sederhana kepada 0.7%, mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih rendah untuk sewa dan barang kemas.

Perkembangan kadar pertukaran 

Ringgit menyusut nilai sebanyak 3.5% berbanding dengan dolar AS pada suku pertama tahun 2021. Penyusutan ini disebabkan terutamanya oleh dolar AS yang semakin kukuh, yang juga mengakibatkan mata wang negara maju dan negara sedang pesat membangun secara umumnya menjadi semakin lemah. Hal ini disebabkan oleh tindakan pelabur global yang mengimbangi semula pelaburan portfolio mereka berikutan kenaikan kadar hasil Perbendaharaan AS, yang didorong oleh prospek pemulihan ekonomi AS yang bertambah kukuh dan jangkaan inflasi yang lebih tinggi. Sejak 1 April, ringgit telah menambah nilai sebanyak 1.0% berbanding dengan dolar AS (setakat 7 Mei). Pertambahan nilai ini adalah sejajar dengan penurunan nilai dolar AS apabila kadar hasil Perbendaharaan AS mula menunjukkan trend menurun daripada paras tertinggi pada bulan Mac. Kenaikan harga minyak dunia pada awal bulan April juga memberikan sedikit sokongan kepada sentimen pelabur secara keseluruhan. Memandangkan keadaan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global dan dalam negeri pada masa hadapan masih tidak menentu, ringgit dijangka terus terdedah kepada tempoh volatiliti yang ketara.

Keadaan pembiayaan

Pembiayaan bersih kepada sektor swasta mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 4.7%1  pada suku pertama, disokong terutamanya oleh pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul yang lebih tinggi sebanyak 4.3% (S4 2020: 3.7%). Pengeluaran pinjaman dan pembayaran balik pinjaman perniagaan kekal melebihi paras purata suku tahunan pada tahun 2017 hingga 2019. Permintaan pinjaman isi rumah juga kekal menggalakkan berikutan persekitaran dasar monetari yang akomodatif dan pelaksanaan pelbagai langkah rangsangan. 

Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan pemulihan bagi tahun 2021, disokong oleh permintaan luaran dan dalam negeri yang lebih baik

Meskipun langkah-langkah pembendungan dilaksanakan semula baru-baru ini, kesan terhadap pertumbuhan dijangka kurang teruk berbanding dengan tahun 2020 berikutan hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. Secara keseluruhan, pemulihan pertumbuhan dijangka memperoleh manfaat daripada permintaan global yang lebih baik, perbelanjaan sektor awam dan swasta yang meningkat serta sokongan dasar yang berterusan. Hal ini juga mencerminkan pemulihan keadaan pasaran pekerja, terutamanya berikutan aktiviti pengambilan pekerja yang meningkat secara beransur-ansur. Pengeluaran yang lebih tinggi daripada fasiliti perkilangan yang sedia ada dan baharu, terutamanya dalam sektor E&E dan subsektor berkaitan sumber, serta daripada loji pengeluaran minyak dan gas akan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan. Pelaksanaan program pemberian vaksin COVID-19 dalam negeri juga akan meningkatkan sentimen dan menyumbang ke arah pemulihan kegiatan ekonomi. Walau bagaimanapun, kadar pemulihan dijangka tidak sekata merentas sektor ekonomi. Datuk Nor Shamsiah menjelaskan, “Pada masa hadapan, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk terus mendapat manfaat daripada kegiatan ekonomi dan aktiviti perdagangan global yang lebih kukuh. Meskipun prospek pertumbuhan akan terus bergantung pada perkembangan berhubung dengan pandemik, pelaksanaan langkah-langkah pembendungan yang bertujuan untuk mengawal aktiviti sosial dan membenarkan hampir kesemua sektor ekonomi beroperasi akan mengurangkan impak terhadap kegiatan ekonomi.”

Pada tahun 2021, purata inflasi keseluruhan dijangka lebih tinggi antara 2.5% hingga 4.0%, disebabkan terutamanya oleh faktor tolakan kos berikutan harga minyak dunia yang meningkat. Dari segi trajektori, inflasi keseluruhan dijangka naik mendadak  untuk sementara waktu pada suku kedua tahun 2021. Hal ini didorong oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada suku yang sama tahun 2020. Inflasi keseluruhan bagi bulan April dan Mei dijangka meningkat antara  6.5% hingga 7.0%. Walau bagaimanapun, keadaan ini bersifat sementara kerana inflasi keseluruhan dijangka kembali ke paras bawah 5.0% pada bulan Jun, dan terus sederhana selepas itu apabila kesan asas luput. Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka kekal rendah, dengan purata antara 0.5% hingga 1.5% untuk tahun 2021 berikutan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi. Namun begitu, prospek inflasi bergantung pada perkembangan harga minyak dunia dan komoditi.

Lihat juga:

 

1 Mencakupi pinjaman terkumpul daripada sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP), dan bon korporat terkumpul.

Bank Negara Malaysia
11 Mei 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?