Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Kedua Tahun 2025

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1200 pada Jumaat, 15 Ogos 2025
15 Ogo 2025 Siaran Akhbar

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4% pada suku kedua tahun 2025

Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 4.4% pada suku kedua tahun 2025 (S1 2025: 4.4%), didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh. Perbelanjaan isi rumah kekal mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam. Pengembangan pelaburan yang lebih kukuh disokong oleh pelaksanaan projek baharu dan sedia ada. Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan terutamanya oleh eksport berkaitan komoditi yang lebih rendah. Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih teguh dan aktiviti pelancongan yang lebih giat. Pada masa yang sama, pertumbuhan import lebih tinggi, didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal. Hal ini mencerminkan aktiviti pelaburan yang lebih tinggi.

Dari segi penawaran, pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan. Sektor perkhidmatan disokong oleh perkhidmatan berkaitan pengguna dan Kerajaan. Pertumbuhan yang stabil dalam kelompok berorientasikan dalam negeri menyokong prestasi dalam sektor perkilangan. Secara keseluruhan, pertumbuhan terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran komoditi yang lebih rendah. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 2.1% (S1 2025: 0.7%).

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal sederhana pada suku kedua tahun 2025

Inflasi keseluruhan menurun kepada 1.3%, manakala inflasi teras kekal stabil pada 1.8% (S1 2025: 1.5% dan 1.8%). Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh harga bahan api yang lebih rendah seperti petrol RON97 dan diesel (-0.6%; S1 2025: 0.3%) dan peningkatan harga yang lebih perlahan bagi item berkaitan makanan (2.2%; S1 2025: 2.5%), khususnya makanan segar dan makanan di luar rumah. Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan harga yang lebih perlahan untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih, dengan purata sebanyak -12.1% (S1 2025: -13.5%). Rebakan inflasi, yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, mengalami sedikit penurunan berikutan harga komoditi global yang lebih rendah (41.8%; S1 2025: 43.3%). Namun begitu, kenaikan ini secara amnya kekal selaras dengan purata jangka panjang bagi suku kedua (S2 2011-2019: 43.9%).

Ringgit menambah nilai berbanding mata wang rakan dagangan utama pada suku kedua tahun 2025

Pada suku kedua tahun 2025, kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) ringgit bertambah sebanyak 1.5% berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia. Ringgit juga mengukuh sebanyak 5.1% berbanding dolar AS, yang sebahagian besarnya didorong oleh kelemahan dolar AS secara meluas. Keadaan ini didorong oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan, ketidakpastian yang semakin ketara berhubung dengan dasar perdagangan AS dan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kestabilan fiskal AS. Selain itu, usaha terselaras yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan dan BNM, termasuk libat urus dengan syarikat korporat dan pelabur, telah menggalakkan aliran dua hala dalam pasaran pertukaran asing domestik seperti yang diperhatikan dalam suku kedua.

Kadar pertukaran ringgit akan terus dipengaruhi oleh faktor luaran. Walau bagaimanapun, prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri yang menggalakkan, bersama-sama dengan inisiatif berterusan bagi menggalakkan aliran, akan terus memberikan sokongan kepada ringgit. BNM kekal komited untuk memastikan fungsi pasaran pertukaran asing domestik yang teratur.

Pertumbuhan kredit secara amnya mampan berikutan pertumbuhan yang stabil dalam pinjaman terkumpul

Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 5.2% pada suku kedua (S1 2025: 5.4%). Pertumbuhan bon korporat terkumpul menurun (4.3%; S1 2025: 5.3%) manakala pertumbuhan dalam pinjaman terkumpul kekal stabil pada 5.5% (S1 2025: 5.5%). Pinjaman perniagaan berkembang sebanyak 4.5% (S1 2025: 4.6%) berikutan pertumbuhan pinjaman yang stabil secara amnya untuk tujuan modal kerja dan tujuan berkaitan pelaburan.[1] Selain itu, permintaan pembiayaan dalam kalangan perniagaan kekal dengan permohonan yang lebih tinggi, khususnya untuk pinjaman berkaitan pelaburan. Pinjaman isi rumah meningkat sebanyak 6% (S1 2025: 6%), dengan pertumbuhan pinjaman yang mampan merentas kebanyakan tujuan.

Sama seperti negara-negara lain, pertumbuhan Malaysia pada tahun 2025 akan dipengaruhi oleh keputusan tarif daripada rundingan perdagangan

BNM menjangkakan perkembangan tarif perdagangan akan mempengaruhi prospek global dan dalam negeri untuk baki tahun ini.

Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Persekitaran luaran kekal mencabar. Ketidakpastian berkaitan tarif terus wujud dan kesannya akan mengambil masa sebelum benar-benar dirasai. Meskipun begitu, Malaysia menghadapi kesemua cabaran ini dari kedudukan yang kukuh. Ekonomi negara kekal berada pada landasan yang utuh, disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, permintaan berterusan untuk barangan E&E dan struktur eksport yang pelbagai. Kesemua asas ini, bersama-sama dengan pembaharuan struktur yang berterusan, memastikan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi landskap global yang sentiasa berubah-ubah.”

Walaupun terdapat risiko luaran, pertumbuhan ekonomi disokong teguh oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, yang berfungsi sebagai penampan terhadap rintangan global. Pertumbuhan guna tenaga dan upah dalam sektor berorientasikan dalam negeri serta langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan akan terus menyokong perbelanjaan isi rumah. Pengembangan aktiviti pelaburan akan berterusan disebabkan oleh beberapa faktor. Hal ini termasuk kemajuan projek infrastruktur, pelaksanaan berterusan pelaburan swasta yang diluluskan dan pelaksanaan pelan induk nasional. Prospek eksport Malaysia boleh dipertingkatkan oleh keputusan yang memberangsangkan daripada rundingan perdagangan yang masih berlangsung, dasar yang menyokong pertumbuhan di negara-negara maju serta aktiviti pelancongan yang giat. Pelaksanaan berterusan pembaharuan struktur, seperti pelan induk nasional dan langkah-langkah pembaharuan fiskal, adalah sangat penting bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap kejutan masa hadapan.

Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5% hingga 2.3% pada tahun 2025 berikutan keadaan kos dan permintaan yang sederhana

Inflasi keseluruhan diunjurkan kekal sederhana, dengan purata antara 1.5% hingga 2.3% pada tahun 2025. Julat unjuran inflasi keseluruhan pada tahun ini disemak kepada julat yang lebih rendah berikutan prospek kos dan permintaan yang lebih sederhana berbanding unjuran pada bulan Mac 2025. Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada keadaan kos dalam negeri yang sederhana. Dalam persekitaran ini, kesan langkah-langkah dasar dalam negeri terhadap inflasi dijangka kekal terkawal.


[1] Terdiri daripada pinjaman untuk pembelian harta bukan kediaman dan harta kediaman untuk kegunaan perniagaan, aset tetap serta aktiviti pembinaan.

Lihat juga:


Bank Negara Malaysia
15 Ogos 2025

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?