Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia Pada Suku Keempat Tahun 2022
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 7.0% pada suku keempat (S3 2022: 14.2%)
Ekonomi Malaysia berkembang lebih perlahan pada suku keempat tahun 2022 (7.0%; S3 2022: 14.2%) berikutan sokongan daripada langkah-langkah rangsangan dan kesan asas rendah[1] yang berkurang. Pada 7.0%, pertumbuhan ini masih melebihi purata pertumbuhan jangka panjang iaitu 5.1%[2]. Aktiviti sektor swasta kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong oleh penggunaan dan pelaburan swasta. Penggunaan swasta yang terus meningkat didorong terutamanya oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik. Sementara itu, pertumbuhan eksport keseluruhan menjadi sederhana sejajar dengan permintaan luaran yang semakin lemah. Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh prestasi eksport produk elektrik dan elektronik (E&E) yang berdaya tahan serta aktiviti pelancongan yang lebih giat. Sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi mencatatkan penurunan sebanyak 2.6% (S3 2022: +1.9%). Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 8.7% pada tahun 2022.
Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 3.9% pada suku keempat (S3 2022: 4.5%). Penurunan yang sederhana ini sebahagian besarnya disebabkan oleh luputnya kesan asas inflasi elektrik iaitu penyumbang utama kepada inflasi yang lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2021. Trend penurunan dalam harga komoditi utama dunia sebahagiannya menyebabkan inflasi yang lebih rendah dalam beberapa barangan Indeks Harga Pengguna (IHP), termasuk bahan api. Inflasi beberapa bahan makanan ruji utama, seperti daging segar dan telur, juga menjadi sederhana pada suku tersebut. Walau bagaimanapun, kesan penurunan daripada faktor-faktor ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi. Inflasi teras meningkat kepada 4.2% (S3 2022: 3.7%), didorong oleh permintaan yang terus kukuh dalam keadaan persekitaran kos yang masih tinggi. Bagi keseluruhan tahun 2022, inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.3% (2021: 2.5%) dan purata inflasi teras lebih tinggi pada 3.0% (2021: 0.7%).
Perkembangan kadar pertukaran
Keadaan kewangan domestik telah reda disebabkan terutamanya oleh perkembangan global pada suku tahun keempat. Khususnya, jangkaan pasaran berhubung dengan kenaikan kadar faedah yang lebih kecil oleh Federal Reserve AS berikutan petanda bahawa inflasi yang semakin perlahan di AS telah mengurangkan kekukuhan dolar AS. Sentimen pelabur global terhadap ringgit dan mata wang serantau juga meningkat berikutan pembukaan semula ekonomi China dan jangkaan kesan limpahan positif ekonomi ke rantau ini.
Perkembangan global yang menggalakkan dan keadaan politik dalam negeri yang lebih stabil selepas pembentukan Kerajaan baharu di Malaysia pada bulan November 2022 telah menyebabkan ringgit lebih kukuh berbanding dengan dolar AS. Selaras dengan mata wang serantau yang lain, ringgit mengakhiri suku keempat dengan lebih kukuh iaitu sebanyak 5.3% berbanding dengan dolar AS. Ringgit turut menjadi kukuh berbanding dengan beberapa rakan perdagangan utama – kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER) meningkat sebanyak 0.4% pada suku keempat. Pada masa hadapan, BNM akan terus memantau dengan rapi keadaan kewangan global dan domestik, serta memastikan pelarasan pasaran kewangan yang teratur.
Keadaan pembiayaan
Kredit kepada sektor bukan kewangan swasta meningkat sebanyak 4.7% (S3 2022: 5.3%) dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih rendah (4.7%; S3 2022: 5.7%). Sementara itu, bon korporat terkumpul terus meningkat sebanyak 4.6% (S3 2022: 4.0%). Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 3.3% berikutan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang terus kukuh mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman. Meskipun pertumbuhan permohonan pinjaman lebih perlahan, pertumbuhan pengeluaran pinjaman mampan (12.0%; S3 2022: 18.0%), terutamanya bagi pinjaman modal kerja apabila syarikat terus menggunakan kemudahan kredit sedia ada. Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5.5% dalam keadaan pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang lebih perlahan (10.3%; S3 2022: 48.1%) dan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang mampan.
Permintaan dalam negeri penting bagi prestasi pertumbuhan Malaysia pada tahun 2023
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang pada kadar yang lebih sederhana pada tahun 2023 berikutan persekitaran luaran yang mencabar. Permintaan dalam negeri akan terus memacu pertumbuhan, disokong oleh pasaran pekerja yang terus pulih dan pelaksanaan projek pelaburan berbilang tahun. Sektor perkhidmatan dan perkilangan juga akan terus menyokong pertumbuhan. Sementara itu, pengurangan eksport berikutan permintaan global yang lebih lemah sebahagiannya akan diimbangi oleh aktiviti pelancongan yang lebih giat. Imbangan risiko kekal cenderung ke arah pertumbuhan yang lebih perlahan. Hal ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan global yang lebih lemah, keadaan kewangan yang lebih ketat, konflik geopolitik yang kembali meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk.
Inflasi keseluruhan akan menjadi sederhana namun kekal pada paras tinggi pada tahun 2023
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana tetapi kekal tinggi pada tahun 2023 dalam keadaan tekanan kos dan permintaan yang berlarutan. Inflasi teras dijangka kekal tinggi dalam jangka masa terdekat, sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada separuh pertama tahun 2022. Kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada akan terus membendung sebahagian daripada tahap tekanan inflasi yang meningkat. Prospek inflasi kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan dasar dalam negeri serta perkembangan harga komoditi global.
Bank Negara Malaysia akan menerbitkan Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2022 pada 29 Mac 2023.
[1] Kesan asas yang rendah berpunca daripada pertumbuhan ekonomi yang berkurang pada suku ketiga tahun 2021 (-4.5%). Keadaan ini sebahagiannya menyumbang kepada pertumbuhan yang tinggi setahun kemudian, iaitu 14.2% pada suku ketiga tahun 2022.
[2] Purata antara S1 2011 hingga S4 2019.
Lihat juga:
- Slaid Sidang Media
- Transkrip Sidang Media
- Video Sidang Akhbar
- Penerbitan: Buletin Suku Tahunan Suku Keempat 2022
- Jadual 1: KDNK Mengikut Komponen Perbelanjaan dan Aktiviti Ekonomi
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.