Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia Pada Suku Keempat Tahun 2024
Ekonomi berkembang sebanyak 5% pada suku keempat tahun 2024
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5% pada suku keempat 2024 (S3 2024: 5.4%), didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri. Aktiviti pelaburan yang kukuh disokong oleh pelaksanaan berterusan projek baharu dan projek sedia ada. Perbelanjaan isi rumah terus mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar yang berterusan. Dalam sektor luaran, pertumbuhan eksport barangan dan perkhidmatan terus berkembang manakala pertumbuhan import modal dan import perantaraan menjadi sederhana. Dari segi penawaran, pertumbuhan disebabkan terutamanya oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan, dengan peningkatan sokongan daripada subsektor berkaitan pengguna dan berkaitan perniagaan. Sektor perkilangan disokong oleh kelompok E&E dan kelompok berkaitan sumber. Sektor pembinaan terus mencatatkan pertumbuhan dua digit dengan aktiviti yang mantap dalam subsektor kediaman, bukan kediaman dan pertukangan khas. Walau bagaimanapun, pertumbuhan dipengaruhi oleh penguncupan dalam sektor komoditi berikutan pengeluaran kelapa sawit yang lebih rendah serta pengeluaran minyak yang terus menurun. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkurang sebanyak 1.1% (S3 2024: +1.9%).
Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1% pada tahun 2024 (2023: 3.6%). Keadaan ini disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang terus berkembang dan pemulihan dalam eksport. Di dalam negeri, pertumbuhan didorong terutamanya oleh perbelanjaan isi rumah yang lebih mantap, mencerminkan keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan, langkah-langkah dasar untuk menyokong isi rumah dan kedudukan kewangan isi rumah yang kukuh. Selain itu, kelulusan pelaburan yang mantap serta projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan oleh sektor awam dan swasta, termasuk inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional (iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Strategi Semikonduktor Nasional), memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan pelaburan. Dari segi faktor luaran, eksport pulih berikutan pertumbuhan global yang stabil, peningkatan kitaran teknologi yang berterusan serta ketibaan dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi. Keadaan ini memberikan sokongan pada akaun semasa, yang selanjutnya terus menghasilkan lebihan sebanyak 1.7% daripada KDNK pada tahun 2024 (1.5% pada tahun 2023).
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun sedikit
Pada suku keempat tahun 2024, inflasi keseluruhan menurun sedikit kepada 1.8% (S3 2024: 1.9%). Perkhidmatan komunikasi mudah alih dan petrol RON97 mencatatkan inflasi yang lebih rendah, yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi dalam item berkaitan makanan lain, terutamanya sayur-sayuran segar serta ikan dan makanan laut. Inflasi teras lebih rendah pada 1.7% (S3 2024: 1.9%), sebahagian besarnya didorong oleh pengurangan inflasi bagi perkhidmatan komunikasi mudah alih yang menurun sebanyak 10.0% (S3 2024: 0.0%). Rebakan inflasi kekal sederhana. Bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan kekal di bawah purata jangka panjang pada 39.8% (S3 2024: 38.9%; S4 2011-2019: 41.7%). Bagi keseluruhan tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras menurun kepada 1.8% (2023: masing-masing 2.5% dan 3.0%).
Ringgit mencatatkan penambahan nilai keseluruhan sebanyak 2.7% berbanding dolar AS pada tahun 2024
Pada tahun 2024, ringgit mencatatkan penambahan nilai secara keseluruhan sebanyak 2.7% berbanding dolar AS. Ringgit juga merupakan satu daripada beberapa mata wang di Asia yang menambah nilai berbanding dolar AS pada tahun 2024 selain dolar Hong Kong dan baht Thailand, sementara mata wang serantau lain mengalami penurunan nilai.
Selain itu, ringgit juga menambah nilai berbanding mata wang utama lain sepanjang tahun 2024, termasuk dolar Singapura, won Korea dan yen Jepun, dengan penambahan nilai keseluruhan dicatatkan berbanding rakan-rakan perdagangan utama Malaysia (Kadar Pertukaran Efektif Nominal atau Nominal Effective Exchange Rate, NEER pada tahun 2024: +7.5%). Keadaan ini berlaku meskipun ringgit menurun nilai berbanding dolar AS (-8.1%) serta berbanding rakan-rakan dagangan utama (NEER: -3.4%) pada suku keempat tahun 2024, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau yang lebih luas. Pergerakan ini didorong terutamanya oleh dolar AS yang lebih kukuh berikutan jangkaan pasaran kewangan yang dinilai semula berhubung dengan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil pada tahun 2025 serta penghindaran risiko yang lebih tinggi oleh pelabur yang berpunca daripada ketidakpastian dasar di bawah pentadbiran AS yang baharu.
Pada tahun 2025, pada asas sejak awal tahun sehingga kini (setakat 12 Februari 2025), ringgit menambah nilai sebanyak 0.1% berbanding dolar AS dan menurun nilai sebanyak 0.3% pada asas NEER berbanding rakan-rakan dagangan utama Malaysia. Faktor luaran dijangka terus mempengaruhi kadar pertukaran ringgit. Meskipun begitu, prospek makroekonomi Malaysia yang positif dan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan jangka sederhana kepada ringgit. BNM kekal komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik berfungsi dengan teratur.
Pertumbuhan kredit yang lebih tinggi, didorong oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan dan bon korporat
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 5.2% pada suku keempat (S3 2024: 4.8%) berikutan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman perniagaan terkumpul dan bon korporat. Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi disebabkan oleh pinjaman untuk tujuan berkaitan pelaburan. Pertumbuhan untuk pinjaman modal kerja secara amnya stabil. Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan yang lebih kukuh dicatatkan bagi sektor perkilangan dan pembinaan. Pinjaman isi rumah berkembang sebanyak 5.9% (S3 2024: 6.1%) susulan pertumbuhan yang sederhana bagi pinjaman untuk pembelian rumah dan kereta. Walau bagaimanapun, jumlah permohonan dan pengeluaran pinjaman pada amnya kekal mampan untuk suku keempat tahun 2024.
Perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan peningkatan permintaan luaran akan menyokong pertumbuhan pada tahun 2025
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato' Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Pada masa hadapan, meskipun persekitaran global yang mencabar, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan yang mantap dalam aktiviti pelaburan, perbelanjaan isi rumah yang berterusan dan pengembangan dalam eksport, dengan sokongan asas ekonomi Malaysia yang teguh.”
Di dalam negeri, aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan yang menggalakkan bagi projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam serta disokong selanjutnya oleh pelaksanaan pelaburan yang diluluskan. Perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan daripada pertumbuhan guna tenaga dan upah serta langkah-langkah dasar oleh Kerajaan. Langkah ini termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam. Dari segi faktor luaran, peningkatan kitaran teknologi global yang berterusan, permintaan yang terus kukuh dalam barangan bukan elektrik dan elektronik serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka meningkatkan eksport. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan. Risiko tersebut termasuk kelembapan ekonomi rakan-rakan dagangan utama berikutan risiko sekatan perdagangan dan pelaburan yang ketara serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan. Namun begitu, pertumbuhan berpotensi menjadi lebih tinggi termasuk berpunca daripada limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas.
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras akan kekal terkawal pada tahun 2025
Pada masa hadapan, inflasi dijangka kekal terkawal pada tahun 2025 berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan dalam negeri yang berlebihan. Walaupun pembaharuan dasar dalam negeri yang diumumkan baru-baru ini akan menyumbang kepada sedikit tekanan menaik terhadap harga, kesan keseluruhan terhadap inflasi dijangka dapat dibendung. Walau bagaimanapun, risiko kenaikan harga boleh timbul daripada kesan limpahan yang lebih besar daripada dasar kepada harga IHP secara lebih meluas.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.