Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia Pada Suku Ketiga Tahun 2024
Ekonomi berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga tahun 2024 (S2 2024: 5.9%), didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan. Aktiviti pelaburan disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan (machinery and equipment, M&E), manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar. Dalam sektor luaran, eksport terus mengukuh berikutan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global. Sementara itu, import juga berkembang pada kadar yang lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan. Dari segi penawaran, kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan. Khususnya, peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport. Walau bagaimanapun, pertumbuhan sebahagiannya diimbangi oleh aktiviti penyenggaraan dalam sektor perlombongan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan menjadi sederhana kepada 1.8% (S2 2024: 2.9%). Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% bagi tiga suku pertama tahun 2024.
Inflasi kekal stabil pada 1.9%
Pada suku ketiga tahun 2024, inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9% (S2 2024: 1.9%). Inflasi yang lebih tinggi dicatatkan untuk diesel (20.1%; S2 2024: 5.3%) dan insurans kenderaan (0.8%; S2 2024: -0.1%), yang diimbangi dengan pengurangan inflasi untuk makanan dan minuman (1.6%; S2 2024: 1.9%), khususnya makanan di luar rumah, bijirin, dan sayur-sayuran segar. Secara keseluruhan, bilangan item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan menurun kepada 38.9% pada suku ketiga tahun 2024 (S2 2024: 49.4%).
Ringgit menambah nilai berbanding dolar AS dan berdasarkan asas NEER
Pada suku ketiga tahun 2024, ringgit menambah nilai sebanyak 14.9% berbanding dolar AS, manakala kadar pertukaran efektif nominal ringgit (nominal effective exchange rate, NEER) juga menambah nilai sebanyak 9.9%. Hal ini sebahagiannya boleh dikaitkan dengan peralihan ke arah pendirian pelonggaran dasar monetari oleh Federal Reserve AS, yang telah mengurangkan tekanan terhadap mata wang serantau, termasuk ringgit. Walau bagaimanapun, ringgit telah menurun nilai sebanyak 7.8% berbanding dolar AS dari 1 Oktober hingga 13 November 2024. Hal ini terutamanya didorong oleh dolar AS yang lebih kukuh dalam tempoh yang sama, dalam keadaan jangkaan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil berikutan data ekonomi AS yang kukuh. Walau bagaimanapun, dari awal tahun hingga kini (setakat 13 November 2024), ringgit menambah nilai sebanyak 3.1% berbanding dolar AS (NEER: +6.6%). Pada masa hadapan, pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran. Walau bagaimanapun, prospek makroekonomi Malaysia yang baik dan pembaharuan struktur yang berterusan akan menyokong ringgit dalam jangka sederhana. BNM akan terus memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri berfungsi dengan teratur.
Pertumbuhan kredit untuk perniagaan menjadi sederhana, manakala pertumbuhan pinjaman isi rumah kekal stabil
Pertumbuhan kredit kepada sektor bukan kewangan swasta menjadi sederhana (4.8%, S2 2024: 5.5%), berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman perniagaan terkumpul dan bon korporat. Pertumbuhan pinjaman yang lebih perlahan disebabkan oleh syarikat bukan PKS, manakala pertumbuhan pinjaman PKS kekal menggalakkan. Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman kepada sektor perkhidmatan kekal stabil, manakala pertumbuhan pinjaman untuk sektor perkilangan dan pembinaan menjadi sederhana. Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil, didorong oleh pinjaman pembelian perumahan dan kereta. Pertumbuhan permohonan pinjaman isi rumah terus menggalakkan dengan kadar kelulusan yang mampan.
Pengembangan berterusan dalam permintaan dalam negeri dan peningkatan dalam permintaan luaran untuk menyokong pertumbuhan
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi Malaysia akan didorong oleh perkembangan aktiviti pelaburan yang kukuh, peningkatan eksport secara berterusan dan perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan.”
Di dalam negeri, aktiviti pelaburan akan disokong oleh kemajuan dalam projek berbilang tahun merentas sektor swasta dan awam. Inisiatif pemangkin yang diumumkan dalam pelan induk nasional dan pelaksanaan yang lebih tinggi bagi pelaburan yang diluluskan juga merupakan pemacu utama bagi aktiviti pelaburan. Pelaburan-pelaburan ini, yang disokong oleh import modal yang lebih tinggi, akan meningkatkan eksport dan mengembangkan kapasiti produktif dalam ekonomi. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh pertumbuhan guna tenaga dan gaji yang berterusan serta langkah-langkah dasar. Di luar negeri, kitaran teknologi global yang terus meningkat, permintaan kukuh yang berterusan untuk barangan perkilangan dan komoditi serta perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi dijangka akan mempertingkatkan eksport. Prospek pertumbuhan Malaysia kekal tertakluk pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih perlahan, ketegangan geopolitik dan langkah-langkah perlindungan perdagangan (protectionist measures) yang semakin meruncing serta pengeluaran komoditi yang lebih lemah daripada jangkaan. Walau bagaimanapun, faktor yang boleh menyokong pertumbuhan yang lebih tinggi termasuk limpahan yang lebih besar daripada peningkatan kitaran teknologi, pelaksanaan projek pelaburan yang lebih cepat dan aktiviti pelancongan yang lebih mantap.
Dari awal tahun hingga kini, inflasi berpurata sebanyak 1.8%
Dari awal tahun hingga kini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras mencatatkan purata sebanyak 1.8%. Kesan limpahan daripada pelarasan harga diesel kepada harga secara amnya terkawal, memandangkan langkah-langkah pengurangan dan penguatkuasaan yang berkesan untuk meminimumkan kesan terhadap kos perniagaan serta mengurangkan pindahan kos kepada harga runcit. Pada masa hadapan, prospek inflasi akan bergantung pada pelaksanaan langkah-langkah dasar dalam negeri yang selanjutnya berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta harga komoditi global dan perkembangan pasaran kewangan.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.