Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia Pada Suku Pertama Tahun 2023
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.6% pada suku pertama (S4 2022: 7.1%)
Ekonomi Malaysia terus berkembang pada suku pertama 2023 (5.6%; S4 2022: 7.1%; purata S1 2011 - S4 2019: 5.1%), didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri. Pasaran pekerja yang bertambah baik serta peningkatan guna tenaga yang mantap dan upah yang terus meningkat telah menyokong penggunaan swasta. Sementara itu, aktiviti pelaburan disokong oleh pengembangan kapasiti dan projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan. Pelancongan ke dalam negeri yang terus pulih meningkatkan eksport perkhidmatan dan sebahagiannya mengimbangi pertumbuhan eksport barangan yang lebih perlahan. Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan terus memacu pertumbuhan. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi berkembang sebanyak 0.9% (S4 2022: -1.7%).
Inflasi keseluruhan pada suku pertama menurun kepada 3.6% (S4 2022: 3.9%). Hal ini disebabkan terutamanya oleh inflasi teras yang sederhana dan harga minyak RON97 yang lebih rendah. Pengurangan inflasi teras (S1 2023: 3.9%; S4 2022: 4.2%) sebahagian besarnya disumbangkan oleh perkhidmatan terpilih. Perkhidmatan tersebut termasuk perkhidmatan telefon dan telefaks, makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian. Meskipun tekanan kos terus menjadi reda, terutamanya harga komoditi global, inflasi teras kekal tinggi pada suku pertama berikutan keadaan permintaan yang terus kukuh. Tekanan harga kekal meluas. Bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) mencatatkan kenaikan harga bulanan kepada 56.0% pada suku pertama (S4 2022: 51.2%). Hal ini sebahagiannya mencerminkan pelarasan harga oleh syarikat-syarikat yang lazimnya dilakukan pada awal tahun (purata S1 dari tahun 2011 hingga 2019: 52.2%; purata keseluruhan dari tahun 2011 hingga 2019: 45.6%), serta kenaikan harga yang berterusan bagi beberapa item berkaitan makanan.
Perkembangan kadar pertukaran
Keadaan kewangan domestik secara umumnya kekal stabil meskipun wujud ketidaktentuan berhubung dengan prospek ekonomi global. Jangkaan pasaran kewangan tentang dasar monetari AS dipengaruhi oleh kebimbangan yang semakin meningkat terhadap ekonomi AS. Kebimbangan ini termasuk kadar disinflasi dan kemampanan momentum ekonomi AS. Menjelang akhir suku pertama, risiko daripada tekanan sektor perbankan di AS dan Eropah menjejaskan lagi jangkaan pasaran. Kesannya, dolar AS secara umumnya menurun nilai berikutan perubahan sentimen berhubung dengan perkembangan ini dan mengurangkan penambahan nilai yang diperoleh pada separuh pertama suku pertama.
Berlatarkan persekitaran ini, ringgit terus mencatatkan pergerakan dua hala dengan peningkatan keseluruhan yang kecil iaitu sebanyak 0.1% berbanding dengan dolar AS pada suku pertama tahun 2023. Pada masa hadapan, Bank Negara Malaysia akan terus memantau dengan teliti keadaan kewangan global dan domestik serta pada masa yang sama memastikan pelarasan pasaran kewangan adalah teratur.
Keadaan pembiayaan
Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 4.2%
(S4 2022: 4.7%). Hal ini disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam pinjaman terkumpul (S1 2023: 4.7%; S4 2022: 5.7%) dan bon korporat terkumpul (S1 2023: 4.4%, S4 2022: 4.6%). Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 2.4% berikutan pertumbuhan dalam pinjaman modal kerja yang lebih perlahan. Walau bagaimanapun, pinjaman berkaitan pelaburan terus menggalakkan, terutamanya dalam segmen PKS. Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul berkembang sebanyak 5.2%. Peningkatan ini disokong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang berterusan untuk pembelian barangan bernilai tinggi, dengan pertumbuhan yang lebih tinggi dicatatkan khususnya untuk pembelian kereta.
Pertumbuhan Malaysia akan kekal berdaya tahan pada tahun 2023, disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh
Meskipun menghadapi rintangan global, ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.0% hingga 5.0% pada tahun 2023. Perkembangan ini didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang kukuh. Guna tenaga dan pendapatan yang bertambah baik serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun akan menyokong aktiviti penggunaan dan pelaburan. Selain itu, aktiviti pelancongan ke dalam negeri yang lebih giat akan menyokong industri perkhidmatan yang berhubung rapat dengan pelangan. Gabenor Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, “Risiko terhadap prospek pertumbuhan Malaysia secara relatif seimbang. Risiko pertumbuhan menjadi tinggi berpunca terutamanya daripada faktor dalam negeri, termasuk aktiviti pelancongan yang lebih giat daripada jangkaan dan pelaksanaan projek termasuk projek yang dinyatakan dalam pembentangan semula Belanjawan 2023. Sementara itu, risiko pertumbuhan menjadi perlahan boleh berpunca daripada eksport yang lebih rendah disebabkan oleh pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu."
Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023 meskipun inflasi teras akan kekal tinggi
Pada tahun 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana namun kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini. Inflasi yang sederhana ini mencerminkan faktor kos global yang lebih rendah berikutan gangguan rantaian bekalan yang semakin reda dan harga komoditi yang lebih rendah. Walau bagaimanapun, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan yang kukuh. Kawalan harga dan subsidi bahan api yang sedia ada akan terus membendung sebahagian kesan kenaikan tekanan inflasi. Imbangan risiko bagi prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan terus bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri, perkembangan pasaran kewangan dan harga komoditi global.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.