Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Pertama Tahun 2026
Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.4% pada suku pertama tahun 2026
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4% pada suku pertama tahun 2026 (S4 2025: 6.2%), didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri. Perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dengan kadar pengangguran yang kekal rendah, di samping langkah-langkah dasar bersasar. Pertumbuhan pelaburan disokong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam, kadar realisasi yang tinggi bagi pelaburan yang diluluskan, serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional. Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport kekal kukuh, didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E). Sementara itu, pertumbuhan import kasar menjadi sederhana berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi import barangan modal, barangan perantaraan dan barangan pengguna.
Dari segi penawaran, pertumbuhan sektor perkhidmatan menjadi sederhana, mencerminkan penurunan dalam jualan kenderaan bermotor berikutan pembelian yang dilakukan lebih awal pada suku keempat sebelum tamatnya tempoh pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik. Sementara itu, prestasi sektor perkilangan kekal disokong oleh prestasi E&E yang lebih kukuh, selaras dengan permintaan berterusan bagi komponen berkaitan kecerdasan buatan dan pusat data. Pertumbuhan sektor pertanian lebih rendah berikutan pengeluaran minyak sawit yang kembali normal selepas paras pengeluaran yang tinggi sebelum ini serta aktiviti penanaman semula yang berterusan. Sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup, disebabkan terutamanya oleh pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah. Selain itu, pertumbuhan sektor pembinaan kembali normal daripada pertumbuhan dua angka berikutan penyederhanaan dalam pembinaan kediaman dan aktiviti kejuruteraan awam. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak -0.01% (S4 2025: 1.4%) berikutan prestasi yang lebih kukuh pada suku sebelumnya.
Inflasi keseluruhan meningkat, manakala inflasi teras menjadi sederhana pada suku pertama tahun 2026
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.6% (S4 2025: 1.3%) manakala inflasi teras menjadi sederhana kepada 2.1% (S4 2025: 2.3%). Inflasi keseluruhan yang lebih tinggi mencerminkan kesan awal pindahan tekanan kos global yang lebih tinggi, sebahagiannya disebabkan oleh konflik di Timur Tengah. Caj elektrik dan harga bahan api, terutamanya RON97 dan diesel, meningkat pada suku tersebut, yang menyebabkan penurunan yang lebih perlahan bagi inflasi elektrik (-6%; S4 2025: -10.3%) dan inflasi bahan api (-1.5%; S4 2025: -1.9%). Peningkatan ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi teras yang lebih rendah, mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih sederhana bagi makanan di luar rumah (2.4%; S4 2025: 2.8%) dan inflasi sewaan (1.6%; S4 2025: 1.9%). Tahap rebakan inflasi (inflation pervasiveness), yang diukur berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mencatatkan kenaikan harga bulanan, terus menurun kepada 38.3% pada suku pertama (S4 2025: 39.6%), jauh di bawah purata suku pertama yang pernah dicatatkan iaitu sebanyak 52.2%.
Ringgit menambah nilai berbanding mata wang kebanyakan rakan dagangan pada suku pertama tahun 2026
Pada suku pertama tahun 2026, nilai ringgit mengukuh berbanding mata wang rakan-rakan dagangan utama Malaysia, seperti yang ditunjukkan oleh kenaikan 1.4% dalam kadar pertukaran efektif nominal (nominal effective exchange rate, NEER). Ringgit juga meningkat sebanyak 0.5% berbanding dolar AS pada suku tersebut, meskipun dolar AS mengukuh susulan tercetusnya konflik di Timur Tengah dalam keadaan sentimen penghindaran risiko.
Penambahan nilai ringgit disokong oleh asas domestik Malaysia yang kukuh dan momentum pertumbuhan, di samping aliran masuk yang berterusan oleh pelabur bukan pemastautin ke dalam pasaran domestik. Walaupun terdapat sedikit volatiliti berikutan konflik di Timur Tengah dan jangkaan yang berkurangan terhadap pemotongan kadar dasar oleh Federal Reserve AS, prestasi ringgit kekal baik sejak awal tahun sehingga kini, dengan penambahan nilai sebanyak 3.3% berbanding dolar AS dan 2.9% dari segi NEER pada 13 Mei 2026.
Pada masa hadapan, meskipun faktor luaran akan terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran, prospek ekonomi Malaysia yang teguh serta momentum pembaharuan yang berterusan dijangka terus menyokong ringgit. Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau perkembangan global dengan teliti dan komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi dengan teratur.
Pertumbuhan kredit meningkat didorong oleh pengembangan pinjaman perniagaan, dengan langkah sokongan membantu perniagaan menghadapi cabaran semasa dan meningkatkan daya tahan pada masa hadapan
Sektor kewangan terus menyokong keperluan pembiayaan ekonomi. Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 5.6% pada suku pertama 2026 (S4 2025: 5.3%) berikutan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (5.6%; S4 2025: 4.9%), terutamanya dalam kalangan perniagaan. Pinjaman perniagaan berkembang sebanyak 5.8% (S4 2025: 3.9%), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dalam kalangan bukan PKS, manakala pertumbuhan pinjaman PKS secara keseluruhannya mampan pada 6% (S4 2025: 5.9%). Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil pada 5.4% (S4 2025: 5.5%), dengan pertumbuhan yang stabil bagi kebanyakan tujuan. Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana kepada 5.8% (S4 2025: 6.9%) berikutan terbitan yang lebih rendah pada suku tersebut.
Sektor perbankan juga terus menyokong pelanggan secara proaktif melalui langkah-langkah bersasar dan disesuaikan bagi membantu aliran tunai, meneruskan kesinambungan perniagaan dan memelihara daya maju kewangan jangka panjang.
- Institusi kewangan menawarkan pelbagai program yang menyediakan fleksibiliti pembayaran balik, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan serta khidmat nasihat bagi membantu pelanggan menguruskan cabaran aliran tunai.
- Peminjam juga boleh mendapatkan bantuan melalui Program Pengurusan Hutang dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
- Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME Stabilisation Relief Facility, SME SRF) berjumlah RM5 bilion, iaitu kemudahan pembiayaan bantuan untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas akibat konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah, kini dibuka untuk permohonan mulai hari ini. Kemudahan ini bertujuan menyediakan sokongan modal kerja segera kepada PKS yang berdaya maju namun menghadapi gangguan operasi sementara serta cabaran aliran tunai. PKS yang berminat boleh memohon mulai hari ini melalui institusi kewangan peserta.
Selain bantuan segera, pembaharuan struktur jangka panjang adalah penting bagi memperkukuh daya tahan PKS pada masa hadapan. Sehubungan dengan hal ini, BNM bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) untuk memperkenalkan skim jaminan berjumlah RM10 bilion. Skim Jaminan BNM-CGC ini merangkumi enam skim jaminan portfolio yang meliputi bidang rangkuman kewangan, iklim dan kelestarian, produktiviti serta daya tahan, dan akan tersedia untuk PKS mulai 1 Jun 2026. Maklumat lanjut mengenai skim ini akan diumumkan dalam masa terdekat.
Walaupun pertumbuhan pada 2026 akan dipengaruhi oleh rintangan luaran, Malaysia menghadapi cabaran ini daripada kedudukan yang kukuh
Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Sri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi kesan langsung dan tidak langsung konflik geopolitik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Harga tenaga yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan yang meningkat dijangka menjejaskan persekitaran luaran. Namun begitu, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada tahun 2026, dengan pertumbuhan dijangka berada dalam julat 4% hingga 5%, disokong oleh permintaan dalam negeri yang stabil dan prestasi eksport negara yang terus berkembang.”
Permintaan dalam negeri yang berdaya tahan akan menyediakan penampan yang kukuh terhadap rintangan luaran. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang kukuh serta sokongan dasar yang berterusan. Aktiviti pelaburan akan didorong oleh kemajuan berterusan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional. Meskipun berdepan dengan rintangan luaran, pertumbuhan eksport akan terus disokong oleh pengembangan teknologi global, khususnya bagi barangan E&E, mencerminkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai global.
Prospek inflasi 2026 kekal bergantung pada perkembangan kos luaran
Inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 1.5% hingga 2.5% pada tahun 2026. Susulan konflik di Timur Tengah, inflasi dijangka meningkat sedikit disebabkan oleh peningkatan harga tenaga global dan komoditi utama lain, pada amnya selaras dengan jangkaan. Dengan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan, langkah-langkah dasar sedia ada termasuk subsidi bahan api bersasar dan langkah-langkah pengurangan lain, dijangka membantu mengehadkan kesan limpahan jangka pendek kepada inflasi yang lebih meluas. Walau bagaimanapun, tahap dan kadar pindahan kepada harga dalam negeri akibat konflik yang berterusan turut bergantung pada penetapan harga oleh syarikat-syarikat serta keadaan permintaan.
Lihat juga:
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.