Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan April 2021

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Isnin, 31 Mei 2021
31 Mei 2021 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.7% pada bulan April

  • Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.7% pada bulan April (1.7% pada bulan Mac).
  • Harga bahan api runcit yang lebih tinggi merupakan penyumbang utama kepada inflasi keseluruhan, berikutan asas yang rendah pada tahun 2020 (harga petrol RON95 pada bulan April 2021: RM2.05/liter; April 2020: RM1.27/liter).
  • Inflasi keseluruhan dijangka naik secara mendadak untuk sementara waktu pada suku kedua dan kemudiannya menjadi sederhana apabila kesan asas menjadi reda.
  • Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 0.7%.

Eksport meningkat pada kadar yang lebih pantas pada bulan Mac

  • Eksport terus berkembang sebanyak 31.0% pada bulan Mac 2021 (Februari 2021: 17.6%), didorong terutamanya oleh eksport perkilangan yang kukuh. Mengikut destinasi, pengembangan ini disokong oleh eksport ke China, AS dan Singapura.
  • Pada masa hadapan, eksport dijangka mendapat sokongan daripada pertumbuhan global yang kembali pulih, permintaan terhadap eksport elektronik yang berterusan dan harga komoditi yang lebih tinggi. Walau bagaimanapun, prospek perdagangan terus bergantung pada perkembangan pandemik COVID-19.

Pembiayaan bersih terus berkembang

  • Pembiayaan bersih berkembang sebanyak 4.9%. Pengembangan ini mencerminkan peningkatan pertumbuhan bon korporat terkumpul (April: 7.7%, Mac: 5.9%) sementara pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal mampan (April: 3.9%, Mac: 3.9%).
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 6.2% (Mac: 5.7%) apabila pengeluaran pinjaman meningkat pada kadar yang lebih tinggi berbanding dengan pembayaran balik pinjaman bagi kebanyakan tujuan.
  • Pertumbuhan pinjaman terkumpul bagi perniagaan menjadi sederhana kepada 0.4% (Mac: 1.1%) mencerminkan terutamanya pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah untuk tujuan modal kerja.

Keadaan pasaran kewangan domestik bertambah baik pada bulan April

  • Pada bulan April, keadaan pasaran kewangan domestik bertambah baik berikutan gabungan faktor luar dan dalam negeri.
  • Kadar hasil bon domestik menjadi sederhana dalam keadaan sentimen pelabur yang positif didorong oleh kedudukan Malaysia yang terus kekal dalam FTSE Russell World Government Bond Index dan penurunan kadar hasil bon kerajaan jangka lebih panjang dalam kebanyakan ekonomi maju selepas peningkatan mendadak pada awal tahun ini. Khususnya, kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 12.2 mata asas pada bulan ini.
  • Ringgit menambah nilai sebanyak 1.3% berbanding dengan dolar AS, disokong oleh aliran masuk portfolio ke pasaran bon domestik dan penurunan nilai dolar AS secara keseluruhan.
  • FBM KLCI meningkat sebanyak 1.8%, disokong terutamanya oleh sektor penjagaan kesihatan berikutan kebimbangan berhubung dengan penularan semula kes COVID-19 pada peringkat global dan dalam negeri.

Institusi perbankan terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh

  • Kesemua bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk berhadapan dengan kejutan yang mungkin muncul dan meneruskan sokongan aliran kredit kepada ekonomi.
  • Kini, lebihan penampan modal1 institusi perbankan berjumlah RM124.2 bilion setakat bulan April 2021.

Kualiti aset sistem perbankan kekal teguh

  • Keseluruhan nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih mampan pada 1.6% dan 1.0%, apabila jejas nilai menjadi sederhana sedikit pada bulan itu.
  • Walau bagaimanapun, institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan terhadap kerugian kredit, yang kini berada pada 1.7% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

 

Lihat juga:

Siaran Akhbar [PDF]


1 Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, serta meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi


Bank Negara Malaysia
31 Mei 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?