Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan April 2022
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Selasa, 31 Mei 2022
31 Mei 2022
Siaran Akhbar
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.3% pada bulan April
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.3% (Mac: 2.2%), sementara inflasi teras meningkat sedikit pada 2.1% (Mac: 2.0%).
- Kenaikan inflasi disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan di luar rumah, tambang perjalanan udara serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.
Pertumbuhan eksport terus kukuh
- Eksport meningkat sebanyak 20.7% (Mac: 25.3%), mencerminkan kekukuhan yang berterusan merentas produk eksport Malaysia.
- Pada masa hadapan, prestasi eksport akan terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran dan peningkatan kitaran teknologi global. Di samping itu, harga komoditi yang tinggi dan peningkatan pengeluaran akan memberikan dorongan selanjutnya kepada eksport.
- Walau bagaimanapun, prospek perdagangan terus bergantung pada gangguan rantaian bekalan global dan konflik ketenteraan di Ukraine.
Pertumbuhan Pembiayaan Bersih mampan pada bulan April
- Pembiayaan bersih terus berkembang pada 4.6%, disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul (5.0%; Mac: 4.6%), dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih sederhana (3.7%; Mac: 4.6%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul mampan pada 4.9%, mencerminkan pertumbuhan yang stabil merentas kebanyakan tujuan. Pertumbuhan pengeluaran pinjaman pada bulan itu lebih tinggi sedikit (10.8%; Mac: 10.2%) di samping terdapat peningkatan dalam pertumbuhan bayaran balik pinjaman (8.5%; Mac: 3.2%).
- Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat (5.7%; Mac: 4.5%), mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman modal kerja (8.3%; Mac: 6.3%) apabila pertumbuhan pengeluaran modal kerja melebihi bayaran balik pinjaman.
Kadar hasil bon meningkat, didorong terutamanya oleh perkembangan luaran
- Pada bulan April, keadaan kewangan global menjadi ketat disebabkan oleh jangkaan dasar monetari AS yang kembali ke paras wajar dengan lebih cepat dan penghindaran risiko pelabur yang lebih tinggi akibat konflik ketenteraan di Ukraine. Meskipun berlaku limpahan ke pasaran kewangan domestik, pelarasan kekal teratur dalam keadaan jumlah perdagangan purata yang kukuh.
- Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 53 mata asas, seiring dengan kadar hasil bon yang lebih tinggi pada peringkat global. FBM KLCI meningkat sedikit, iaitu sebanyak 0.8% disebabkan oleh prospek ekonomi dalam negeri yang lebih baik apabila Malaysia beralih ke fasa endemik.
- Ringgit menurun nilai sejajar dengan mata wang utama dan serantau. Penurunan ini susulan aliran keluar portfolio asing pada bulan April apabila pelabur memperuntukkan semula dana mereka kepada aset selamat seperti di AS.
Kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank-bank terus menyokong aktiviti pengantaraan
- Sistem perbankan terus mengekalkan kedudukan mudah tunai yang utuh dan mencatatkan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai yang kukuh pada 156.7%.
- Pertumbuhan pendanaan yang stabil, terutamanya bagi deposit runcit, terus menyokong aktiviti pengantaraan bank-bank.
- Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (Net Stable Funding Ratio, NSFR) agregat berada pada 119.0% pada bulan Mac 2022.
Kualiti aset sistem perbankan kekal tidak berubah
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan kekal stabil masing-masing pada 1.6% dan 0.9%.
- Bank-bank terus berhemat dalam peruntukan pinjaman untuk menjadi penampan terhadap potensi kerugian kredit, dengan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan sebanyak RM40.2 bilion (Mac: RM39.8 bilion).
- Jumlah peruntukan berada pada 1.8% sebagai bahagian daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 113.4% daripada pinjaman terjejas.
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!