Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan April 2023
Inflasi keseluruhan terus sederhana
- Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 3.3% (Mac: 3.4%). Penurunan ini didorong terutamanya oleh inflasi makanan yang lebih rendah seperti sayur-sayuran segar serta inflasi bahan api yang lebih rendah berikutan harga RON 97 yang lebih rendah berbanding dengan tahun lepas (April 2023: RM 3.35/liter; April 2022: RM 3.84/liter).
- Inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras[1] juga menurun kepada 3.6% (Mac: 3.8%) disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah untuk beberapa perkhidmatan mengikut budi bicara, terutamanya makanan di luar rumah.
Eksport menurun pada bulan April
- Eksport menguncup sebanyak 17.4% (Mac: -1.4%) pada bulan April 2023 mencerminkan permintaan luaran yang lebih lemah dan harga komoditi yang menurun.
- Pertumbuhan eksport perkilangan dipengaruhi terutamanya oleh perkilangan logam dan produk kimia. Sementara itu, eksport komoditi berkurang disebabkan oleh penghantaran minyak kelapa sawit dan petroleum mentah yang berkurang.
- Pada masa hadapan, kelembapan meluas dalam eksport dijangka berterusan. Hal ini seiring dengan prestasi ekonomi serantau dan prospek pertumbuhan global yang lebih rendah berikutan kesan asas yang tinggi daripada permintaan global yang menggalakkan terhadap barangan pada tahun 2022.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan lebih perlahan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3] meningkat sebanyak 3.7% pada akhir bulan April (Mac: 4.1%), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan kredit kepada perniagaan yang lebih perlahan (2.4%; Mac: 3.2%).
- Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat pada kadar yang lebih perlahan (1.0%; Mac: 2.4%) berikutan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih lemah, terutamanya dalam segmen bukan PKS (1.6%; Mac: 5.9%). Pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal pada 4.4% (Mac: 4.4%).
- Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul berkembang sebanyak 4.9% (Mac: 5.1%), disokong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam penggunaan berkaitan kredit (5.2%; Mac: 4.8%). Hal ini mencerminkan pertumbuhan yang berterusan dalam perbelanjaan kad kredit dan pinjaman untuk pembelian kereta. Pertumbuhan bagi pinjaman untuk pembelian rumah menjadi sedikit sederhana kepada 6.7% (Mac: 7.0%).
Pelarasan pasaran kewangan domestik didorong terutamanya oleh perkembangan luaran
- Pada bulan April, pelabur global mengekalkan prospek yang berhati-hati terutamanya bagi ekonomi maju berikutan IMF menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi global. Pada masa yang sama, keadaan kewangan global terus terjejas oleh perkembangan sektor perbankan AS berikutan jangkaan kadar dasar bagi Rizab Persekutuan AS telah beralih kepada jangkaan kadar yang lebih rendah.
- Mencerminkan sentimen pelabur global yang bercampur-campur, kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 18 mata asas (purata serantau[4]: -8.9 mata asas). Ringgit menurun nilai berbanding dengan dolar AS sebanyak 1.1%, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau4 (purata: -0.8%).
- Sementara itu, FBM KLCI menurun sebanyak 0.5% berikutan penurunan terutamanya dalam sektor teknologi dan penjagaan kesihatan apabila beberapa syarikat semikonduktor dan sarung tangan melaporkan pendapatan suku tahunan yang lebih rendah.
Bank-bank mengekalkan permodalan yang kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi
- Bank-bank terus mencatatkan penampan modal tunai yang utuh untuk menyerap sebarang kejutan yang tidak dijangka di samping mengekalkan keupayaan mereka untuk menyediakan pembiayaan kepada ekonomi.
- Lebihan penampan[5] modal sistem perbankan sebanyak RM136.2 bilion.
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 154.3% (Mac: 157.5%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.4% (Mac: 85.1%).
Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia, dan Korea.
[5] Merujuk jumlah modal melebihi tahap pengawaliseliaan minimum, dan meliputi keperluan penampan pengekalanmodal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.