Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Disember 2020
Inflasi keseluruhan mencatatkan kadar negatif yang lebih kecil sebanyak -1.4% pada bulan Disember
- Inflasi keseluruhan mencatatkan kadar negatif yang lebih kecil sebanyak -1.4% pada bulan Disember (November 2020: -1.7%) disebabkan terutamanya oleh kenaikan harga bahan api runcit dalam negeri.
- Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras , kekal stabil pada 0.7%.
- Pada keseluruhan tahun 2020, purata inflasi keseluruhan adalah lebih rendah pada -1.2% (2019: 0.7%) mencerminkan terutamanya harga minyak dunia yang ketara lebih rendah. Inflasi teras kekal positif dengan purata 1.1% (2019: 1.5%).
Pertumbuhan eksport bertambah baik pada bulan November
- Pertumbuhan eksport meningkat kepada 4.3% pada bulan November 2020 (Oktober 2020: 0.2%), disebabkan terutamanya oleh eksport E&E yang lebih kukuh. Mengikut destinasi, prestasi eksport E&E yang lebih kukuh didorong oleh eksport yang lebih tinggi ke RR China, Hong Kong SAR dan Singapura.
- Pada masa hadapan, eksport dijangka mendapat sokongan daripada pemulihan pertumbuhan global, permintaan terhadap eksport elektronik yang berterusan dan harga komoditi yang lebih tinggi. Walaupun begitu, prospek perdagangan terus bergantung pada perkembangan global berkaitan dengan pandemik COVID-19.
Pembiayaan bersih terus meningkat
- Pembiayaan bersih terus meningkat dalam keadaan pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul yang sederhana (Disember 2020: 3.4%, November 2020: 3.8%), sementara pertumbuhan bon korporat terkumpul terus mampan pada 6.5% (November 2020: 6.7%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul kekal pada 5.0% (November 2020: 5.0%) apabila pengeluaran pinjaman meningkat dan kekal lebih tinggi daripada purata yang pernah dicatatkan sebelum ini (Disember 2020: RM33.1 bilion, November 2020: RM29.7 bilion).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menurun (Disember 2020: 0.5%, November 2020: 1.2%) disebabkan oleh kesan asas yang tinggi pada bulan Disember 2019. Walau bagaimanapun, pengeluaran meningkat didorong oleh pinjaman modal kerja yang lebih tinggi.
Prestasi pasaran kewangan domestik meningkat dengan ketara
- Pada bulan Disember, sentimen pelabur global terus meningkat dengan jangkaan aktiviti ekonomi akan kembali normal, berikutan kebenaran kerajaan di negara-negara utama berhubung dengan penggunaan vaksin COVID-19. Hal ini berlaku meskipun terdapat beberapa kebimbangan tentang kemungkinan pemulihan ekonomi global menjadi perlahan apabila beberapa ekonomi utama melaksanakan langkah sekatan pergerakan tambahan dalam keadaan jangkitan COVID-19 yang meningkat semula pada bulan itu.
- Hasilnya, indeks ekuiti global dan serantau mencatatkan keuntungan, mencerminkan kesanggupan pelabur mengambil risiko yang lebih tinggi terhadap aset yang lebih berisiko. FBM KLCI juga meningkat 4.1%.
- Kesanggupan pelabur mengambil risiko yang lebih tinggi juga mendorong aliran masuk portfolio bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik berikutan aktiviti mencari keuntungan oleh pelabur global. Hasilnya, kadar MGS 10-tahun menurun sebanyak 9 mata asas dan ringgit menambah nilai 1.4% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat.
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh walaupun pinjaman terjejas meningkat
- Nisbah pinjaman terjejas kasar terus meningkat dan kembali semula ke paras yang setara dengan tahun 2019 (Disember 2020: 1.6%; November 2020: 1.5%).
- Institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kerugian kredit masa depan dengan nisbah jumlah peruntukan kepada jumlah pinjaman meningkat kepada 1.7% pada bulan Disember (November 2020: 1.6%).
- Peminjam yang masih terjejas dengan situasi mencabar akan terus menerima bantuan yang diperlukan daripada bank melalui bantuan bayaran balik bersasar.
Lihat juga:
Siaran akhbar [PDF]
-------------------
1Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
2Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan [IKP])..
3 Disebabkan oleh pengeluaran pinjaman bernilai besar dalam sektor perkilangan. Pertumbuhan adalah 1.3% jika tidak termasuk kesan asas. .
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.