Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Disember 2021

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Isnin, 31 Januari 2022
31 Jan 2022 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 3.2% pada bulan Disember

  • Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 3.2% pada bulan Disember (November: 3.3%) disebabkan terutamanya oleh inflasi pengangkutan yang lebih rendah (Disember: 9.5%; November: 12.7%), yang sebahagiannya diimbangi oleh inflasi segmen makanan dan minuman bukan alkohol yang lebih tinggi (Disember: 3.2%; November: 2.7%).
  • Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras[1], meningkat kepada 1.1% (November: 0.9%), didorong terutamanya oleh beberapa barangan dan perkhidmatan makanan[2] serta penyelenggaraan[3].
  • Bagi seluruh tahun 2021, purata inflasi keseluruhan ialah 2.5% (2020: -1.2%), manakala purata inflasi teras adalah pada 0.7% (2020: 1.1%).        

Pertumbuhan eksport meningkat pada bulan Disember

  • Eksport meningkat sebanyak 29.2% (November: 32.4%), mencerminkan produk eksport Malaysia yang terus kukuh.
  • Pada masa hadapan, prestasi eksport Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada permintaan luaran dan peningkatan kitaran teknologi global. Selain itu, harga komoditi yang tinggi akan memberikan dorongan selanjutnya kepada pertumbuhan eksport.
  • Walau bagaimanapun, prospek perdagangan masih bergantung pada perkembangan pandemik dan gangguan rantaian bekalan global.

Pertumbuhan pembiayaan bersih lebih tinggi berikutan meningkatnya kegiatan ekonomi

  • Pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat kepada 4.8% (November: 4.5%), mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul (Disember: 4.5%; November: 4.3%) dan bon korporat terkumpul (Disember: 5.5%; November: 4.9%).
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah terus meningkat kepada 4.3% (November: 4.1%), berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman.
  • Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul (Disember: 5.0%; November: 4.8%) terus disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang tinggi (Disember: 7.4%; November: 8.0%; purata 2017-2019: 4.3%).

Pasaran kewangan domestik disokong oleh prospek pertumbuhan yang positif

  • Keadaan pasaran kewangan domestik stabil pada bulan Disember, dengan aliran masuk bukan pemastautin ke pasaran bon mengimbangi aliran keluar dari pasaran ekuiti.
  • Kadar hasil MGS meningkat seiring dengan kadar hasil kerajaan di negara lain walaupun terdapat aliran masuk bukan pemastautin. Hal ini mencerminkan kadar hasil US Treasury yang lebih tinggi disebabkan oleh dasar monetari AS yang kembali ke paras wajar dengan kadar yang lebih cepat. Meskipun berlakunya limpahan ini, pengantaraan kewangan domestik kekal lancar tanpa gangguan.
  • Ringgit menambah nilai dan KLCI meningkat berikutan faktor dalam negeri yang menggalakkan, termasuk peningkatan dalam kegiatan ekonomi, kemajuan dalam pemberian vaksin penggalak COVID-19 yang berterusan dan harga tenaga global yang lebih tinggi.

Mudah tunai dalam sistem perbankan mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan

  • Kedudukan pendanaan dan mudah tunai sistem perbankan terus menyokong aktiviti pengantaraan dalam keadaan pertumbuhan deposit yang stabil.
  • Nisbah perlindungan mudah tunai sistem perbankan bertambah baik (Disember-21: 3%; November-21: 144.7%) berikutan redanya kesan sementara daripada tamat tempoh pengecualian cukai pendapatan ke atas pelaburan korporat dalam Dana Pasaran Wang pada bulan November.
  • Nisbah pinjaman kepada dana secara amnya kekal stabil pada 82.3.

Kualiti aset sistem perbankan kekal mantap dan terus bertambah baik

  • Langkah-langkah bantuan bayaran balik yang dilanjutkan telah memberikan bantuan sementara yang sangat diperlukan kepada peminjam yang terjejas.
  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan masing-masing lebih rendah pada 1.4% dan 0.9%, didorong oleh penyambungan semula bayaran balik pinjaman berikutan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur.

Bank terus menyediakan penampan peruntukan dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.


[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harga.nya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.

[2] Contohnya, makanan di luar rumah serta produk bakeri & roti.

[3] Contohnya, membaiki dan menyelenggara pengangkutan peribadi.

 

Lihat Sorotan Bulanan [PDF]


Bank Negara Malaysia
31 Januari 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?