Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Disember 2022
Inflasi keseluruhan menurun kepada 3.8% pada bulan Disember
- Inflasi keseluruhan menurun kepada 3.8% pada bulan Disember (November: 4.0%) disebabkan oleh inflasi makanan segar dan bahan api yang terus sederhana serta inflasi teras yang lebih rendah.
- Inflasi teras[1] menurun sedikit namun kekal tinggi pada 4.1% pada bulan Disember (November: 4.2%). Inflasi teras yang lebih rendah sebahagian besarnya mencerminkan inflasi yang lebih rendah untuk pembaikan dan penyelenggaraan untuk pengangkutan peribadi, produk roti dan bakeri serta loteri dan perjudian.
Pertumbuhan eksport menjadi sederhana pada bulan Disember
- Eksport meningkat sebanyak 6.0% (November: 15.1%) pada bulan Disember 2022. Secara keseluruhan, eksport meningkat sebanyak 25.0% pada tahun 2022.
- Pertumbuhan eksport perkilangan didorong oleh produk petroleum dan E&E. Sementara itu, eksport komoditi terus disokong terutamanya oleh penghantaran LNG dan petroleum mentah.
- Pada masa hadapan, pertumbuhan global yang menjadi sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah dijangka menjejaskan pertumbuhan eksport Malaysia.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan lebih tinggi
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2] meningkat sebanyak 4.7% pada akhir bulan Disember (November: 4.4%), mencerminkan pertumbuhan kredit kepada perniagaan yang lebih tinggi (3.8%; November: 3.2%).
- Bagi perniagaan, pertumbuhan kredit yang lebih kukuh didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi bon korporat terkumpul (4.6%; November: 3.5%) dan pinjaman perniagaan terkumpul (3.3%; November: 3.0%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 5.5% (November: 5.6%) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman. Pertumbuhan pengeluaran pinjaman terus kukuh (10.4%; November: 9.1%) meskipun pertumbuhan pinjaman terkumpul agak sederhana bagi pembelian rumah dan kereta.
Pasaran kewangan domestik terus reda, mencerminkan sentimen risiko pelabur yang bertambah baik
- Keadaan kewangan global didorong terutamanya oleh jangkaan bahawa bank-bank pusat utama akan mengetatkan dasar monetari pada kadar yang lebih perlahan pada masa hadapan apabila inflasi menunjukkan tanda telah mencapai paras tertinggi. Sementara itu, pembukaan semula sempadan antarabangsa China yang lebih awal daripada jangkaan telah meningkatkan sokongan terhadap sentimen risiko pelabur.
- Kesannya, keadaan kewangan domestik menjadi reda, dengan kadar hasil MGS 10 tahun berkurang sebanyak 4.0 mata asas (purata serantau[3]: -4.4 mata asas). FBM KLCI meningkat sebanyak 0.4% (purata serantau: -3.1%), disumbangkan terutamanya oleh sektor perladangan berikutan harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi pada bulan Disember.
- Ringgit terus menambah nilai berbanding dengan dolar AS (+0.9%), sejajar dengan pergerakan mata wang serantau lain (purata: 2.0%).
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan
- Nisbah Perlindungan Mudah Tunai keseluruhan sistem perbankan bertambah baik pada bulan Disember apabila bank-bank menguruskan penampan secara proaktif bagi menangani ketidaktentuan bermusim mudah tunai sistem perbankan pada akhir tahun.
- Nisbah pinjaman kepada dana agregat sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.4% (November: 82.2%), disokong oleh pertumbuhan deposit yang kukuh sebanyak 5.9% (November: 5.9%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal tidak berubah masing-masing pada 1.7% (November: 1.8%) dan 1.1% (November: 1.1%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal sedia) terus mencatatkan tahap berhemat sebanyak 118.2% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.7% daripada jumlah pinjaman.
Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan angan (termasuk kertas jangka pendek). Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
[3] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.