Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Februari 2021

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 31 Mac 2021
31 Mac 2021 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan kembali positif pada bulan Februari, iaitu meningkat kepada 0.1% (Januari: -0.2%).

  • Inflasi keseluruhan yang lebih tinggi ini dipacu hampir sepenuhnya oleh harga bahan api dalam negeri yang lebih tinggi pada bulan tersebut (harga petrol RON95: Februari: RM1.95/liter; Januari: RM1.87/liter).
  • Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 0.7%.

Eksport terus berkembang pada bulan Januari

  • Eksport meningkat sebanyak 6.6% pada bulan Januari 2021 (Disember 2020: 10.8%), didorong terutamanya oleh eksport perkilangan yang teguh. Mengikut destinasi, pengembangan ini disokong oleh eksport ke Singapura, AS, China dan Vietnam.
  • Pada masa hadapan, eksport dijangka mendapat sokongan daripada pemulihan pertumbuhan global, permintaan terhadap eksport elektronik yang berterusan dan harga komoditi yang lebih tinggi. Walaupun begitu, prospek perdagangan terus bergantung pada keadaan pandemik COVID-19.

Pembiayaan bersih terus berkembang

  • Pembiayaan bersih berkembang pada 3.9% berikutan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang lebih rendah (Februari: 4.5%, Januari: 6.3%), sementara pertumbuhan pinjaman terkumpul mampan (Februari: 3.7%, Januari: 3.8%).
  • Pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat sebanyak 5.1% (Januari: 4.9%) disokong oleh pinjaman untuk pembelian kereta dan harta kediaman.
  • Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat sebanyak 1.0% (Januari: 1.5%) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran. Dari segi tempoh, kedua-dua pengeluaran (Februari: 64.9 bilion, Januari: 70.0 bilion) dan bayaran balik pinjaman (Februari: RM66.0 bilion, Januari: RM69.1 bilion) adalah lebih rendah pada bulan Februari, mencerminkan bilangan hari bekerja yang sedikit.

Pasaran kewangan domestik terjejas akibat peningkatan kadar hasil bon kerajaan jangka panjang di peringkat global pada bulan tersebut

  • Pada bulan Februari, prestasi kewangan domestik terjejas terutamanya akibat peningkatan hasil bon kerajaan jangka panjang di peringkat global pada separuh kedua bulan Februari.
  • Pada separuh pertama bulan itu, FBM KLCI dan ringgit disokong oleh keyakinan yang berterusan terhadap pemberian vaksin yang akan mendorong pemulihan global.
  • Walau bagaimanapun, pada separuh kedua bulan tersebut, kadar hasil Perbendaharaan AS terutamanya yang bertempoh jangka panjang mula meningkat pada kadar yang lebih cepat berikutan jangkaan kenaikan inflasi apabila ramalan mengenai pemulihan ekonomi yang lebih pantas di AS bertambah kukuh. Hal ini telah menyebabkan pengukuhan dolar AS dan mencetus penjualan ekuiti global. Akibatnya ringgit menurun nilai manakala FBM KLCI merosot pada separuh kedua bulan Februari.
  • Pada bulan Februari secara keseluruhan, ringgit dan FBM KLCI secara relatif kekal tidak berubah, masing-masing meningkat sebanyak 0.1% dan 0.7%. Walau bagaimanapun, kadar hasil MGS10-tahun meningkat sebanyak 38.2 mata asas berikutan keluk kadar hasil Perbendaharaan AS semakin mencuram pada bulan Februari.

Institusi perbankan terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh

  • Kesemua bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk berhadapan dengan kejutan yang mungkin muncul dan meneruskan sokongan aliran kredit kepada ekonomi.
  • Nisbah modal menurun sedikit daripada bulan Januari, disebabkan terutamanya oleh pelarasan penilaian ke atas instrumen kewangan sedia-untuk-dijual dan bayaran dividen.
  • Kini lebihan penampan modal 1 institusi perbankan berjumlah RM126.3 bilion setakat bulan Februari 2021.

Kualiti aset sistem perbankan kekal mantap

  • Keseluruhan pinjaman terjejas kasar dan bersih mampan masing-masing pada 1.6% dan 1.0%, apabila institusi perbankan terus memudahkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam yang menghadapi kesukaran kewangan yang sementara.
  • Institusi perbankan terus menambahkan peruntukan bagi menghadapi kerugian kredit yang kini berada pada 1.7% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

 

Lihat juga:

Siaran Akhbar [PDF]


1 Merujuk jumlah modal melebihi tahap pengawaliseliaan minimum, dan meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi

Bank Negara Malaysia
31 Mac 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?