Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Februari 2022

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Khamis, 31 Mac 2022
31 Mac 2022 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2% pada bulan Februari

  • Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.2% pada bulan Februari (Jan: 2.3%), mencerminkan terutamanya inflasi yang lebih rendah dalam segmen pengangkutan (Feb: 3.9%; Jan: 6.0%)
  • Inflasi asas1 seperti yang diukur oleh inflasi teras adalah lebih tinggi, iaitu pada 1.8% pada bulan Februari (Jan: 1.6%), didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah dan sewaan.

Pertumbuhan eksport kekal kukuh pada bulan Februari

  • Eksport meningkat sebanyak 16.8% (Jan: 23.9%), mencerminkan produk eksport Malaysia yang terus kukuh.
  • Pada masa hadapan, prestasi eksport akan terus mendapat manfaat daripada pengembangan permintaan luaran dan peningkatan kitaran teknologi global. Selain itu, harga komoditi yang tinggi akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan eksport.
  • Walau bagaimanapun, prospek perdagangan masih bergantung pada perkembangan pandemik, gangguan rantaian bekalan global serta risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan global berikutan konflik ketenteraan di Ukraine.

Pertumbuhan pembiayaan bersih mampan pada bulan Februari

  • Pertumbuhan pembiayaan bersih2 mampan pada 4.8% apabila pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat (Feb: 5.2%; Jan: 5.0%) manakala pertumbuhan pinjaman terkumpul stabil pada 4.7%.
  • Pinjaman isi rumah terkumpul terus berkembang pada 4.7%, mencerminkan pertumbuhan yang secara amnya mampan merentas kebanyakan tujuan.
  • Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat (Feb: 5.5%; Jan: 5.3%) berikutan pemberian pinjaman yang lebih tinggi kepada PKS dan pertumbuhan yang mampan dalam pinjaman modal kerja (Feb: 8.3%, Jan: 8.2%; purata 2017-2019: 4.3%).
  • Pertumbuhan jumlah pengeluaran pinjaman menjadi sederhana pada bulan Februari tetapi kekal tinggi (Feb: 12.3%; Jan: 21.5%; purata 2017-2019: 5.0%) apabila pertumbuhan pengeluaran pinjaman bagi perniagaan terus meningkat.

Pasaran kewangan domestik teratur dalam keadaan konflik geopolitik yang berterusan

  • Pada bulan Februari, konflik ketenteraan di Ukraine telah menjejaskan pasaran kewangan global, menyebabkan volatiliti meningkat.  Walau bagaimanapun, limpahan kepada pasaran kewangan domestik dan keadaan kewangan yang lebih meluas dapat dibendung, mencerminkan sentimen pelabur yang positif, memandangkan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport komoditi bersih dalam keadaan harga komoditi global yang lebih tinggi.
  • Pasaran ekuiti domestik telah meningkat, didorong oleh sektor perladangan.  FBM KLCI meningkat sebanyak 6.3% kepada 1,608 mata pada akhir bulan Februari.
  • Kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 0.6 mata asas manakala ringgit menyusut nilai sebanyak 0.3%.

Bank mengekalkan mudah tunai yang mencukupi untuk menyokong aktiviti pengantaraan

  • Sistem perbankan terus mengekalkan kedudukan mudah tunai yang utuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai kekal kukuh pada 151.3%.
  • Profil pendanaan bank-bank kekal stabil disokong oleh pertumbuhan deposit yang mampan. 
  • Nisbah Pendanaan Stabil Bersih (Net Stable Funding Ratio, NSFR) berada pada 116.4% pada bulan Disember 2021.

Kualiti aset bank kekal mantap

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih masing-masing kekal rendah pada 1.5% dan 0.9%.
  • Bank-bank terus berhemat dalam peruntukan pinjaman untuk menjadi penampan terhadap potensi kerugian kredit, dengan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan berjumlah hingga RM41.1 bilion (Jan-22: RM40.8 bilion).
  • Jumlah peruntukan berada pada 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

 


1  Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.

2  Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)) dan bon korporat terkumpul.

 

Lihat Sorotan Bulanan [PDF]

 


Bank Negara Malaysia
31 Mac 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?