Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Februari 2023
Inflasi keseluruhan stabil pada 3.7% pada bulan Februari
- Inflasi keseluruhan stabil pada 3.7% pada bulan Februari (Januari: 3.7%) kerana peningkatan inflasi untuk makanan dan minuman bukan alkohol serta sewaan diimbangi oleh penurunan inflasi untuk perkhidmatan rekreasi dan budaya serta pengangkutan.
- Keadaan cuaca buruk pada bulan Januari dan Februari juga menyumbang kepada peningkatan inflasi untuk segmen makanan segar tertentu, terutamanya sayur-sayuran segar.
- Sementara itu, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras[1] kekal stabil pada 3.9% (Januari: 3.9%).
Pertumbuhan eksport lebih tinggi pada bulan Februari
- Eksport meningkat sebanyak 9.8% (Januari: 1.4%) pada bulan Februari 2023.
- Pertumbuhan eksport perkilangan didorong terutamanya oleh produk elektrik dan elektronik (electrical and electronics, E&E) dan petroleum. Sementara itu, eksport komoditi terus disokong terutamanya oleh penghantaran gas asli cecair (liquefied natural gas, LNG) dan petroleum mentah.
- Pada masa hadapan, pertumbuhan global yang menjadi sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah dijangka menjejaskan eksport Malaysia.
Pertumbuhan kredit kekal menyokong kegiatan ekonomi
- Kredit kepada sektor swasta[2],[3] bukan kewangan meningkat sebanyak 4.5% pada akhir bulan Februari (Januari: 4.3%), mencerminkan terutamanya pertumbuhan kredit kepada perniagaan yang lebih tinggi (3.6%; Januari: 3.3%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul kekal mampan (5.3%; Januari: 5.3%), disokong oleh pertumbuhan kredit berkaitan penggunaan yang lebih tinggi (4.8%; Januari: 4.4%), manakala pertumbuhan pinjaman terkumpul untuk pembelian sekuriti menurun (-3.3%; Januari: -1.4%). Yang penting, pertumbuhan pengeluaran pinjaman adalah kukuh merentas semua tujuan (25.4%; Januari: 9.4%).
- Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul berkembang sebanyak 2.3% (Januari: 2.1%), didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi untuk modal kerja (1.9%; Januari: 1.6%) dan pembiayaan berkaitan pelaburan (4.1%; Januari: 3.9%). Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul terus meningkat (5.5%; Januari: 5.1%).
Keadaan kewangan domestik menjadi ketat susulan semakan menaik jangkaan kadar dasar AS
- Keadaan kewangan global menjadi ketat kerana peserta pasaran menaikkan jangkaan mereka untuk kadar dana persekutuan AS pada masa hadapan susulan data ekonomi AS yang lebih kukuh daripada jangkaan.
- Kesannya, keadaan kewangan domestik menjadi ketat. Kadar hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (Malaysian Government Securities, MGS) 10 tahun meningkat sebanyak 11 mata asas, selaras dengan pergerakan kadar hasil bon serantau* (purata: 26 mata asas) dan ekonomi utama. FBM KLCI juga menurun sebanyak 2.1% (purata serantau*: -2.0%) berikutan aliran keluar portfolio pelabur bukan pemastautin daripada pasaran ekuiti domestik.
- Nilai ringgit menurun sebanyak 4.9% berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan pergerakan mata wang serantau* (purata: -3.9%).
Bank-bank mengekalkan tahap permodalan yang kukuh bagi menyokong pemulihan ekonomi
- Bank-bank terus mencatatkan penampan modal yang teguh untuk menyerap sebarang kejutan luar jangka dan pada masa yang sama mengekalkan keupayaan untuk memberikan pembiayaan kepada ekonomi.
- Lebihan penampan modal[4] sistem perbankan berada pada RM135.0 bilion.
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan
- Sistem perbankan mencatatkan tahap penampan mudah tunai yang teguh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 152.7% (Januari: 147.1%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana sebahagian besarnya kekal stabil pada 81.5% (Januari: 82.3%), disokong oleh pertumbuhan deposit yang mantap sebanyak 7.0% (Januari: 7.5%).
Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan dari sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam jadual 2.18 MHS.
[4] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.
*Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.