Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Januari 2021
Inflasi keseluruhan mencatatkan pertumbuhan negatif yang lebih kecil pada -0.2%
- Inflasi keseluruhan mencatatkan pertumbuhan negatif yang lebih kecil pada bulan Januari (Disember 2020: -1.4%). Hal ini didorong terutamanya oleh peningkatan inflasi elektrik dan kenaikan harga runcit bahan api dalam negeri pada bulan tersebut.
- Peningkatan ini masing-masing mencerminkan luputnya kesan daripada rebat tarif elektrik secara bertingkat dan kenaikan harga minyak dunia.
- Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras[1], kekal stabil pada 0.7%.
IOWRT bertambah baik pada bulan Disember, dengan penguncupan yang lebih kecil
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) bertambah baik dengan mencatatkan penguncupan tahunan yang lebih kecil sebanyak 0.7% pada bulan Disember 2020 (November: -1.6%). Hal ini disebabkan oleh pelonggaran pelaksanaan langkah-langkah PKPB, termasuk penamatan sekatan perjalanan dan pergerakan antara negeri pada 9 Disember.
- Keadaan yang bertambah baik ini dicatatkan oleh perdagangan borong yang hanya menurun sebanyak 0.02% (November: -0.5%), manakala kenderaan motor meningkat sebanyak 6.0% (November: 0.5%).
- Sementara itu, perdagangan runcit menurun pada kadar yang lebih kecil (-2.9%; November: -3.2%).
Pengembangan pembiayaan bersih yang lebih tinggi
- Pembiayaan bersih[2] berkembang sebanyak 4.5% dalam keadaan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (Januari: 3.8%, Disember: 3.4%), manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul berkurang sedikit kepada 6.3% (Disember: 6.5%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul mampan pada 4.9% (Disember: 5.0%) dengan pengeluaran terus mengatasi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini (Januari: RM28.8 bilion, purata bulanan 2017-19: RM27.8 bilion).
- Pinjaman perniagaan terkumpul meningkat 1.5% selepas mencatatkan pertumbuhan yang lebih rendah pada bulan Disember 2020[3]. Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh segmen PKS.
Prestasi pasaran kewangan domestik menurun pada bulan Januari
- Pada bulan Januari, prestasi pasaran kewangan domestik terjejas akibat gabungan faktor global dan dalam negeri.
- Pada peringkat global, pertambahan kadar hasil Perbendaharaan AS berikutan jangkaan kenaikan inflasi di AS telah mendorong peningkatan kadar hasil bon global dan pada masa yang sama menyokong pengukuhan dolar AS secara meluas. Kesannya, kadar hasil MGS 10-tahun meningkat sebanyak 5.4 mata asas dan ringgit menyusut nilai sebanyak 1.0% berbanding dengan dolar AS, yang sejajar dengan trend serantau.
- Pada peringkat dalam negeri, sentimen pelabur terjejas oleh pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat bagi menangani jangkitan COVID-19 yang semakin meningkat. Khususnya, kebimbangan mengenai kesan sekatan ini kepada perolehan korporat dalam negeri menjejaskan sentimen pasaran ekuiti. Akibatnya, FBM KLCI turun sebanyak 3.7% pada bulan itu.
Mudah tunai sistem perbankan terus menyokong pengantaraan kewangan
- Nisbah perlindungan mudah tunai (liquidity coverage ratio, LCR) sistem perbankan terus berada pada tahap yang kukuh, meskipun menurun sedikit pada bulan Januari 2021 (Disember 2020: 148.2%).
- Keadaan ini disokong oleh pemegangan sekuriti yang boleh dipasarkan dan penempatan deposit di bank-bank pusat yang lebih tinggi.
- Profil pendanaan institusi perbankan juga terus stabil berikutan pertumbuhan deposit yang berterusan.
Kualiti aset sistem perbankan kekal kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar meningkat sedikit kepada 1.60% pada bulan Januari 2021 (Disember 2020: 1.56%).
- Institusi perbankan terus mengambil langkah awal untuk mengenal pasti pinjaman yang mempunyai risiko kredit yang lebih tinggi dan menyediakan peruntukan tambahan terhadap potensi kerugian pada masa hadapan. Hal ini bertujuan untuk memastikan mereka terus berdaya tahan.
Lihat Juga:
Siaran akhbar [PDF]
-------------------
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan [IKP]).
[3] Kesan asas yang tinggi disebabkan oleh pengeluaran pinjaman bernilai besar dalam sektor perkilangan pada bulan Disember 2019.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.