Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Januari 2022

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Isnin, 28 Februari 2022
28 Feb 2022 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.3% pada bulan Januari 2022

  • Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.3% pada bulan Januari 2022 (Disember: 3.2%) disebabkan terutamanya oleh sumbangan daripada inflasi bahan api dan elektrik yang lebih rendah. Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh inflasi makanan dan minuman bukan alkohol yang lebih tinggi (3.6%; Disember 3.2%).
  • Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, meningkat kepada 1.6% (Disember 1.1%), didorong terutamanya oleh makanan di luar rumah serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan peribadi.

Pertumbuhan perdagangan borong dan runcit menjadi sederhana pada bulan Disember 2021

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) berkembang pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 0.6% pada bulan Disember 2021 (November: 2.4%). Pertumbuhan yang lebih perlahan ini dicatatkan di seluruh subkomponen.
  • Indeks ini menurun pada asas bulanan terlaras secara bermusim (-0.4%; November: 1.2%). Hal ini mencerminkan terutamanya aktiviti yang lebih perlahan dalam segmen runcit dalam keadaan peningkatan tekanan harga yang dihadapi oleh pengguna pada suku keempat tahun 2021.

Pertumbuhan pembiayaan bersih mampan berikutan sokongan daripada pemberian pinjaman bank yang berterusan

  • Pertumbuhan pembiayaan bersih mampan pada 4.8% pada bulan Januari 2022 apabila pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat (4.7%; Disember: 4.5%) dalam keadaan pertumbuhan bon korporat terkumpul yang menurun sedikit (5.0; Disember: 5.5%).
  • Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.7% (Disember: 4.3%) selaras dengan pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi (21.3%; Disember 7.4%) yang mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman (6.0%; Disember: 1.2%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul (5.3%; Disember: 5.0%) terus disokong oleh pinjaman modal kerja. Mengikut sektor, pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh sektor perkilangan serta sektor perdagangan borong dan runcit.

Pasaran kewangan didorong oleh jangkaan keadaan monetari global yang lebih ketat

  • Keadaan pasaran kewangan domestik menjadi ketat pada bulan Januari 2022 apabila kadar hasil MGS meningkat dan pasaran ekuiti domestik merosot. Hal ini didorong terutamanya oleh jangkaan yang lebih kukuh bahawa dasar monetari AS akan diperketat pada kadar yang lebih cepat dan seterusnya nilai dolar AS pada amnya akan bertambah kukuh.
  • Pada bulan Januari, walaupun ringgit menurun nilai sedikit, Malaysia terus mencatatkan portfolio aliran masuk bukan pemastautin ke pasaran ekuiti dan bon. Yang penting, walaupun dengan prestasi pasaran kewangan yang lebih lemah, pelarasan pasaran kewangan kekal teratur berikutan mudah tunai perdagangan yang mencukupi.

Permodalan sistem perbankan kekal kukuh

  • Bank-bank terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh bagi menghadapi tekanan yang mungkin berlaku dan terus menyokong aliran kredit dalam ekonomi.
  • Nisbah modal meningkat sedikit pada bulan Januari 2022 kerana mengambil kira keuntungan akhir tahun. Hal ini sebahagiannya diimbangi oleh pelarasan penilaian ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual.
  • Kapasiti bank-bank untuk menyerap kerugian kekal kukuh dengan lebihan penampan modal1 sebanyak RM131.9 bilion pada bulan Januari 2022.

Daya tahan bank-bank terus dipacu oleh kualiti aset yang mantap

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan masing-masing secara amnya kekal stabil pada 1.4% dan 0.9%.
  • Bank-bank terus menyediakan peruntukan tambahan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit. Jumlah peruntukan pada masa ini berada pada 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 130.5% daripada pinjaman terjejas.

 


1 Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.

 

Lihat Sorotan Bulanan [PDF]

 


Bank Negara Malaysia
28 Februari 2022

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?