Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Januari 2023

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Selasa, 28 Februari 2023
28 Feb 2023 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan berkurang kepada 3.7% pada bulan Januari

  • Inflasi keseluruhan berkurang kepada 3.7% pada bulan Januari (Disember 2022: 3.8%) disebabkan terutamanya oleh inflasi teras yang lebih rendah.
  • Inflasi teras[1] menurun kepada 3.9% pada bulan Januari (Disember 2022: 4.1%). Inflasi teras yang lebih rendah sebahagian besarnya mencerminkan inflasi yang lebih rendah dalam beberapa kategori perkhidmatan teras, seperti perkhidmatan telefon dan telefaks, pembaikan dan penyelenggaraan untuk pengangkutan peribadi, dan makanan di luar

Pertumbuhan yang teguh dalam semua kategori eksport

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) berkembang sebanyak 9.5% pada bulan Disember 2022 (November 2022: 9.8%). Pertumbuhan disokong oleh jualan barangan budi bicara (discretionary goods) yang lebih tinggi seperti pakaian, kasut, barang kemas dan barangan komestik serta keperluan di premis perniagaan seperti pasar raya, berbanding dengan bulan Disember 2021 ketika ekonomi baru dibuka semula.
  • Pada asas bulan ke bulan terlaras secara bermusim, IOWRT terus berkembang sedikit iaitu sebanyak 0.2% (November 2022: 1.2%).

Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3] pada bulan Januari sederhana

  • Kredit terkumpul kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 4.3% pada akhir bulan Januari 2023 (Disember 2022: 4.7%), dalam keadaan pertumbuhan pemberian kredit yang lebih perlahan kepada sektor perniagaan (3.3%; Disember 2022: 3.9%) dan isi rumah (5.2%; Disember 2022: 5.5%).
  • Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana kepada 2.0% (Disember 2022: 3.4%), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pembiayaan modal kerja yang lebih perlahan (1.5%; Disember 2022: 4.2%). Sementara itu, bon korporat terkumpul terus berkembang pada kadar yang lebih pantas (5.1%; Disember 2022: 4.6%).
  • Bagi sektor isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul menjadi sederhana sedikit apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman (21.4%) terus mengatasi pengeluaran pinjaman (9.2%).

Keadaan kewangan domestik reda berikutan jangkaan dasar monetari AS menjadi ketat telah berkurang serta sentimen risiko pelabur yang positif

  • Keadaan kewangan global menjadi reda dalam keadaan jangkaan bahawa Federal Reserve AS akan terus menaikkan kadar faedah dalam jumlah yang lebih kecil pada masa hadapan apabila inflasi menunjukkan tanda-tanda tentatif menjadi perlahan. Selain itu, pembukaan semula China dan jangkaan limpahan positif pembukaan semula ini kepada ekonomi global menyebabkan sentimen risiko pelabur bertambah baik.
  • Kesannya, keadaan kewangan domestik menjadi reda, dengan kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 27.0 mata asas (purata serantau[4]: -37.5 mata asas). Walau bagaimanapun, FBM KLCI menurun sedikit sebanyak 0.7% (purata serantau[4]: +4.2%) didorong terutamanya oleh sektor perladangan dan penjagaan kesihatan.
  • Ringgit menambah nilai sebanyak 3.2% berbanding dengan dolar AS, sejajar dengan penambahan menyeluruh nilai mata wang utama dan serantau[4] (purata: +3.3%) berbanding dengan dolar AS.

Bank-bank mengekalkan tahap permodalan yang kukuh bagi menyokong pemulihan ekonomi

  • Bank-bank terus mencatatkan kedudukan modal yang kukuh untuk menyokong aliran kredit kepada ekonomi, dengan lebihan penampan modal[5] sebanyak RM141.5 bilion.
  • Nisbah modal meningkat sedikit pada bulan Januari, didorong oleh peningkatan dalam perolehan tertahan dan terbitan instrumen modal yang baharu.

Bank-bank terus berdaya tahan dengan disokong oleh kualiti aset yang kukuh

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.7% dan 1.1%.
  • Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab kawal selia) kekal pada tahap berhemat iaitu 117.1% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.7% daripada jumlah pinjaman.

 

Sorotan Bulanan [PDF]


 

[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.

[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).

[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics (MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.

[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.

[5] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, serta meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.


Bank Negara Malaysia
28 Februari 2023

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?