Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Julai 2021

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Isnin, 30 Ogos 2021
30 Ogo 2021 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menurun kepada 2.2% pada bulan Julai

  • Inflasi keseluruhan menurun kepada 2.2% pada bulan Julai
    (Jun: 3.4%), mencerminkan inflasi yang lebih rendah masing-masing untuk pengangkutan serta perumahan dan utiliti.
  • Inflasi perumahan dan utiliti yang lebih rendah (Julai, tahun ke tahun: 0.7%; Jun: 3.2%) disebabkan terutamanya oleh pelaksanaan rebat tarif elektrik tiga bulan bermula bulan Julai 2021.
  • Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, kekal stabil pada 0.7%.

 

Pertumbuhan IPI sederhana pada 1.4% berikutan pelaksanaan PKP Penuh

  • IPI keseluruhan pada bulan Jun mencatatkan pertumbuhan yang sederhana sebanyak 1.4% apabila sekatan PKP Penuh mengehadkan aktiviti pengeluaran kepada sektor penting dan sektor yang terlibat dengan rantaian nilai global sahaja. Pengeluaran elektrik turut menurun berikutan permintaan yang lebih rendah semasa PKP Penuh. 
  • Walau bagaimanapun, pengeluaran perkilangan terus meningkat kerana      syarikat-syarikat membuat penyesuaian dengan menambah hari bekerja dan memulakan operasi kapasiti pengeluaran baharu, terutamanya dalam kalangan industri E&E dan industri berkaitan sumber terpilih.

 

Pertumbuhan pembiayaan bersih terus sederhana pada bulan Julai

  • Pertumbuhan pembiayaan bersih menjadi sederhana kepada 4.0% pada bulan Julai (Jun: 4.3%) disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul (Julai: 3.0%, Jun: 3.4%) dan pertumbuhan bon korporat terkumpul  (Julai: 6.5%, Jun: 6.9%) yang lebih rendah.
  • Pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 4.2% (Jun: 5.2%), dengan pertumbuhan menjadi sederhana merentas semua tujuan pinjaman berikutan langkah-langkah pembendungan dan sekatan pergerakan.
  • Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 1.3% (Jun: 0.9%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih tinggi (Julai: 2.5%, Jun: 1.6%).

 

Pasaran kewangan domestik terus dipengaruhi oleh perkembangan COVID-19

  • Pada bulan Julai, pasaran kewangan terjejas akibat kebimbangan berhubung dengan prospek pertumbuhan global dan dalam negeri berikutan penularan COVID-19 yang semakin meningkat.
  • Pada peringkat global, kebimbangan ini menyebabkan peningkatan permintaan terhadap aset yang lebih selamat, lantas menyumbang kepada penurunan kadar hasil Perbendaharaan AS (US Treasury) dan pengukuhan dolar AS secara keseluruhan. Sejajar dengan hal ini, kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 11.3 mata asas dan ringgit menurun nilai sebanyak 1.8% berbanding dengan dolar AS.
  • FBM KLCI juga menurun sebanyak 2.5% apabila sentimen pelabur terjejas akibat peningkatan jangkitan COVID-19 di dalam negeri dan pelaksanaan    langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat (PKP Penuh) di Kuala Lumpur dan Selangor. 

 

Kedudukan mudah tunai sistem perbankan terus menyokong aktiviti pengantaraan kewangan

  • Sistem perbankan terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai (liquidity coverage ratio,  LCR) terus utuh pada bulan Julai (Jun-21: 149.1%).
  • Profil pendanaan bank-bank kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit yang berterusan apabila individu, perniagaan dan institusi kewangan bukan bank terus menyediakan penampan wang tunai sebagai langkah berjaga-jaga.

 

Kualiti aset terus disokong oleh amalan pengurusan risiko bank-bank yang mantap

  • Nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan meningkat sedikit kepada 1.7% (Jun 2021: 1.6%), didorong oleh segmen isi rumah.
  • Bank-bank terus menyediakan peruntukan tambahan bagi potensi kerugian kredit, yang kini berada pada kadar 1.9% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
  • Bank-bank terus memberikan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan sementara dalam keadaan prospek risiko kredit yang terus mencabar.

 

Lihat juga:

Siaran Akhbar [PDF]

 

 


Bank Negara Malaysia
30 Ogos 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?