Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Julai 2022
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.4% pada bulan Julai
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 4.4% pada bulan Julai (Jun: 3.4%). Seperti yang dijangka, peningkatan ini mencerminkan sebahagian besar kesan asas daripada diskaun tarif elektrik yang dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2021 yang menyumbang 0.5 mata asas kepada inflasi keseluruhan. Makanan dan minuman bukan alkohol juga memberikan tekanan selanjutnya kepada inflasi yang meningkat sebanyak 6.9% pada bulan Julai.
- Inflasi teras[1] juga meningkat kepada 3.4% pada bulan Julai (Jun: 3.0%). Peningkatan mencerminkan sebahagian besar harga yang lebih tinggi bagi barangan budi bicara seperti makanan di luar rumah (7.8%). Hal ini disebabkan oleh permintaan yang bertambah baik berikutan persekitaran kos yang lebih tinggi.
Perdagangan Borong dan Runcit berkembang pada bulan Jun
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat sebanyak 35.8% pada bulan Jun 2022 (Mei: 14.7%). Peningkatan yang lebih tinggi didorong terutamanya oleh segmen kenderaan bermotor. Hal ini berdasarkan pembelian yang dipercepat sebelum tamat tempoh pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan pada 30 Jun serta asas yang rendah pada bulan Jun 2021 apabila bilik pameran kenderaan ditutup sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh.
- Pada asas bulanan terlaras secara bermusim, pertumbuhan terus menurun kepada -2.3% (Mei: -0.7%) berikutan peningkatan asas bulanan terlaras secara bermusim yang kukuh pada bulan April iaitu sebanyak 7.9%.
Pertumbuhan pembiayaan bersih terus meningkat
- Pembiayaan bersih[2] meningkat sebanyak 5.3% (Jun: 5.0%) didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pinjaman terkumpul (5.9%; Jun: 5.6%) dan bon korporat (3.7%; Jun: 3.4%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul adalah pada 6.1% apabila pertumbuhan pengeluaran pinjaman mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman. Tujuan aliran kredit kepada isi rumah sebahagian besarnya adalah untuk pembelian rumah dan kereta.
- Bagi sektor perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 5.8%, didorong terutamanya oleh pemberian pinjaman kepada PKS. Mengikut tujuan, pinjaman modal kerja terus merupakan pendorong utama meskipun pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman. Hal ini berkemungkinan mencerminkan bantuan bayaran balik pinjaman yang terus berkurang.
Kadar hasil bon 10 tahun menurun sejajar dengan kadar hasil bon global yang lebih rendah
- Keadaan pasaran kewangan global menjadi reda dengan ketara pada bulan Julai. Hal ini mencerminkan jangkaan pertumbuhan global yang lebih perlahan. Pelarasan pasaran kewangan domestik terus teratur dan turut disokong oleh jumlah dagangan yang kukuh.
- Kadar hasil MGS 10 tahun menurun sebanyak 38.0 mata asas seiring dengan kadar hasil US Treasury 10 tahun (-36.4 mata asas) dan kadar hasil bon serantau[3] lain (purata: -39.7 mata asas).
- FBM KLCI meningkat sebanyak 3.3% (purata serantau*: 2.5%), disokong oleh prospek pertumbuhan dalam negeri yang positif manakala ringgit menjadi lemah sebanyak 1.0% berbanding dengan dolar AS. Hal ini sejajar dengan pergerakan mata wang (purata: -0.6%) serantau.
Tahap permodalan institusi perbankan terus kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi
- Sistem perbankan terus mencatatkan kedudukan permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi.
- Nisbah modal sistem perbankan bertambah baik pada bulan Julai, didorong oleh pengiktirafan keuntungan dan perolehan penilaian separuh tahun ke atas instrument kewangan yang sedia untuk dijual apabila kadar hasil bon menurun sedikit.
- Pada akhir bulan Julai 2022, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal[4] sebanyak RM129.6 billion.
Daya tahan institusi perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan meningkat sedikit masing-masing kepada 1.85% (Jun: 1.78%) dan 1.2% (Jun: 1.1%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat iaitu 112.8% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman.
- Setakat akhir bulan Julai 2022, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan sebanyak RM 41.1 billion.
Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)) dan bon korporat terkumpul. Data pinjaman terkumpul bagi bulan Julai 2022 adalah berdasarkan data pinjaman/pembiayaan baharu yang mencerminkan keperluan terkini. Angka-angka tidak semestinya terjumlah disebabkan oleh penggenapan.
[3] Negara serantau termasuk Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea
[4] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.