Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Julai 2023
Inflasi keseluruhan terus sederhana kepada 2.0% pada bulan Julai
- Inflasi keseluruhan menurun kepada 2.0% (Jun 2023: 2.4%) sejajar dengan kenaikan harga bulanan yang mereda.
- Penurunan ini didorong oleh inflasi teras[1] yang lebih rendah pada 2.8% (Jun 2023: 3.1%) disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah untuk makanan di luar rumah dan perkhidmatan mengikut budi bicara yang terpilih.
Pengeluaran perkilangan menguncup sebanyak 1.6% pada bulan Jun
- IPI perkilangan menguncup sebanyak 1.6% pada bulan Jun 2023 berbanding setahun lalu. disebabkan oleh pengeluaran produk elektrik dan elektronik (electrical and electronic, E&E) dan produk petroleum bertapis yang lebih lemah, masing-masing berikutan kemerosotan kitaran teknologi global dan penurunan pengeluaran perlombongan.
- Walau bagaimanapun, pengeluaran dalam kelompok berorientasikan dalam negeri kekal berdaya tahan, mencerminkan terutamanya pertumbuhan berterusan dalam makanan, minuman dan tembakau, logam dan produk bukan logam serta kelengkapan pengangkutan.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3] mampan pada bulan Julai
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 3.8% pada akhir bulan Julai (Jun 2023: 3.8%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang berterusan dalam segmen isi rumah.
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.2% (Jun 2023: 0.7%), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih sederhana dalam kalangan bukan PKS. Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman terkumpul kepada PKS masih menggalakkan (6.7%; Jun 2023: 6.4%). Selain itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul terus meningkat (5.2%; Jun 2023: 4.9%), apabila pertumbuhan terbitan bon mengatasi pertumbuhan penebusannya.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul mampan pada 5.2% (Jun 2023: 5.1%), dengan pertumbuhan yang stabil dicatatkan pada kebanyakan tujuan pinjaman. Hal ini mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam permohonan pinjaman isi rumah, terutamanya untuk pembelian rumah, kereta dan kegunaan peribadi.
Pasaran kewangan domestik sebahagian besarnya dipengaruhi oleh jangkaan pelabur terhadap kitaran kadar dasar AS
- Perkembangan pasaran kewangan domestik didorong terutamanya oleh jangkaan pasaran kewangan bahawa kitaran pengetatan dasar monetari oleh Federal Reserve AS hampir berakhir selepas kenaikan kadar dasar pada mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC) bulan Julai.
- Nilai ringgit meningkat sebanyak 3.1% berbanding dengan dolar AS, iaitu lebih tinggi daripada purata serantau[4] sebanyak 1.9%. Kadar hasil MGS 10 tahun menurun sedikit sebanyak 1 mata asas. FBM KLCI juga meningkat sebanyak 6.0% (purata serantau[4]: 3.5%).
Permodalan sistem perbankan kekal kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi
- Sistem perbankan terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan menyediakan kredit untuk menyokong kegiatan ekonomi.
- Lebihan penampan modal sistem perbankan[5] adalah kukuh pada RM142.0 bilion.
Institusi perbankan mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan agregat Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 154.8% (Jun 2023: 154.3%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana sebahagian besarnya kekal stabil pada 82.0% (Jun 2023: 81.6%).
Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
[5] Merujuk jumlah modal melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.