Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Jun 2021
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 30 Julai 2021
30 Jul 2021
Siaran Akhbar
Inflasi keseluruhan menurun kepada 3.4% pada bulan Jun
- Inflasi keseluruhan menurun kepada 3.4% pada bulan Jun (Mei: 4.4%), disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori pengangkutan serta makanan dan minuman bukan alkohol.
- Inflasi pengangkutan yang lebih rendah (Jun tahun ke tahun: 16.6%; Mei: 26%) mencerminkan kesan asas yang makin reda dan dijangka terus berkurang dalam tempoh terdekat.
- Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, menurun sedikit kepada 0.7% (Mei: 0.8%).
- Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, secara relatif stabil pada 0.8% (April: 0.7%).
Pertumbuhan eksport utuh pada bulan Jun
- Pertumbuhan eksport menjadi sederhana tetapi kekal utuh pada 27.2% (Mei: 47.0%), mencerminkan kekukuhan yang menyeluruh bagi produk dan pasaran.
- Pada masa hadapan, prestasi eksport akan terus disokong oleh permintaan luaran yang kembali pulih dan peningkatan teknologi global yang berterusan.
- Di samping itu, permintaan yang kukuh terhadap produk perkilangan bukan E&E dan harga komoditi yang lebih tinggi akan terus mendorong pertumbuhan eksport. Walaupun begitu, prospek perdagangan terus bergantung pada keadaan pandemik COVID-19.
Pertumbuhan pembiayaan bersih menjadi sederhana pada bulan Jun
- Pertumbuhan pembiayaan bersih menjadi sederhana kepada 4.3% pada bulan Jun (Mei: 4.8%), mencerminkan penurunan dalam pertumbuhan pinjaman terkumpul (Jun: 3.4%, Mei: 3.9%) dan pertumbuhan bon korporat terkumpul (Jun: 6.9%, Mei: 7.2%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul menjadi sederhana kepada 5.2% (Mei: 6.1%) berikutan penurunan pengeluaran pinjaman terutamanya untuk pembelian kereta penumpang, harta kediaman dan kad kredit.
- Walau bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul meningkat kepada 0.9% (Mei: 0.4%) mencerminkan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih kukuh (Jun: 1.6%, Mei: 0.4%).
Pasaran kewangan domestik terjejas akibat faktor dalam negeri dan luaran pada bulan Jun
- Pada bulan Jun, pasaran kewangan domestik dipengaruhi oleh faktor dalam negeri dan luaran. Sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik di rantau ini. Pelaksanaan langkah-langkah pembendungan selanjutnya yang lebih ketat berikutan peningkatan kes COVID-19 dalam negeri menyebabkan kebimbangan yang berterusan terhadap prospek ekonomi dan peningkatan penghindaran risiko terhadap aset kewangan domestik.
- Kesannya, FBM KLCI merosot sebanyak 3.2% dan ringgit menyusut nilai sebanyak 0.4% berbanding dengan dolar AS. Peningkatan jangkaan bahawa dasar monetari di AS akan menjadi semakin ketat juga telah menyebabkan pengukuhan dolar AS secara meluas.
- Hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 4.7 mata asas disebabkan sebahagiannya oleh jangkaan terbitan bon yang lebih tinggi susulan pengumuman sokongan fiskal tambahan apabila kes COVID-19 dalam negeri meningkat pada suku kedua 2021.
Kedudukan mudah tunai sistem perbankan kekal kukuh untuk menyokong pengantaraan kewangan
- Sistem perbankan terus mencatatkan tahap nisbah perlindungan mudah tunai (Liquidity Coverage Ratio, LCR) yang kukuh.
- Profil pendanaan bank-bank juga kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit yang mampan.
Amalan pengurusan risiko yang mantap oleh bank-bank akan menyokong kualiti aset pada masa hadapan
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih secara keseluruhan kekal tidak berubah masing-masing pada 1.6% dan 1.0%, dalam keadaan jejas nilai bulanan yang meningkat sedikit.
- Nisbah pinjaman terjejas dijangka kekal stabil secara meluas dalam tempoh terdekat apabila bank terus memberikan bantuan bayaran balik pinjaman untuk peminjam yang berdaya maju bagi menghadapi kesukaran kewangan yang sementara.
- Walau bagaimanapun, institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan bagi potensi kerugian kredit, yang kini berada pada kadar 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
Lihat juga:
Siaran Akhbar [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!