Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Jun 2022
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 29 Julai 2022
29 Jul 2022
Siaran Akhbar
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.4% pada bulan Jun
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 3.4% (Mei: 2.8%), mencerminkan terutamanya inflasi teras yang lebih tinggi (3.0%; Mei: 2.4%). Kenaikan ini disumbangkan terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan di luar rumah, perbelanjaan di restoran dan kafe serta pembaikan dan penyelenggaraan pengangkutan persendirian.
- Peningkatan yang secara relatif mendadak ini mencerminkan tekanan harga yang lebih tinggi berikutan konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine, keadaan cuaca buruk di negara pengeksport makanan utama, dolar AS yang lebih kukuh dan permintaan dalam negeri yang bertambah baik.
- Walau bagaimanapun, inflasi keseluruhan dijangka kekal dalam julat unjuran 2.2% hingga 3.2% untuk tahun itu.
Pertumbuhan eksport kukuh pada bulan Jun
- Eksport mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 38.8% (Mei: 30.4%) kepada RM146.2 bilion, iaitu paras eksport tertinggi yang pernah dicatatkan.
- Keadaan ini mencerminkan produk eksport Malaysia yang terus kukuh, didorong oleh permintaan global yang utuh terhadap eksport perkilangan serta harga komoditi yang tinggi.
- Pada masa hadapan, pertumbuhan eksport dijangka terus disokong oleh permintaan luaran yang berterusan terhadap semikonduktor, meskipun pada kadar yang sederhana berikutan pertumbuhan global yang lebih perlahan.
Pengembangan pembiayaan bersih yang lebih tinggi
- Pembiayaan bersih meningkat sebanyak 5.0% (Mei: 4.5%) didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pinjaman terkumpul (5.6%; Mei: 5.0%) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul kekal tidak berubah pada 3.4%.
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat merentas semua tujuan pinjaman (5.9%; Mei: 5.0%) mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi dalam pengeluaran pinjaman, terutamanya untuk kereta dan rumah.
- Bagi perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat pada 5.8% (Mei: 5.4%), apabila pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman (23.0%; Mei: 20.8%) mengatasi pertumbuhan bayaran balik pinjaman (20.0%; Mei: 23.6%). Mengikut sektor, pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi mencerminkan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perdagangan borong dan runcit, serta pengangkutan, penyimpanan dan komunikasi.
Keadaan pasaran kewangan domestik menjadi ketat berikutan kenaikan kadar faedah AS secara mendadak
- Pada bulan Jun, keadaan pasaran kewangan global menjadi ketat susulan kenaikan 75 mata asas dalam kadar dana persekutuan AS berikutan tekanan inflasi AS yang tinggi. Kenaikan ini merupakan yang terbesar sejak tahun 1994. Hal ini seterusnya telah menimbulkan kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi AS dan global.
- Pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur dalam keadaan prospek pemulihan ekonomi yang positif.
- Berikutan aliran keluar portfolio asing daripada pasaran bon domestik, kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 9.0 mata asas, iaitu peningkatan yang lebih kecil berbanding dengan kadar hasil bon serantau (purata: 21.5 mata asas).
- Ringgit menyusut nilai sebanyak 0.7% (purata serantau: -3.1%) pada bulan Jun berikutan kekukuhan dolar AS secara menyeluruh, manakala FBM KLCI merosot sebanyak 8.0% (purata serantau: -7.1%).
Kedudukan mudah tunai dan pendanaan bank-bank terus menyokong aktiviti pengantaraan
- Sistem perbankan terus mencatatkan kedudukan mudah tunai yang baik, dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai agregat pada 148.4%.
- Sumber pembiayaan bank-bank kekal stabil dan menyokong pengantaraan kredit dalam ekonomi berikutan pertumbuhan deposit yang mampan.
- Nisbah pinjaman kepada dana kekal stabil pada 81.8%.
Kualiti aset sistem perbankan kekal tidak berubah
- Nisbah pinjaman terjejas kasar keseluruhan meningkat sedikit kepada 1.7% (Mei: 1.6%), namun nisbah pinjaman terjejas bersih secara amnya kekal tidak berubah pada 1.0%.
- Bank-bank terus membuat peruntukan pinjaman secara berhemat untuk menjadi penampan terhadap potensi kerugian kredit, dengan jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan berjumlah RM41.1 bilion (Mei: RM40.7 bilion).
- Jumlah peruntukan berada pada 1.8% sebagai bahagian daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 108.5% daripada pinjaman terjejas.
Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!