Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Jun 2023
Inflasi keseluruhan terus menurun kepada 2.4% pada bulan Jun
- Inflasi keseluruhan menurun kepada 2.4% (Mei 2023: 2.8%). Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh inflasi yang lebih rendah bagi komponen IHP teras (-0.3 mata peratusan) dan bahan api (-0.1 mata peratusan).
- Inflasi teras[1] yang sederhana (Jun 2023: 3.1%; Mei 2023: 3.5%) disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah bagi beberapa perkhidmatan mengikut budi bicara, terutamanya makanan di luar rumah.
Eksport menurun pada bulan Jun
- Eksport menguncup sebanyak 14.1% pada bulan Jun 2023 (Mei 2023: -0.9%), mencerminkan permintaan luaran yang lebih lemah, penurunan harga komoditi dan kesan asas yang tinggi daripada tahun 2022.
- Pertumbuhan eksport perkilangan terjejas disebabkan terutamanya oleh produk petroleum dan produk berasaskan minyak sawit. Eksport komoditi menurun berikutan penghantaran minyak sawit, LNG dan petroleum mentah yang lebih rendah.
Pertumbuhan kredit mampan pada bulan Jun meskipun pertumbuhan pinjaman perniagaan lebih perlahan
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3] secara umumnya mampan (3.9%; Mei 2023: 4.0%) meskipun pertumbuhan kredit kepada perniagaan adalah lebih perlahan (2.6%; Mei 2023: 2.8%).
- Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana kepada 1.0% (Mei 2023: 1.6%), berikutan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lebih perlahan dalam kalangan syarikat bukan PKS. Walau bagaimanapun, pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat sedikit kepada 4.9% (Mei 2023: 4.6%).
- Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul tidak berubah pada 5.1%, dengan pertumbuhan yang mampan merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Namun begitu, permohonan pinjaman mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan khususnya untuk pembelian rumah dan kegunaan peribadi. Hal ini sebahagiannya disebabkan oleh kesan asas yang tinggi berikutan peningkatan kukuh pada bulan Jun 2022.
Pasaran kewangan domestik terus didorong terutamanya oleh faktor luaran
- Sentimen kewangan global terjejas disebabkan oleh kebimbangan berhubung dengan prospek pertumbuhan global berikutan pemulihan ekonomi di China yang lebih lemah daripada jangkaan. Kebimbangan ini semakin bertambah disebabkan oleh kegiatan ekonomi yang lebih perlahan di Eropah dan perolehan korporat yang lemah.
- Ringgit menurun nilai sebanyak 1.3% berbanding dengan dolar AS (purata serantau[4]: -0.1%) manakala FBM KLCI menyusut sebanyak 0.8% (purata serantau5: -0.1%) pada bulan Jun.
- Sementara itu, selaras dengan kadar hasil bon global, kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 15 mata asas. Peningkatan ini berikutan terdapatnya tanda-tanda pendirian dasar monetari Federal Reserve AS yang lebih ketat pada masa hadapan.
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong pengantaraan
- Bank-bank terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai pada 155.3% (Mei 2023: 151.0%).
- Agregat nisbah pinjaman kepada dana secara umum kekal stabil pada 81.6% (Mei 2023: 81.8%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal utuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara umum kekal tidak berubah masing-masing pada 1.75% (Mei 2023: 1.80%) dan 1.09% (Mei 2023: 1.10%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) terus berada pada paras berhemat pada 116.2% daripada pinjaman terjejas dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.6% daripada jumlah pinjaman.
Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
[4] Negara serantau terdiri daripada Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.