Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Mac 2021
Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Jumaat, 30 April 2021
30 Apr 2021
Siaran Akhbar
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.7% pada bulan Mac
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.7% pada bulan Mac (Februari: 0.1%).
- Penyumbang utama kepada inflasi keseluruhan yang lebih tinggi ini ialah kesan asas daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada tempoh yang sama tahun lepas (harga petrol RON95: Mac 2021: RM2.05/liter;
Mac 2020: RM1.74/liter). Kesan asas ini dijangka kekal pada suku kedua tahun 2021 dan mereda selepas itu. - Inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras kekal stabil pada 0.7%.
IPI yang lebih tinggi pada bulan Februari didorong oleh perkilangan
- IPI keseluruhan meningkat sedikit pada bulan Februari kepada 1.5%
(Januari: 1.2%), apabila peningkatan pengeluaran perkilangan lebih daripada mengimbangi penguncupan seterusnya dalam pengeluaran perlombongan dan penjanaan elektrik. - Industri E&E mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 10.3%
(Januari: 7.9%) dipacu oleh permintaan global daripada peningkatan kitaran teknologi. Aktiviti perkilangan juga disokong oleh segmen penjagaan kesihatan, iaitu keluaran berasaskan getah dan farmaseutikal.
Pertumbuhan pembiayaan bersih berterusan
- Pembiayaan bersih berkembang sebanyak 4.5% mencerminkan peningkatan pertumbuhan bon korporat terkumpul (Mac: 5.9%, Februari: 4.5%) dan pertumbuhan pinjaman terkumpul (Mac: 3.9%, Februari: 3.7%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 5.7%
(Februari: 5.1%). Pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan oleh pembelian kereta dan harga tanah kediaman. - Bagi sektor perniagaan, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 1.1% (Februari: 1.0%). Pada bulan Mac, pengeluaran pinjaman dan pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan merentas kebanyakan sektor dan tujuan.
Pasaran kewangan domestik terjejas terutamanya oleh perkembangan luaran
- Pada bulan Mac, pasaran kewangan domestik terjejas akibat faktor luaran disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam kadar hasil perbendaharaan AS jangka panjang. Kadar hasil ini mencecah paras tertinggi bagi tahun 2021 pada akhir bulan Mac berikutan jangkaan pertumbuhan dan inflasi yang lebih tinggi di AS.
- Kesannya, dolar AS turut bertambah kukuh. Hal ini menyebabkan mata wang negara maju dan pasaran sedang pesat membangun lain secara keseluruhan menjadi lemah berbanding dengan dolar AS. Pada bulan tersebut, ringgit menyusut nilai sebanyak 2.6% berbanding dengan dolar AS sementara kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 18.3 mata asas.
- FBM KLCI merosot sebanyak 0.3% apabila kadar hasil bon meningkat dengan ketara dan sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian yang berlarutan berhubung dengan perkembangan pandemik pada peringkat global dan jangkaan bahawa dasar monetari AS akan bertambah ketat dengan lebih pantas.
Mudah tunai sistem perbankan lebih daripada mencukupi berikutan keadaan pendanaan yang stabil
- Sistem perbankan terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai (liquidity coverage ratio, LCR) kekal teguh pada bulan Mac 2021 (Februari: 147.1%).
- Profil pendanaan institusi perbankan juga kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit runcit yang terus kukuh.
Amalan pengurusan risiko yang mantap oleh institusi perbankan akan menyokong kualiti aset pada tempoh yang akan datang
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara umumnya mampan masing-masing pada 1.6% dan 1.0%.
- Institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan bagi menghadapi potensi kerugian kredit, yang kini berada pada kadar 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
Lihat juga:
Siaran Akhbar [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.
Terima kasih atas maklum balas anda!