Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Mac 2022
Inflasi keseluruhan kekal stabil pada 2.2% pada bulan Mac
- Inflasi keseluruhan tidak berubah pada 2.2% (Februari: 2.2%), mencerminkan terutamanya inflasi bahan api yang lebih rendah yang diimbangi oleh inflasi teras yang lebih tinggi.
- Inflasi teras[1] adalah lebih tinggi, iaitu pada 2.0% (Februari: 1.8%), disebabkan oleh inflasi yang lebih tinggi bagi makanan di luar rumah, barang kemas dan perkhidmatan lain untuk peralatan pengangkutan persendirian.
Perdagangan Borong dan Runcit berkembang pada bulan Februari
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (IOWRT) meningkat sebanyak 3.8% pada bulan Februari 2022 (Januari: 3.4%). Pertumbuhan yang lebih tinggi ini didorong terutamanya oleh segmen runcit. Peningkatan dalam segmen runcit adalah meluas merentas kebanyakan komponen, kecuali jualan runcit bagi peralatan maklumat & komunikasi (-3.2%; Januari: -0.8%)
- Pada asas bulanan terlaras secara bermusim, pertumbuhan meningkat dengan pantas kepada 4.9% (Januari: 1.3%). Hal ini berikutan pembukaan semula ekonomi dan keadaan pasaran buruh yang lebih baik, yang telah memberikan sokongan kepada perbelanjaan isi rumah.
Pertumbuhan pembiayaan bersih[2] menjadi sederhana sedikit pada bulan Mac
- Pembiayaan bersih meningkat sebanyak 4.6%, dalam keadaan pertumbuhan yang lebih rendah dalam bon korporat terkumpul (4.6%; Februari: 5.0%)
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul lebih kukuh, iaitu pada 4.9% (Februari: 4.7%), mencerminkan pertumbuhan merentas semua tujuan pinjaman, apabila pertumbuhan pengeluaran pinjaman meningkat (10.2%; Februari: 3.1%).
- Bagi sektor perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul adalah lebih rendah (4.5%; Februari: 5.5%) berikutan pertumbuhan pembiayaan modal kerja yang lebih rendah. Namun begitu, pertumbuhan dalam pengeluaran pinjaman modal kerja kekal kukuh (12.4%; Februari: 19.8%; purata 2017-19: 4.8%), walaupun terdapat beberapa kesan asas daripada pengeluaran yang lebih tinggi pada bulan Mac 2021.
Pasaran kewangan domestik didorong oleh keadaan kewangan global yang lebih ketat dan perkembangan geopolitik
- Pada bulan Mac, sentimen pasaran kewangan global terjejas akibat haluan dasar monetari yang kembali ke paras yang wajar lebih cepat daripada jangkaan oleh US Federal Reserve dan konflik di Ukraine. Nilai dolar AS secara amnya kukuh pada bulan itu turut mengakibatkan ringgit menurun nilai sedikit.
- Keadaan pasaran kewangan domestik menjadi ketat, berikutan peningkatan dalam kadar hasil MGS 10 tahun sebanyak 20.6 mata asas, dan penurunan dalam FBM KLCI sebanyak 1.3%.
- Walaupun prestasi pasaran kewangan lebih lemah, pelarasan kekal teratur berikutan mudah tunai dagangan yang mencukupi.
Sistem perbankan kekal pada kedudukan yang baik untuk menyokong pemulihan ekonomi
- Bank mengekalkan tahap permodalan yang kukuh, dengan lebihan penampan modal[3] sebanyak RM125.5 bilion pada bulan Mac 2022.
- Nisbah modal menurun sedikit, didorong terutamanya oleh pelarasan penilaian ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual dalam keadaan peningkatan hasil bon.
Daya tahan bank terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal stabil masing-masing pada 1.5% dan 0.9%.
- Bank-bank terus mengamalkan sikap berhemat apabila tahap peruntukan bank-bank kekal tinggi, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) sebanyak 133% (purata 2020-2021: 129%).
- Jumlah peruntukan susut sedikit kepada 1.8%, sebagai sebahagian daripada jumlah pinjaman sistem perbankan (Februari: 1.9%).
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)) dan bon korporat terkumpul.
[3] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi
Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.