Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Mac 2023
Inflasi keseluruhan berkurang kepada 3.4% pada bulan Mac
- Inflasi keseluruhan berkurang kepada 3.4% pada bulan Mac (Februari: 3.7%) disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah bagi bahan api, tambang penerbangan dan barangan makanan terpilih. Keadaan ini sejajar dengan penurunan harga komoditi global.
- Inflasi teras[1] menurun sedikit kepada 3.8% pada bulan Mac (Februari: 3.9%), didorong sebahagian besarnya oleh inflasi yang lebih rendah untuk makanan di luar rumah.
Pertumbuhan mantap nilai indeks didorong oleh indeks runcit dan kenderaan motor
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) berkembang sebanyak 10.6% pada bulan Februari 2023 (Januari: 8.5%).
- Pertumbuhan yang lebih tinggi ini disokong terutamanya oleh jualan runcit di kedai bukan khusus (contohnya, gedung serbaneka) disusuli dengan pembelian kenderaan motor yang terus teguh berikutan pesanan tertunggak yang terus dipenuhi.
- Pada asas bulan ke bulan terlaras secara bermusim, IOWRT melonjak sebanyak 5.5% (Januari: 0.2%).
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[2],[3]pada bulan Mac sederhana
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat sebanyak 4.2% pada akhir bulan Mac (Februari: 4.5%) yang disebabkan oleh pertumbuhan pemberian kredit kepada perniagaan yang lebih perlahan (3.2%; Februari: 3.7%).
- Walaupun pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana (4.4%; Februari: 5.5%), pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul kekal pada 2.4% (Februari: 2.4%). Hal ini disokong oleh pertumbuhan yang berterusan dalam pinjaman modal kerja (2.2%; Februari: 1.9%) dan pinjaman berkaitan pelaburan (4.3%; Februari: 4.2%).
- Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul secara amnya kekal stabil (5.2%; Februari: 5.3%), disokong oleh pertumbuhan pinjaman untuk pembelian kereta (8.7%; Februari: 7.6%). Hal ini dalam keadaan pertumbuhan pinjaman yang lebih rendah untuk pembelian sekuriti
(-6.9%; Februari: -3.3%).
Keadaan pasaran kewangan domestik kekal teratur
- Pada bulan Mac, pasaran kewangan global terjejas oleh kewujudan tekanan sektor perbankan di beberapa ekonomi utama. Berikutan limpahan dapat dibendung setakat ini disebabkan oleh tindakan awal pihak berkuasa, kesanggupan pelabur mengambil risiko telah meningkat berhubung dengan mata wang dan bon di pasaran sedang pesat membangun.
- Selaras dengan prestasi mata wang serantau, ringgit menambah nilai sebanyak 1.7% berbanding dengan dolar AS. Keadaan pasaran bon domestik juga kekal stabil.
- FBM KLCI menurun sebanyak 2.2% pada bulan Mac.
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong aktiviti pengantaraan
- Bank-bank terus mencatatkan kedudukan penampan mudah tunai yang utuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai agregat pada 157.4% (Februari: 152.7%).
- Nisbah pinjaman kepada dana agregat kekal stabil pada 81.9% (Februari: 81.6%).
Kualiti aset sistem perbankan kekal baik
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan meningkat sedikit, masing-masing kepada 1.8% (Februari: 1.8%) dan 1.2% (Februari: 1.1%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat sebanyak 110.5% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.7% daripada jumlah pinjaman.
Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[3] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.