Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Mei 2021

Embargo : Tidak boleh disiarkan atau dicetak sebelum jam 1500 pada Rabu, 30 Jun 2021
30 Jun 2021 Siaran Akhbar

Inflasi keseluruhan menurun kepada 4.4% pada bulan Mei

  • Inflasi keseluruhan menurun kepada 4.4% pada bulan Mei (April: 4.7%), disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih rendah dalam kategori makanan dan minuman bukan alkohol dan kategori pengangkutan.
  • Inflasi keseluruhan secara relatif kekal tinggi pada bulan itu, mencerminkan asas yang rendah daripada harga bahan api pada tahun lalu (harga petrol RON95 pada bulan Mei 2021: RM 2.05/liter; Mei 2020: RM1.30/liter). Pada tempoh jangka pendek, inflasi keseluruhan dijangka menurun lagi apabila kesan asas ini reda.
  • Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras[1], secara relatif stabil pada 0.8% (April: 0.7%).

Pertumbuhan IOWRT meningkat dengan mendadak pada bulan April

  • Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) meningkat dengan mendadak sebanyak 71.5% pada bulan April 2021 (Mac: 9.0%), mencerminkan terutamanya asas yang rendah berikutan pelaksanaan PKP 1.0 pada tempoh yang sama tahun 2020.
  • Kegiatan ekonomi terus pulih secara menyeluruh mulai bulan Mac 2021. Pada asas bulanan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan melonjak sebanyak 5.1% (Mac: -1.7%).

Pembiayaan bersih pada amnya mampan

  • Pertumbuhan pembiayaan bersih[2] secara amnya mampan (Mei: 4.8%, April: 4.9%) mencerminkan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang stabil (Mei, April: 3.9%) dalam keadaan pertumbuhan bon korporat yang sederhana (Mei: 7.2%, April: 7.7%).
  • Pinjaman isi rumah terkumpul mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.1% (April: 6.2%). Walau bagaimanapun, pengeluaran pinjaman dan bayaran balik pinjaman menurun bagi kebanyakan tujuan. Hal ini sebahagiannya mencerminkan pelaksanaan PKP 3.0.
  • Bagi perniagaan, pertumbuhan pinjaman terkumpul kekal mampan pada 0.4% (April: 0.4%) dalam keadaan pertumbuhan pinjaman modal kerja yang lembap.

 

Pasaran kewangan domestik terjejas akibat faktor dalam negeri dan faktor luaran pada bulan Mei

  • Pada bulan Mei, pasaran kewangan domestik terjejas akibat faktor dalam negeri dan faktor luaran. Sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian berhubung dengan perkembangan pandemik di rantau ini. Pelaksanaan langkah-langkah pembendungan yang lebih ketat ekoran peningkatan kes COVID-19 dalam negeri mendorong kepada kebimbangan yang berlanjutan terhadap prospek ekonomi dan aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi terhadap aset kewangan domestik.
  • Akibatnya, FBM KLCI merosot sebanyak 1.1% dan ringgit menyusut nilai sebanyak 0.8% berbanding dengan dolar AS.
  • Kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 9.0 mata asas didorong oleh jangkaan peningkatan rangsangan fiskal dalam negeri untuk menyokong kegiatan ekonomi. Selain itu, tanda-tanda inflasi akan menjadi lebih tinggi dan perbincangan yang akan diadakan oleh Federal Reserve AS untuk mengurangkan pembelian aset menyebabkan peningkatan dalam kadar hasil Perbendaharaan AS jangka panjang. Peningkatan ini memberikan kesan limpahan kepada kadar hasil dalam ekonomi pasaran sedang pesat membangun termasuk Malaysia.

Permodalan sistem perbankan kekal kukuh

  • Institusi perbankan terus mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk berhadapan dengan tekanan yang mungkin berlaku serta meneruskan perantaraan kredit dalam ekonomi.
  • Meskipun nisbah modal menurun sedikit, lebihan penampan modal[3] bank kekal kukuh pada RM119.9 bilion pada bulan Mei 2021.

 

Kualiti aset dalam sistem perbankan kekal utuh

  • Institusi perbankan terus menawarkan bantuan bayaran balik pinjaman kepada peminjam berdaya maju yang menghadapi kesukaran kewangan.
  • Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan pada amnya kekal stabil masing-masing pada 1.6% dan 1.0%.
  • Jumlah peruntukan yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan kerugian kredit berada pada 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.

 

Lihat juga:

Siaran Akhbar [PDF]

 

[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya tidak ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai. Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia dan anggaran Bank Negara Malaysia

[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)). Sumber: Bank Negara Malaysia

[3] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, serta meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi


Bank Negara Malaysia
30 Jun 2021

© 2026 Bank Negara Malaysia. Hak Cipta Terpelihara.

Kongsi halaman ini

Adakah halaman ini membantu ?