Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Mei 2022
Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.8% pada bulan Mei
- Inflasi keseluruhan meningkat kepada 2.8% (April: 2.3%), mencerminkan aliran inflasi teras[1] yang terus menaik sejajar dengan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan.
- Seperti yang dijangka, inflasi teras lebih tinggi pada 2.4% (April: 2.1%) disebabkan terutamanya oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan di luar rumah dan makanan di rumah, sewaan serta pembaikan dan penyelenggaraan untuk pengangkutan persendirian.
- Peningkatan ini berikutan input makanan import yang lebih mahal disebabkan terutamanya oleh peperangan di Ukraine dan keadaan cuaca buruk, peningkatan permintaan semasa musim perayaan serta pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia.
Pengeluaran perkilangan terus kukuh pada April 2022
- IPI perkilangan terus berkembang pada April 2022 melebihi purata jangka panjang pada 6.2% (purata 2011-2019: 4.8%).
- Pertumbuhan didorong terutamanya oleh kelompok E&E yang mencatatkan pertumbuhan dua angka untuk bulan ke-8 berturut-turut sejak September 2021 berikutan permintaan yang kukuh di seluruh dunia.
- Kelompok berkaitan pengguna, khususnya pengeluaran kenderaan bermotor, juga menyokong pertumbuhan apabila pengeluar memenuhi pesanan tertunggak selepas PKP.
Pertumbuhan pembiayaan bersih menurun sedikit
- Pertumbuhan pembiayaan bersih[2] menurun sedikit kepada 4.5%
(April: 4.6%), disebabkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan dalam bon korporat terkumpul (3.4%; April: 3.7%), manakala pertumbuhan pinjaman terkumpul mampan pada 5.0%. - Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman terkumpul adalah lebih tinggi sedikit (5.0%; April: 4.9%). Hal ini mencerminkan pertumbuhan pengeluaran pinjaman yang kukuh (17.8%; April: 10.8%) dan pertumbuhan bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi (9.1%; April: 8.5%).
- Pinjaman perniagaan terkumpul mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan (5.4%; April: 5.7%), apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman. Walaupun pertumbuhan pengeluaran pinjaman menjadi sederhana bagi kebanyakan tujuan, namun kekal tinggi (20.8%; April: 37.2%;
purata 2017-19: 5.0%).
Pelarasan dalam pasaran kewangan domestik kekal teratur
- Keadaan kewangan global menjadi ketat dengan ketara disebabkan oleh jangkaan kenaikan kadar dasar yang lebih cepat dan besar oleh ekonomi maju, terutamanya di AS, berikutan tekanan inflasi yang lebih tinggi dan lebih berpanjangan. Walau bagaimanapun, pelarasan pasaran kewangan domestik kekal teratur.
- Khususnya, kadar hasil 10 tahun MGS menurun sebanyak 21.0 mata asas pada bulan Mei, disokong oleh aliran masuk portfolio asing ke dalam pasaran bon domestik. Sebaliknya, kadar hasil bon serantau meningkat sebanyak purata 24.5 mata asas.
- Nilai ringgit menurun sedikit iaitu 0.4% pada bulan Mei sementara
FBM KCLI menurun sebanyak 1.9%, sejajar dengan ekuiti serantau[3] (antara -0.2% hingga -3.7%) disebabkan oleh penghindaran risiko pelabur berikutan sekatan pergerakan di China.
Bank-bank mengekalkan tahap permodalan yang kukuh untuk menyokong pemulihan ekonomi
- Nisbah modal meningkat sedikit pada bulan Mei, didorong oleh perolehan penilaian ke atas instrumen kewangan yang sedia untuk dijual apabila kadar hasil bon susut buat sementara pada tempoh itu.
- Pada akhir Mei 2022, sistem perbankan mencatatkan lebihan penampan modal[4] sebanyak RM121.5 bilion.
Daya tahan institusi perbankan terus disokong oleh kualiti aset yang kukuh
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal stabil masing-masing pada 1.6% dan 1.0%. Hal ini mencerminkan peningkatan yang sedikit dalam pinjaman terjejas daripada segmen perniagaan dan isi rumah berikutan pengurangan langkah-langkah bantuan bayaran balik pinjaman sejak suku pertama.
- Jumlah peruntukan kekal pada tahap berhemat mencakupi 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan dan 109.1% daripada pinjaman terjejas.
- Pada akhir bulan Mei 2022, jumlah peruntukan dan rizab pengawalseliaan berjumlah RM40.7 bilion (akhir April: RM40.2 bilion)
_________
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir. Pengiraan juga tidak termasuk anggaran kesan langsung perubahan dasar cukai.
[2] Merujuk pinjaman terkumpul sistem perbankan (tidak termasuk institusi kewangan pembangunan (IKP)) dan bon korporat terkumpul.
[3] Negara-negara serantau termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Korea.
[4] Merujuk jumlah modal yang melebihi tahap pengawalseliaan minimum, yang meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.