Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan Mei 2023
Inflasi keseluruhan terus berkurang kepada 2.8% pada bulan Mei
- Inflasi keseluruhan menjadi sederhana kepada 2.8% (April 2023: 3.3%). Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh komponen IHP bukan teras, khususnya inflasi yang lebih rendah untuk bahan api (-0.2 mata peratusan) dan makanan segar (-0.1 mata peratusan).
- Inflasi teras[1] juga menurun sedikit kepada 3.5% (April 2023: 3.6%) berikutan inflasi yang lebih rendah bagi perkhidmatan komunikasi.
Pertumbuhan Indeks Perdagangan Borong dan Runcit menjadi sederhana pada bulan April
- Indeks Perdagangan Borong dan Runcit (Index of Wholesale and Retail Trade, IOWRT) berkembang lebih sederhana sebanyak 4.7% pada bulan April 2023 (Mac 2023: 9.4%). Pertumbuhan yang lebih rendah ini disebabkan terutamanya oleh penurunan dalam segmen kenderaan bermotor.
- Walau bagaimanapun, sektor runcit terus mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 10.0% (Mac 2023: 13.8%), disokong oleh jualan di kedai bukan khusus dan kedai khusus yang lain[2].
- Pada asas bulan ke bulan terlaras secara bermusim, IOWRT meningkat pada kadar yang lebih pantas sebanyak 6.5% (Mac 2023: -0.9%).
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan[3],[4] bertambah baik pada bulan Mei
- Kredit kepada sektor swasta bukan kewangan berkembang sebanyak 4.0% pada akhir bulan Mei (April 2023: 3.7%), didorong terutamanya oleh pertumbuhan kredit yang lebih tinggi kepada perniagaan (2.8%;
April 2023: 2.5%). - Bon korporat terkumpul meningkat sebanyak 4.6% (April 2023: 4.4%), manakala pinjaman perniagaan terkumpul berkembang sebanyak 1.6% (April 2023: 1.0%). Pertumbuhan pinjaman perniagaan yang lebih tinggi mencerminkan peningkatan dalam pinjaman untuk modal kerja dan pelaburan kepada PKS dan bukan PKS.
- Bagi sektor isi rumah, pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul kekal pada 5.1% (April 2023: 5.0%), disokong oleh pertumbuhan lebih tinggi merentas kebanyakan tujuan pinjaman. Yang penting, pertumbuhan pinjaman isi rumah terus disokong oleh pinjaman untuk pembelian rumah dan kereta yang masing-masing meningkat sebanyak 7.0% dan 8.4% (April 2023: 6.8% dan 8.0%).
Pasaran kewangan domestik sebahagian besarnya dipengaruhi oleh faktor luaran
- Pelabur global mengekalkan pendekatan penghindaran risiko sepanjang bulan Mei berikutan kebimbangan terhadap kesan krisis had hutang tertinggi AS dan pemulihan ekonomi China yang lebih lemah daripada jangkaan menjejaskan pasaran kewangan global.
- Akibatnya, ringgit menurun nilai berbanding dolar AS sebanyak 3.4% (purata serantau[5]: -1.2%). FBM KLCI juga menurun sebanyak 2.0% (purata serantau5: -1.3%).
- Walaupun begitu, kadar hasil MGS 10 tahun menurun sedikit sebanyak 3 mata asas, disokong oleh aliran masuk bukan pemastautin ke dalam pasaran bon domestik.
Bank-bank mengekalkan kedudukan mudah tunai dan pendanaan yang kukuh untuk menyokong aktiviti pengantaraan
- Sistem perbankan terus mencatatkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai agregat pada 151.2% (April 2023: 154.3%).
- Nisbah pinjaman kepada dana agregat kekal stabil pada 81.8% (April 2023: 82.1%).
Kualiti aset dalam sistem perbankan kekal baik
- Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara amnya kekal tidak berubah, masing-masing pada 1.80% (April 2023: 1.78%) dan 1.10% (April 2023: 1.10%).
- Nisbah perlindungan kerugian pinjaman (termasuk rizab pengawalseliaan) kekal pada tahap berhemat sebanyak 114.1% daripada pinjaman terjejas, dengan jumlah peruntukan mencakupi 1.7% daripada jumlah pinjaman.
Lihat juga: Sorotan Bulanan [PDF]
[1] Pengiraan inflasi teras tidak termasuk barangan yang harganya tidak menentu dan barangan yang harganya ditadbir.
[2] Barangan lain di kedai khusus termasuk pakaian, kasut, farmaseutikal, kosmetik, jam tangan, barang kemas dan barangan optik
[3] Terdiri daripada pinjaman kepada isi rumah dan syarikat bukan kewangan oleh sistem perbankan dan institusi kewangan pembangunan (IKP) serta bon korporat yang diterbitkan oleh syarikat bukan kewangan (termasuk kertas jangka pendek).
[4] Mulai penerbitan Sorotan dan Perangkaan Bulanan (Monthly Highlights and Statistics, MHS) bulan Disember 2022, siri ini diperkenalkan untuk meningkatkan kualiti data pembiayaan. Siri data baharu ini tersedia dalam Jadual 2.18 MHS.
[5] Negara serantau terdiri daripada Singapura , Thailand, Filipina, Indonesia dan Korea.
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.