Perkembangan Monetari dan Kewangan dalam bulan November 2020
Inflasi keseluruhan menurun kepada -1.7% pada bulan November
-
Penurunan inflasi keseluruhan kepada -1.7% pada bulan November (Oktober: -1.5%) mencerminkan inflasi yang lebih rendah bagi bahan api runcit dalam negeri dan sewaan.
-
Inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, menurun sedikit kepada 0.7% (Oktober: 0.8%).
-
Penurunan inflasi teras mencerminkan inflasi yang lebih rendah bagi sewaan dan produk penjagaan diri.
IPI keseluruhan menguncup sedikit pada bulan Oktober
-
IPI keseluruhan menguncup sedikit pada bulan Oktober (-0.5%; September: 1.0%), terjejas terutamanya oleh sektor perlombongan berikutan penutupan untuk kerja penyelenggaraan. Sektor perkilangan terus mencatatkan pertumbuhan yang positif pada bulan Oktober (2.4%; September: 4.3%), disokong oleh prestasi yang kukuh dalam industri E&E dan segmen getah.
-
Pertumbuhan industri E&E terus melebihi purata jangka panjang pada 8.1% (purata tahun 2016–2019: 6.0%) dengan mendapat manfaat daripada permintaan global yang kukuh terhadap keluaran separa konduktor.
Pembiayaan bersih mampan
-
Pertumbuhan pembiayaan bersih mampan pada 4.5% (Oktober: 4.5%). Pertumbuhan jumlah pinjaman terkumpul menurun (3.8%; Oktober: 4.3%) manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat (6.7%; Oktober: 5.0%) disebabkan oleh dua terbitan besar dalam sektor FIREB[1] Pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menurun lagi (1.2%; Oktober: 2.5%) berikutan bayaran balik pinjaman yang terus meningkat. Pengeluaran pinjaman kepada perniagaan pada amnya mampan pada RM60.9 bilion (Oktober: RM62.0 billion).
-
Sementara itu, pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 5.0% (Oktober: 5.1%) berikutan pengeluaran pinjaman yang berterusan dan kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini iaitu RM29.7 bilion (purata tahun 2017–2019: RM27.8 billion).
Prestasi pasaran kewangan domestik secara amnya bertambah baik
-
Sentimen pelabur bertambah baik pada bulan November, disebabkan terutamanya oleh perkembangan global yang positif. Perkembangan ini termasuk prospek ekonomi yang bertambah baik berikutan hala tuju dasar AS yang lebih jelas susulan berakhirnya Pilihan Raya Presiden AS serta perkembangan positif berhubung dengan kelulusan dan pengagihan vaksin COVID-19.
-
Hasilnya, indeks ekuiti global mencatatkan keuntungan secara keseluruhan, termasuk kutipan semula pinjaman daripada sektor-sektor yang terjejas akibat pandemik. Berlatarbelakangkan keadaan ini, FBM KLCI meningkat sebanyak 6.5% pada bulan itu.
-
Kesanggupan pelabur mengambil risiko yang bertambah baik juga mendorong aliran masuk bukan pemastautin yang berterusan ke dalam pasaran bon domestik susulan aktiviti mencari keuntungan oleh pelabur. Hal ini menyumbang kepada ringgit menambah nilai sebanyak 2.2% berbanding dengan dolar Amerika Syarikat. Meskipun pasaran bon kerajaan terus disokong oleh aliran masuk ini, ketidakpastian berhubung dengan undian parlimen bagi Belanjawan 2021 telah mendorong kepada kadar hasil MGS 10-tahun yang lebih tinggi sedikit menjelang akhir bulan.
Permodalan sistem perbankan kekal kukuh
-
Tahap permodalan sistem perbankan berada pada kedudukan yang baik untuk menyerap kejutan pendapatan dan menyokong aktiviti pengantaraan.
-
Nisbah modal sebahagian besarnya tidak berubah berikutan terbitan baharu instrumen hutang yang telah mengimbangi penurunan sedikit modal CET1 daripada bayaran dividen dan pengurangan keuntungan belum direalisasi daripada komponen modal instrumen kewangan.
-
Lebihan penampan modal[2] bank-bank berjumlah RM125.1 bilion pada bulan November 2020.
---
1 Merujuk ‘Finance, Insurance, Real Estate and Business Services’
2 Merujuk jumlah modal melebihi tahap pengawalseliaan minimum, dan meliputi keperluan penampan pengekalan modal (2.5%) dan keperluan minimum bank tertentu yang lebih tinggi.
Lihat juga:
Siaran akhbar [PDF]
Adakah halaman ini membantu ?
Bantu kami menambah baik halaman ini dengan berkongsi maklum balas anda.